(Utusan Malaysia, 2 Jun 2023)

 

SYARAHAN Za'ba 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada pagi 30 Mei lalu mempunyai makna besar yang tersurat dan tersirat khusus bagi disiplin pengajian Melayu. Ia amat penting bagi mereka yang melihat pengajian Melayu (serta ilmu kemanusiaan dan sains sosial lain) dalam konteks sempit dan tersorot serta dikesampingkan dalam pembangunan akademik dan pengembangan ilmu di pusat pengajian tinggi.

Ilmu kemanusiaan dan sains sosial berbeza dengan ilmu sains fizikal dan sains gunaan yang dapat dilihat dengan jelas oleh mata kasar. Ia sangat penting dalam pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara dan tamadun ummah. Analogi mudahnya, sains fizikal itu sebagai jasad, maka sains sosial dan kemanusiaan adalah rohnya. Kedua-duanya saling berkait dan memerlukan bagi membentuk sebuah kemajuan dan tamadun ummah yang benar-benar seimbang dan bertahan lama.

Apa yang cuba diangkat oleh Mohamed Khaled dalam ucapan padat penuh falsafah itu bahawa pengajian Melayu adalah satu bidang disiplin sangat penting dalam pembangunan ummah dan universiti yang tidak boleh diketepikan. Ia perlu diangkat darjat kedudukannya sebagai ilmu teras dan asas serta diterjemahkan dalam konteks persekitaran moden dan melepasi tahap lokal, tapi menjulang hingga ke peringkat global. Pengajian Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai berfokus pantun, seloka semata-mata serta karya mati dan tertutup sifatnya, tetapi suatu yang hidup segar mempunyai hubungan rapat dengan persekitaran sosial, politik, teknologi, tidak terpisah. Ia perlu dilihat sebagai alat dan disiplin yang boleh merungkai masalah-masalah semasa bangsa bergolak.

Ilmu pengajian Melayu yang luas mencakup pelbagai bidang perlu digali, diteroka, dianalisis dan disesuaikan dengan persekitaran semasa sebagai alat dan bidang ilmu sangat berguna. Menteri menegaskan, nilai sejagat yang terbentuk pada hari ini asasnya adalah lahir daripada budaya Melayu dan beliau menolak ia berkembang dari dunia Barat. Ini wajar dan tepat sekali kerana tamadun Melayu telah lama berkembang dan wujud kerajaan-kerajaan besar seperti Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Aceh dan kemudiannya kerajaan Johor-Riau. Kerajaan-kerajaan besar ini bertahan beratus tahun dengan sistem yang terjamin. Semua aspek berkembang pesat dalam pelbagai bidang. Tidak mungkin sesebuah kerajaan besar mampu terbentuk dan bertahan tanpa mempunyai asas ilmu, undang-undang, pentadbiran serta teknologi yang baik.

MADAGASCAR

Kerajaan-kerajaan Melayu telah sedia ada sistem pentadbiran cekap dan mantap, undang-undang kemas dan berkesan serta tahap teknologi sangat membanggakan. Tamadun Melayu telah ada tokoh-tokoh besar beratus tahun sebelum kedatangan penjajah. Penjajah telah mengherotkan realiti sebenar tamadun bangsa. Abdullah Munshi tajaan Barat mengatakan, beliau adalah bapa kesusasteraan Melayu moden masih boleh dipertikaikan kerana tokoh falsafah besar ummah Melayu telah beratus tahun muncul dengan karya besar dalam pelbagai bidang sangat tinggi nilainya. Abdul Rauf Singkel, Hamzah Fansuri, Nuruddin Ar-Raniri dan Shamsudin al-Sumaterani adalah antara tokoh-tokoh besar tamadun Melayu tidak ada tolok bandingnya sejak abad ke-16.

Bustanus Salatin karya Nurudin Ar Raniri mengupas dengan susur atur ilmu politik dan pentadbiran yang sangat tinggi tahap analisis dengan nilai-nilai tempatan dan Islam sangat mendalam. Bahkan kita telah ada karya ilmu matematik yang ditulis dalam tulisan Jawi oleh sarjana Melayu sebelum kedatangan penjajah. Semuanya tidak dicungkil dan diangkat tinggi oleh penjajah, bahkan cuba ditenggelamkan.

Tahap teknologi bangsa Melayu dimomokkan oleh Barat sebagai bertahap rendah dan bersifat tradisi kolot yang ketinggalan juga perlu diteliti semula. Bagaimana mungkin bangsa kita dikatakan bertahap rendah dalam bidang teknologi kalau telah mampu membina kapal dan ilmu pelayaran ke laut luas? Bangsa kita mampu mengadakan pelayaran antarabangsa sampai ke China, Jepun dan Madagascar.

MUZIUM LISBON

Dalam bidang teknologi ketenteraan, mesti semak semula kenyataan Barat yang mengatakan kita hanya menggunakan lembing, tombak, panah dan keris. Terbukti kita mempunyai beratus meriam besi ketika menentang Portugis pada 1511. Meriam kita masih tersimpan di Muzium Lisbon, Portugal sehingga kini. Kajian tentang ini perlu dilakukan dan membetulkan persepsi lapuk yang 'dijajah' mengatakan kita tidak mempunyai teknologi dalam bidang senjata yang menjadi sebab utama kalah melawan Portugis. Kita kalah kerana struktur dalaman dan perpecahan sesama kita yang bukan diasaskan kepada kesucian dan semangat cinta negara, cinta agama. Semangat cinta kebendaan menguasai pentadbiran serta kesetiaan askar upahan yang sukar dipercayai dalam pertahanan negara. Di sini dapat dilihat 'roh' ilmu kemanusiaan itu penting dan senjata fizikal bukan penentu sebenar yang besar dan mutlak.

Disiplin ilmu pengajian Melayu mesti diangkat sebagai disiplin strategik dan merombak struktur sedia ada yang tidak benar-benar membina. Pencapaian bangsa Melayu perlu dibahas dengan mendalam dan asas ilmiah yang tepat. Kita perlu menggali sistem nilai dan tidak terhad kepada khazanah dan transkrip serta tafsiran penjajah yang sempit. Ia perlu dilihat dalam konteks moden dan bersifat global. Perlu tafsiran baharu kekayaan khazanah bangsa, mengembangkan disiplin pengajian Melayu bagi menjawab persoalan dan cabaran semasa.

Peruntukan khas RM500,000 (walaupun tidak besar mengikut kata Mohamed Khaled) tetapi yang perlu dilihat dan lebih penting adalah sokongan dan keikhlasan beliau. Janji beliau akan 'mengetuk' konglomerat Melayu bagi memberi infak dan sumbangan adalah jaminan bermakna. Pasti akan ramai konglomerat sudi membantu demi kemajuan ilmu dan survival ummah.

Cetusan Mohamed Khaled bukan sahaja secara simbolik kepada pengajian Melayu secara mutlak, tetapi bidang-bidang ilmu kemanusiaan dan sains sosial berkaitan. Pengajian Melayu tidak boleh berdiri sendiri secara mutlak. Ia mempunyai hubungan rapat dengan disiplin ilmu lain dalam bidang kemanusiaan, sains sosial bahkan ilmu sains fizikal serta sains gunaan. Ahli akademik dan pentadbir utama universiti tidak boleh melihat bidang dan disiplin kemanusiaan dan sains sosial sebagai tidak 'sepenting' sains tulen dan sains gunaan.

Tahniah YB Menteri yang mengungkapkan isu besar demi survival ilmu dan survival bangsa dan ummah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan Orang Asal & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorllS), Universiti Malaysia Sabah.

 

Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin, Pakar Pengurusan Risiko Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Felo, Majlis Profesor Negara (MPN),

 

EL-NINO merujuk kepada keadaan pemanasan alam sekitar yang ekstrem dan melebihi purata suhu semasa permukaan laut.

Indikator suhu ekstrem ini merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37°C dan berupaya meningkat sehingga 40°C dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering.

Secara meteorologinya, fenomena El-Nino juga dikaitkan dengan rentetan fasa permulaan peralihan monsun yang adakalanya menyebabkan hujan lebat serta ribut petir terutamanya pada lewat petang hingga malam.

Umumnya fenomena El-Nino bukanlah sesuatu yang baharu bagi negara Malaysia dan lain-lain negara di Asia Tenggara.

Boleh dikatakan pada setiap tahun bermula Mei hingga penghujung Ogos, Malaysia akan mengalami cuaca panas dan kering yang melampau serta berupaya menyebabkan kemarau di kawasan-kawasan pertanian dan hutan.

Suhu permukaan melonjak naik dan paras air permukaan bumi (sungai/tasik) akan menunjukan penyusutan, kepekatan habuk, debu serta partikel terampai dalam udara juga akan meningkat sekaligus menjadi punca jerebu.

Sudah tentu situasi ekstrem persekitaran seperti El-Nino ini akan memberikan impak yang signifikan kepada risiko kesihatan awam.

  1. El-Nino dan risiko kesihatan awam

Antara risiko kesihatan yang sering dikaitkan dengan El-Nino termasuk kegagalan fungsi organ badan akibat suhu teras badan melebihi 40°C (heat stroke), keletihan dan kelesuan, pitam atau pengsan dan kekejangan otot.

Sekiranya gejala-gejala awal ini tidak diberikan perhatian segera dan serius, serta rawatan sewajarnya maka risiko kematian adalah sangat tinggi.

Selain daripada itu, banyak kajian epidemiologi juga mendapati masalah kesihatan kardiovaskular juga mempunyai perkaitan dengan keadaan suhu panas melampau.

WHO (World Health Organisation) mencadangkan kesan kesihatan awam yang terkait dengan fenomena El-Nino adalah seperti peningkatan penyakit respiratori dalam kalangan kanak-kanak dan kumpulan yang berisiko (asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema), peningkatan penyakit bawaan vektor (penyakit berjangkit), tekanan psiko-sosial, isu keselamatan dan kebolehdapatan sumber makanan.

  1. Persediaan untuk menghadapi fenomena El-Nino

Pemantauan dan pengekalan suhu teras badan pada 36 - 37.5°C (suhu normal) adalah sangat-sangat penting. Suhu teras badan yang tinggi boleh mengganggu sistem fisiologi dan cecair badan. Pengawalan suhu teras badan ini boleh dilakukan dengan mengamalkan kaedah berikut;

  1. Minum air (kosong) setiap kali apabila terasa dahaga. Amaun dan kekerapan pengambilan air (kosong) mesti dipertingkatkan pada masa ini. Air penting bagi mengelak badan mengalami dehidrasi. Elakkan minuman berkafein dan manis kerana ia mempercepatkan dehidrasi.
  2. Elak dari menghadiri persekitaran dalaman atau luaran yang panas. Cari tempat yang teduh, sejuk, mempunyai penghawa dingin atau sistem ventilasi (kipas) yang kondusif serta bersih. Elakan dari terdedah kepada sinaran cahaya matahari secara langsung.

iii. Pakai pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang ringan, longgar, sejuk, berwarna terang (putih) dan berupaya meresap haba dan peluh (kain kapas/cotton). Elakkan memakai pakaian berlapis, tebal serta berwarna gelap. Pastikan juga fabrik mempunyai ventilasi udara yang baik.

  1. Tingkatkan kekerapan mandi atau basahkan kepala. Pengaliran serta pengeringkan air pada permukaan kulit akan memberikan rasa sejuk dan berupaya menurunkan suhu permukaan kulit.
  2. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran atau buah-buahan dan kurangkan makanan tinggi karbohidrat dan protein karana ianya akan menaikkan kadar metabolisme dan memberi kesan peningkatan suhu badan.
  3. Kesan pengabaian fenomena El-Nino

Sekiranya komuniti tidak mengambil atau melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya untuk satu tempoh masa yang berterusan, maka ianya berisiko tinggi untuk mengalami kematian.

Jangan tangguh rawatan atau pemulihan yang berkaitan dengan ketegasan haba kerana ianya juga boleh menyebabkan organ dalaman badan seperti buah pinggang, jantung dan hati gagal berfungsi secara normal. Cegah lebih baik dari merawat, jangan sudah terantuk baru mahu tengadah.

  1. Cadangan aktiviti kawalan risiko El-Nino yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, El-Nino pasti berlaku pada setiap tahun, cuma tahap keterukannya bergantung kepada fenomena semasa alam sekitar.

Akibat pemanasan global yang berterusan, aktiviti manusia seperti pembakaran fossil (bahan organic, petrol, diesel, arang batu), pembandaran dan penerokaan tanah mampu menjadikan fenomena El-Nino ini lebih ekstrem menjelang 2025.

Cadangan kepada pihak kerajaan;

  1. Menyediakan polisi, pelan tindakan atau SOP khusus sebagai sumber rujukan masyakat dalam menghadapi El-Nino. Ianya juga perlu disokong dengan aktiviti meningkatkan kefahaman (awareness/education) terutamanya kepada golongan muda (remaja), perkongsian maklumat serta informasi terkini berkaitan penilaian dan kawalan risiko El-Nino.
  2. Menyediakan bekalan air mentah dan terawat yang mengcukupi bagi kegunaan masyarakat. Begitu juga dengan sumber bekalan makan (food security), haruslah mencukup sepanjang tempoh El-Nino.

iii. Fleksibiliti atau menghadkan semua aktiviti kerja lapangan/luaran (outdoor) yang berkaitan dengan kerja (pertanian/perindustrian) dan persekolahan.

  1. Memperkasakan sistem kesihatan awam negara dengan mempersiapkan sumber manusia yang mencukupi (pakar perubatan/petugas kesihatan), fasiliti, farmasi serta kemudahan kesihatan yang sentiasa dalam mod siap siaga. Mungkin juga boleh memasukan parameter ketegasan haba dalam aplikasi MySejahtera.
  2. Meningkatkan usaha-usaha kearah persekitaran negara yang bebas pencemaran dan zero karbon (zero-carbon footprint).
  3. Nasihat umum untuk rakyat menghadapi fenomena El-Nino

Cakna diri dengan membuat penilaian dan kawalan suhu badan (rekod kesihatan) secara kendiri.

Bagi ibubapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya apabila anak-anak terkesan dengan masalah dehadrasi. Segera rujuk dan dapatkan nasihat dari pakar perubatan sekiranya ada mempunyai gejala berkaitan ketegasan haba/strok haba.

Cuba kurangkan aktiviti diluar permis/rumah. Patuhi arahan semasa dan pemakluman kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak Kementarian Kesihatan atau mana-mana agensi yang diberikan tanggungjawab oleh kerajaan.

 

 

 

Oleh: Dr. Eko Prayitno, Prof. Madya Dr. Ramli Dollah dan Dr. Nordin Sakke,

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah

 

Pengabaian sumber lisan berbanding dokumen hingga tidak dianggap sebagai pengekalan 'memori sejarah' yang boleh menjadi penentu 'kebenaran sejarah' memberikan kerugian kepada negara.

Kerugian ini bukan semata-mata bersifat usaha mendokumentasikan memori kolektif dan pengalaman hidup, bahkan sebagai bukti menentukan kedaulatan negara terhadap sesuatu wilayah.

Dalam konteks historiografi Malaysia, kita cenderung berpegang kepada falsafah 'no document, no history' hingga banyak pengalaman peribadi bersifat kebangsaan hilang bersama golongan tua, sekali gus mempengaruhi kurangnya 'suara masyarakat biasa' dalam historiografi kebangsaan.

Kerugian ini amat dirasai apabila 'menghilangkan tanpa sengaja' memori kolektif turut membabitkan isu berkait kedaulatan negara.

Ia bersifat realiti berdasarkan kajian dilakukan terhadap isu pertikaian di kepulauan Spratly di Laut China Selatan atau dikenali Gugusan Semarang Peninjau (GSP).

Ternyata hingga kini, bukti sejarah dalam bentuk dokumen tersimpan di gedung arkib masih jauh daripada mencukupi untuk menjadi sandaran bahawa wilayah GSP adalah milik Malaysia.

Sungguhpun ia disedari, tiada tindakan alternatif diambil untuk mendokumentasikan 'pengalaman kolektif' nelayan tradisi masyarakat pesisir Sabah, terutama komuniti etnik Bajau yang menjadikan kawasan ini sebagai punca sumber makanan dan perekonomian sejak berabad lamanya.

Tak perlu bergantung sejarah penjajah

Hakikatnya, Malaysia boleh menggunakan sejarah lokal sendiri tanpa perlu bergantung kepada sejarah penjajah, terutama British dalam mempertahankan tuntutannya di GPS.

Sememangnya diakui tuntutan Malaysia ke atas GPS adalah berasaskan undang-undang antarabangsa (pentas benua) dan tidak memasukkan faktor sejarah sebagai asas tuntutan.

Sungguhpun terdapat pandangan menganggap tindakan itu sebagai 'langkah terbaik' memandangkan memori sejarah dimiliki penuntut lain, terutama China, adalah lebih kuat berbanding Malaysia, hal itu sebenarnya perlu difikirkan semula.

Ia lebih banyak dipengaruhi ketidakpercayaan mereka bahawa rakyat dari negara ini pernah sampai ke wilayah itu yang jaraknya kira-kira 320 kilometer dari daratan Sabah.

Sudut pandang ini bukan sahaja terpesong daripada kenyataan sebenar, bahkan berpotensi menghilangkan secara terus memori kolektif nelayan tradisi masyarakat Bajau.

Oleh itu, pendokumentasian memori kolektif nelayan tradisional masyarakat Bajau perlu digerakkan agar maklumat bersifat kebangsaan dapat dilestarikan bagi mengimbangi tuntutan sejarah diusulkan negara lain.

Dalam kata lain, tuntutan Malaysia seharusnya tidak difokuskan aspek perundangan semata-mata, bahkan disandarkan faktor sejarah ditandai interaksi masyarakat pesisir Sabah dengan wilayah ini sebelum terbentuknya Malaysia.

Justeru, tindakan Malaysia tidak memasukkan faktor sejarah sebagai antara asas tuntutan adalah langkah 'bergerak ke belakang' kerana memori kolektif nelayan tradisi masyarakat Bajau sangat membantu dalam memperkukuhkan asas tuntutan terbabit.

Adalah tidak berlebihan untuk menyatakan memori kolektif nelayan tradisi masyarakat Bajau yang pernah sampai ke Spartly atau GSP yang lebih mereka kenali sebagai wilayah Bandora yang bermaksud 'wilayah takat' menjadi bukti sejarah perlu dihargai negara.

Pengalaman bersifat kebangsaan ini sekiranya tidak didokumentasikan dengan segera berpotensi untuk hilang kerana 'dokumen sejarah akan terus kekal, tetapi nelayan tradisi sebagai pelaku sejarah tidak akan pernah kekal.'

Dalam konteks ini, rakyat perlu belajar daripada masyarakat Afrika yang sangat menghargai memori kolektif golongan tua hingga menganggap 'kalau ada seorang tua meninggal dunia, maka sebuah perpustakaan sudah hilang.'

Memori kolektif bukan khabar angin

Tambahan pula, memori kolektif dimiliki nelayan tradisi masyarakat Bajau bukanlah khabar angin atau andaian, tetapi kenyataan sebenar dialami mereka.

Justeru, kedudukan sumber ini setaraf dengan sumber dokumen dalam pembuktian sejarah pemilikan wilayah GPS.

Ini terbukti apabila China dan Vietnam menggunakan pengalaman nelayan tradisi mereka sebagai bukti penghujahan dalam isu tuntutan wilayah berkenaan.

Malah, dokumentasi mengenainya semakin diperbanyakkan dan diindoktrinasikan dalam kalangan masyarakat melalui penerbitan buku yang boleh ditemui di seluruh dunia, termasuk di negara ini.

Tindakan sebegini seharusnya dicontohi Malaysia memandangkan ia juga mempunyai pengalaman sejarah sama dengan negara lain, sekali gus dapat dijadikan naratif baharu dalam memahami isu tuntutan.

Membahaskan peranan nelayan tradisi masyarakat Bajau di GPS pasti membuka sejuta lembaran baharu dalam pengungkapan hak pemilikan Malaysia ke atas wilayah berkenaan.

Memori kolektif didokumentasikan bukan sahaja dapat memetakan sejarah kehadiran kita di wilayah ini, bahkan mampu merekonstruksi pemaknaan wilayah terbabit bersandarkan perspektif lokal.

Kemampuan sebegini hadir memandangkan nelayan tradisional ini sudah bergenerasi mengunjungi kawasan ini yang dipenuhi dengan 'takat' kerana menganggap 'laut sebagai penghubung, bukannya pemisah.'

Dalam kata lain, kehadiran 'takat' yang banyak mempengaruhi nelayan tradisi masyarakat Bajau untuk bergerak ke wilayah ini, meskipun jauh dari daratan.

Keadaan ini disebabkan, hanya di Bandora mereka dapat mengumpulkan siput Lola (Trochus Niloticus) dengan banyak bagi industri pembuatan butang baju di China serta memenuhi keperluan industri ikan masin di Sabah (Borneo) dan Labuan.

Berbekalkan perkara ini, ia membolehkan nelayan tradisional menjelajah, menguasai dan mendokumentasikannya melalui ingatan segala perincian fizikal berkaitan bentuk muka bumi setiap pulau serta terumbu yang wujud serta mengenal pasti kekayaan hidupan laut di bawahnya.

Adalah tidak menghairankan apabila mereka mempunyai makna tersendiri mengenai wilayah sedang bergolak ini, sekali gus tidak terikat kepada pemaknaan sedia ada.

Perkara sama ditemukan dalam pemaknaan beberapa pulau di wilayah ini seperti menggelar Sampangan berbanding Pulau Peninjau; Banot (Pulau Dallas) dan Layang-Layangan (Pulau Layang-Layang).

Pemaknaan lokal sebegini sepatutnya diangkat, didokumentasikan dan disebarluaskan sebagai wacana tandingan kepada pemaknaan sedia ada agar membantu Malaysia dalam memperakukan hak pemilikan dan kedaulatannya di Bandora.

Jika ini tidak dilakukan, pastinya kita akan sentiasa terikat dengan 'pemetaan sejarah' dan 'pemaknaan negara penuntut lain' yang berkemungkinan besar juga dihasilkan bersandarkan memori sejarah pelayar dan nelayan tradisional mereka.

 

Oleh: Profesor Dr. Rasid Hj. Mail, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah

Di bawah slogan Sabah Maju Jaya (SMJ), jentera pentadbiran Ketua Menteri Sabah telah menyediakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025. Walaupun belum dimasyhurkan secara rasmi, rakyat Sabah telah mula memperkatakannya. Sebagai rancangan yang mengangkat kepentingan pembangunan negeri Sabah melalui usaha pemulihan ekonomi yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19, ia dilihat sebagai sinar harapan untuk memperbaiki kualiti hidup masyarakat di negeri ini. 

Walaupun kerajaan baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri menghadapi cabaran getir dengan isu pandemik Covid-19 dan masalah banjir, isu pemulihan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat telah mendapat perhatian khusus. Keprihatinan terhadap masyarakat luar bandar, kelompok yang paling terkesan dalam kelembapan ekonomi dalam dan luar negara merupakan jalur yang sangat dihargai dalam warna-warni cabaran pemerintahan kerajaan baharu ini.

Dari sudut ekonomi, langkah strategik memfokuskan kepada aktiviti pertanian dilihat sebagai keputusan bijak memilih sektor yang produktif. Bukan sahaja ia akan menghasilkan bahan keperluan penduduk tetapi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk yang ramai kehilangan punca pendapatan disebabkan pandemik Covid19. Dari sudut persaingan bandingan, sektor pertanian merupakan kelebihan dan kekuatan negeri Sabah yang sekian lama tidak dioptimumkan sepenuhnya.

Keluasan kawasan, kesuburan tanah, polisi dan dasar kerajaan, sistem sokongan, demografi masyarakat agraria, ekosistem pasaran dan lain-lain merupakan anugerah dan potensi yang masih belum diteroka sepenuhnya. Berdasarkan elemen ini, hasrat SMJ mengangkat tema pertanian dalam agenda membangun negeri Sabah perlu mendapat perhatian dan komitmen dari sektor kerajaan, sektor swasta dan sektor ketiga.

Bagi maksud tersebut, agenda mewujudkan ekosistem yang kondusif perlu mendapat perhatian khusus. Di UMS umpamanya, usaha memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan mengeluarkan tenaga mahir, terlatih dan berkelayakan sedang dipergiat. Salah satu daripadanya ialah penawaran program pengajian Asasi Pertanian kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam kalangan calon luar bandar dan B40 di negeri ini.

Program ini terbuka kepada lulusan SPM aliran sains dan sastera untuk mengikuti program selama dua tahun sebelum memasuki program pengijazahan Sarjana Muda Sains Pertanian. Matlamat utama adalah untuk mendapatkan dan menghasilkan calon pelajar yang betul-betul berminat dalam bidang pertanian, menghayati kepentingan dan potensi pertanian sebagai perniagaan. Bukan hanya untuk mengikis stigma kurang popular mengenai status sosial graduan dan pekerjaan sektor pertanian, tetapi juga melahirkan graduan yang lengkap dengan pengetahuan dan penguasaan teknologi yang perlu untuk perladangan, pertanian persis (precision farming) dan pengurusan moden.

Pada masa ini terdapat 27 pelajar kelompok pertama Asasi Pertanian yang menjadi pelopor langkah strategik ini. Mereka akan melalui program pengajian unik selama dua tahun yang digubal atas nasihat dan input industri, termasuk penempatan secara sepenuh masa selama enam bulan di ladang pertanian dan penternakan. Program ini sesungguhnya merupakan sumbangan UMS kepada agenda memperkasa sektor pertanian sebagai platform SMJ.

Kehadiran dan penyertaan pelabur institusi dan individu dalam agenda SMJ juga merupakan pemboleh ubah yang mendapat perhatian istimewa. Bagi rakyat negeri Sabah, semasa kemelut pandemik Covid-19, pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebimbangan mengenai kelestarian bekalan makanan serta isu lambakan hasil pertanian adalah pengajaran yang sangat berguna. Justeru, kecenderungan pelabur untuk menyertai sektor yang lebih selamat dan lestari seperti pertanian dan perladangan merupakan peluang yang telah dimanfaatkan kerajaan negeri Sabah.

Berbanding dengan sektor lain seperti pembuatan dan pelancongan, ternyata sektor pertanian lebih mandiri dalam keadaan pemulihan ekonomi dan ketidaktentuan pada hari ini. Hatta, dalam situasi pandemik, darurat dan isu keselamatan, sektor pertanian ternyata lebih lestari kepada rantaian nilai pengeluar, pembekal, peruncit dan pengguna serta pengurusan keselamatan makanan oleh pihak pemerintah. Hari ini, ramai yang mula menyedari status fundamental dan nilai sentimental sektor pertanian.

Oleh hal yang demikian, cakna kerajaan negeri kepada keperluan ekosistem yang mesra pelabur merupakan kunci kejayaan SMJ. Sikap terbuka, telus dan prihatin kerajaan negeri telah membuka ruang dan kesanggupan para pelabur untuk bersama menyumbang kepada agenda SMJ. Diharapkan jentera kerajaan yang ada dari pelbagai agensi negeri dan pusat dapat menjiwai dan mendokong hasrat SMJ ini dengan memudah cara urusan para pelabur.

Manakala di pihak rakyat sendiri seharusnya keperitan dan dugaan getir sepanjang PKP dapat menyuntik semangat untuk lebih bersedia menyerap perubahan. Kekuatan utama kerajaan negeri dan teras agenda SMJ adalah rakyat sendiri. Sudah sampai masanya golongan petani memanfaatkan kemudahan dan bantuan pelbagai agensi dengan bersungguh-sungguh.

Kebergantungan total kepada subsidi dan insentif mungkin perlu dikurangkan secara beransur-ansur. Kemampuan kerajaan untuk membiayai sektor sosial sudah tentu akan berkurang secara mutlak mahupun secara relatif. Apatah lagi dengan perubahan persekitaran dan ketidaktentuan yang semakin sukar diramal. Sudah tentu kapasiti pembiayaan kerajaan terpaksa diagih-agihkan di antara sektor yang kritikal seperti sektor kesihatan, pertahanan dan pendidikan.

Golongan belia selaku golongan paling ramai dan paling produktif dalam kalangan penduduk negeri ini sepatutnya sudah mula mengorak langkah, seiring dengan aspirasi pelaksanaan SMJ. Mereka perlu memahami dan menghayati aspirasi kepimpinan baharu melalui wadah SMJ. Apa yang sedang diusahakan kerajaan sesungguhnya demi kelangsungan masa hadapan golongan muda. Pengajaran dan pengalaman meladeni PKP sudah cukup untuk golongan muda ini menyedari perlunya transformasi minda dan kesedaran kendiri.

Kesungguhan usaha transformasi kerajaan melalui SMJ sesungguhnya tertumpu kepada penyediaan pelantar untuk golongan muda ini mencorakkan masa hadapan mereka membangunkan negeri Sabah bagi meneruskan perjuangan pemimpin yang akan meninggalkan legasi.

Penulis: Dr. Jakaria Dasan, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dan Dr. Fatimah Ahmeddy, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah.

Di Malaysia, kadar jangkitan virus Covid-19 dilihat tidak begitu tinggi disebabkan oleh langkah kerajaan yang proaktif dan pantas dalam membendung kebolehjangkitannya. Tindakan segera menerusi Majlis Keselamatan Negara atas nasihat Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbukti sangat berjaya. Selain itu, masyarakat peka dengan kehadiran Covid-19 yang pantas meragut nyawa manusia berasa amat bimbang. Ini secara tidak langsung membawa kepada tahap kepatuhan dan disiplin tinggi terhadap langkah pengawalan dan peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan. Hal inilah yang menyumbang kepada pengiktirafan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara negara yang berjaya mengekang penularan kes jangkitan dengan cekap.

Ketika memasuki suku kedua 2020, banyak kluster dikenal pasti sebagai punca jangkitan dilaporkan. Pencerobohan pendatang asing tanpa izin di sempadan khususnya di pantai timur Sabah turut mewarnai gelombang kedua. Ketika itu rata-rata percaya, kebolehjangkitan Covid-19 akan hanya berlaku di kawasan-kawasan kluster. Berlaku keadaan di mana orang ramai yang tinggal di bandar dan daerah lain sekadar berasa tidak selesa tetapi tidak cukup gerun seperti mana yang dirasai semasa permulaan gelombang pertama dahulu. Perkumpulan orang ramai mula kelihatan dan pematuhan kepada peraturan norma baharu mula nampak longgar. Pun begitu, gelombang kedua menyaksikan perebakan yang bersifat wilayah. Justeru, kawalan penularan kes Covid-19 menampakkan usaha-usaha yang boleh menurunkan pertumbuhan lebih banyak kluster.

Sukar untuk menentukan apakah indikasi kepada gelombang ketiga. Akan tetapi jika didasarkan kepada negeri-negeri, gelombang ketiga mungkin mudah untuk dijangkakan berdasarkan situasi yang berlaku di sesebuah negeri itu.

Di Sabah, indikasi yang hampir berkemungkinan terletak pada sekitar aktiviti-aktiviti berkaitan pilihan raya negeri. Pada ketika itu, tahap kesedaran orang ramai pada ancaman Covid-19 masih terlihat. Pelitup muka jelas kelihatan di muka, namun ada kemungkinan amalan penjarakan sosial diabaikan. Pelitup separuh muka mungkin diletak di bawah dagu bagi menampakkan senyuman bermakna, manakala tangan masih berjabat erat menunjukkan betapa dekatnya seseorang itu kepada kita. Sesuatu yang pahit untuk ditelan, tetapi itulah realiti.

REKOD

Hakikatnya, gelombang ketiga kini melanda tanpa menunjukkan tanda-tanda untuk menurun dalam jangka masa terdekat. Malahan, penularan Covid-19 bukan sahaja dikaitkan dengan kluster-kluster tetapi sedang buas mengancam komuniti. Banyak kes positif dikenal pasti melalui saringan kontak rapat dan kelihatan status daerah-daerah bertukar kepada zon merah dalam jangka masa singkat. Setiap langkah yang diambil untuk mengelaknya tidak lagi dapat dibendung berdasarkan persempadanan daerah atau kawasan kerana ia kini berada dalam komuniti.

Diri setiap individu itu adalah langkah akhir paling berkesan. Kesungguhan untuk menjarakkan diri dengan orang lain di tempat awam yakni mentaati penjarakan sosial, kepatuhan memakai pelitup muka dan sentiasa mensanitasi tangan dan membersihkan diri merupakan antara amalan yang wajib diamalkan.

Negara memecah rekod dengan 1,228 kes baharu, kelmarin. Justeru, kerajaan memanjangkan tempoh PKP bersasar dan meletakkan perintah ini diperketatkan di beberapa tempat atau kluster sebagai usaha giat untuk memutuskan rantaian jangkitan. Dengan kenaikan mendadak ini, pastinya mendatangkan kesan kepada kesihatan mental orang ramai terutama mereka yang dijangkiti dan keluarga malahan kontak rapat. Apatah lagi negara dikejutkan dengan berita seorang rakyat tempatan yang disahkan positif Covid-19 ditemui mati selepas dipercayai terjun dari bangunan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Namun begitu, tatkala reda pada apa yang telah terjadi, semangat kebersamaan dalam menumpaskan gelombang ketiga virus ini perlu dilipat gandakan usahanya. Di saat ini, rakyat sewajarnya berfikir sebagai barisan hadapan dan memainkan peranan dalam komuniti untuk membantu kerajaan membendung pandemik Covid-19.

Kelihatan ramai individu bekerjasama dalam memastikan saringan dilaksanakan terhadap diri mereka sekiranya berisiko dan individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat patuh kepada arahan kuarantin. Tambahan pula, kerajaan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi menyediakan talian hotline demi memberi sokongan psikososial kepada rakyat.

Pendek kata, bilakah akan berakhirnya gelombang ketiga ini? Adakah muncul kelak gelombang keempat? Jawapannya adalah terletak pada diri setiap individu itu sendiri.

Slogan #kitajagakita perlu dihayati sebenar-benarnya. Jika tidak ada penjarakan fizikal dari semeter hingga empat meter (ukuran penjarakan sosial), kelak jangan terkejut jika terjadinya penjarakan masyarakat pula iaitu dari empat hingga lapan meter (ukuran penjarakan masyarakat). Lihatlah betapa sukarnya memupuk hubungan harmonis antara masyarakat pada masa itu baik dalam hubungan sosial mahupun di tempat kerja. Jika gelombang ketiga tidak terhenti, produktiviti akan terjejas, ekonomi pasti terhempas!

Marilah kita bangkit bersama #kitajagakita supaya kita tidak tumpas!

Pautan: https://www.utusan.com.my/rencana/2020/10/1228-pahit-untuk-ditelan/