Pilih bahasa anda

Language

UMS Terajui Perbincangan Penyelesaian Risiko Bencana Bersepadu di Resilient Asia 2026 Exposition and Forum

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerajui perbincangan mengenai penyelesaian risiko bencana bersepadu menerusi penyertaan aktif dalam Resilient Asia 2026 Exposition and Forum yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Payus merupakan antara penceramah utama forum antarabangsa itu menerusi sesi bertajuk “Integrated Risk-Informed Approaches for Climate-Resilient Infrastructure and Communities”.

Forum anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari peringkat serantau dan global bagi memperkukuh inovasi, kerjasama strategik serta usaha pengurangan risiko bencana (DRR).

Dalam pembentangannya, Carolyn berkata pengurusan bencana yang mampan bukan sahaja bergantung kepada teknologi canggih, malah memerlukan kerjasama berterusan antara agensi, sektor dan komuniti.

“Ketahanan bencana yang berkesan dibina melalui kerjasama berterusan apabila kerajaan, akademia, industri dan komuniti bekerjasama melangkaui situasi kecemasan bagi membina kepercayaan, perkongsian ilmu dan tindakan yang terselaras,” katanya.

Beliau berkata risiko bencana yang semakin kompleks akibat perubahan iklim memerlukan pendekatan serantau yang lebih terselaras, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Menurut beliau, kolaborasi jangka panjang melibatkan kerajaan, institusi akademik, industri dan masyarakat penting dalam membina sistem pengurusan bencana yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Sementara itu, Carolyn turut menekankan kepentingan pemerkasaan belia sebagai tonggak utama ketahanan dan kesiapsiagaan bencana.

Beliau berkata golongan muda tidak seharusnya hanya dilihat sebagai mangsa atau penerima bantuan bencana, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai agen perubahan aktif dalam usaha mengurangkan risiko bencana.

Katanya, perkara itu selari dengan kerjasama aktif antara NDRC-UMS dan UNICEF sejak 2017 dalam memperjuangkan integrasi pendidikan bencana di sekolah serta memperkukuh penglibatan belia dalam program ketahanan iklim dan bencana.

Selain aspek tindak balas kecemasan, sesi berkenaan turut memberi penekanan terhadap usaha membudayakan ketahanan bencana pada usia muda, sejajar dengan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction yang mengiktiraf belia sebagai penyumbang penting kepada pembinaan komuniti lebih selamat dan berdaya tahan.

Antara fokus utama yang dibincangkan termasuk memperkukuh perancangan infrastruktur berasaskan risiko, memanfaatkan analitik data dan teknologi baharu dalam mitigasi bencana, memperkasa strategi ketahanan berasaskan komuniti serta meningkatkan kerjasama pelbagai agensi di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Bertemakan “AI for Future-Proofing Disaster Management towards Stronger Communities”, forum itu menekankan peranan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan kerjasama serantau dalam menangani bencana akibat perubahan iklim dan krisis kemanusiaan.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyempurnakan majlis perasmian forum berkenaan.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda