Pilih bahasa anda

Language

UMS Seru Mahasiswa Baharu Dahagakan Ilmu, Berfikiran Kritis

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mengingatkan pelajar baharu agar membina kecemerlangan secara holistik sepanjang tempoh pengajian dan tidak hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik.

UMS sebelum ini mengumumkan seramai 6,171 pelajar baharu diterima masuk bagi Sesi 2026/2027, sekali gus memulakan perjalanan akademik mereka di universiti.

Sehubungan itu, Kasim menyeru pelajar baharu agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan sepanjang berada di UMS dengan membina pengetahuan dan kemahiran yang dapat membantu mereka menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Beliau berkata kecemerlangan holistik bukanlah sekadar untuk mencapai Gred Purata Nilai Gred (PNGK) yang tinggi, sebaliknya turut melibatkan pembangunan kemahiran, sahsiah dan kebolehan diri yang diperlukan dalam kehidupan serta alam pekerjaan.

“Industri dan dunia luar mencari graduan yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ), kemahiran berkomunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah, dan sifat kepimpinan.

“Terlibatlah secara aktif dalam aktiviti persatuan, sukan, seni, serta program kesukarelawanan. 

"Bina kepelbagaian bakat dalam diri anda. Gedung ilmu ini dibina atas dasar integriti. Jauhi amalan plagiat, penipuan akademik, dan sikap acuh tak acuh.

“Jadilah mahasiswa yang dahagakan ilmu pengetahuan, berfikiran kritis, dan sentiasa mencari kebenaran melalui penyelidikan dan pembacaan yang mendalam,” ujar Kasim dalam ucapan sempena Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 kali ke-32. 

Dalam pada itu, Kasim menekankan kepentingan mahasiswa memanfaatkan kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika bagi menyokong pembelajaran serta pemikiran inovatif.

“Gunakan kemudahan digital dan teknologi terkini perlu sebagai pemangkin pemikiran inovatif, bukannya sebagai jalan pintas yang merosakkan keupayaan berfikir secara kritis.

“Jagalah adab di media sosial. Elakkan menyebarkan maklumat palsu, fitnah, atau perkara yang boleh mencemarkan reputasi diri dan universiti,” katanya.

Selain itu, beliau turut berpesan agar pelajar sentiasa menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan kendiri kerana kehidupan di universiti turut menguji ketahanan fizikal dan mental.

“Sekiranya anda berdepan tekanan, kekeliruan, atau masalah kesihatan mental, jangan menderita dalam senyap. Universiti menyediakan pelbagai saluran sokongan seperti perkhidmatan kaunseling, pembimbing rakan sebaya (PRS), dan pegawai-pegawai psikologi,” jelasnya.

Nasihat tersebut disampaikan sempena Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 kali ke-32.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda