MERCU TANDA
Universiti Malaysia Sabah ialah universiti awam ke-9 yang ditubuhkan di Malaysia. Bersempena dengan angka 9, kampus utamanya juga dibina di atas tanah seluas 999 ekar yang terletak di sepanjang Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.
Bangunan Canselori
Bangunan Canselori menempatkan pejabat-pejabat bahagian pentadbiran termasuk Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar, dan Jabatan Bendahari. Bangunan Canselori, yang turut dikenali sebagai Menara Berkembar dalam kalangan komuniti, terletak di puncak bukit UMS.

Dewan Canselor
Dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 5,000 orang pada satu masa, Dewan Canselor berfungsi sebagai ruang untuk acara universiti seperti Majlis Angkat Sumpah dan Ikrar serta Majlis Konvokesyen. Dewan yang diinspirasikan oleh bentuk gong ini mula digunakan untuk konvokesyen pada tahun 2003.
Menara Jam
Menara jam yang kelihatan megah ini berdiri tegak menyambut dan mengalu-alukan setiap tetamu ke Universiti Malaysia Sabah. Diilhamkan oleh Naib Canselor keempat, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, menara jam ini berfungsi sebagai mercu tanda ikonik dan terletak di bulatan pintu masuk utama di kampus induk, dengan kerja-kerja pembinaannya dimulakan pada tahun 2014.
Kompleks Dewan Kuliah Utama 2
Kompleks dewan kuliah kedua mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2011. Kompleks ini menempatkan dewan-dewan kuliah dan pejabat Bahagian Perkhidmatan Akademik.
Muzium UMS
Muzium UMS terletak di tingkat bawah, Blok Selatan Bangunan Canselori. Muzium ini menghimpunkan sejarah berharga UMS. Muzium ini dibuka kepada semua pelawat dengan sedikit bayaran masuk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi bpk@ums.edu.my atau layari laman ini Muzium & Galeri
Jeti UMS
Terjulur dari pesisir pantai hingga ke perairan Teluk Sepanggar, jeti ini merupakan salah satu kemudahan yang disediakan untuk pelajar dan penyelidik yang terlibat dalam penyelidikan hidupan marin.







