
Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai perjanjian kolaborasi penyelidikan bersama syarikat Indonesia, PT Milagros Putra Mandiri, bagi melaksanakan kajian penilaian produk suplemen kesihatan keluaran syarikat berkenaan.
Pemeteraian kontrak bernilai RM30,000 itu dilaksanakan melalui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS dalam satu acara sempena Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa Ke-9 (SB9) 2026 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly yang mewakili UMS, dan H. Angga Pambudi Adji mewakili PT Milagros Putra Mandiri menandatangani dokumen perjanjian tersebut.
Pemeteraian kerjasama tersebut turut disaksikan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Projek penyelidikan berkenaan memberi tumpuan kepada pencirian bioaktiviti, komposisi kimia dan profil keselamatan produk menerusi pendekatan penyelidikan multidisiplin yang menggabungkan kepakaran UMS dalam bidang bioteknologi, biokimia dan analisis produk semula jadi.
Kajian itu melibatkan penilaian aktiviti antioksidan, anti-penuaan, antihipertensi dan antidiabetik, selain penggunaan teknologi pemprofilan kimia dan metabolomik serta penilaian keselamatan berasaskan kultur sel yang diselia Prof. Madya Dr. Cahyo Budiman.
Dalam pada itu, H. Angga Pambudi Adji berkata, kerjasama berkenaan turut menyasarkan penghasilan sekurang-kurangnya satu manuskrip untuk diterbitkan dalam jurnal berindeks.
“Selain penilaian produk, kami melihat IPB UMS mempunyai kepakaran yang bersesuaian, khususnya dalam penilaian bioaktiviti, analisis biokimia dan pemprofilan metabolit dalam tempoh yang ditetapkan.
“Keupayaan penyelidik serta kemudahan penyelidikan yang tersedia memberikan keyakinan kepada kami bahawa kerjasama ini dapat menghasilkan dapatan saintifik berkualiti dan memberi nilai tambah kepada pembangunan produk pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IPB UMS, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau berkata kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan pihak industri antarabangsa terhadap kepakaran serta kemudahan penyelidikan yang dimiliki UMS, khususnya IPB.
Beliau berkata penglibatan penyelidik daripada pelbagai disiplin dijangka dapat memperkukuh kualiti data saintifik yang dihasilkan, selain membuka peluang kepada kerjasama lanjutan dalam pembangunan produk, inovasi dan penyelidikan translasi.
“Sebagai institut penyelidikan yang memberi fokus kepada kecemerlangan dalam bidang bioteknologi, IPB memainkan peranan strategik dalam menyokong pencapaian aspirasi dan sasaran yang digariskan menerusi Pelan Strategik UMS 2023–2027.
“Ini termasuk memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, meningkatkan jaringan strategik serta memperluas kolaborasi dengan pihak industri dan rakan antarabangsa,” katanya.
Kerjasama UMS bersama PT Milagros Putra Mandiri turut dilihat sebagai langkah memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti menerusi perkongsian kepakaran, sumber dan peluang penerbitan bersama, selain meningkatkan jaringan UMS dengan industri di peringkat serantau.
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi UMS menerusi slogan “UMS The Brain Of Borneo” dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pusat pengetahuan serantau, hab penyelidikan dan pemacu pembangunan sosioekonomi.


