Penulis: Dr. Jakaria Dasan, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dan Dr. Fatimah Ahmeddy, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah.

Di Malaysia, kadar jangkitan virus Covid-19 dilihat tidak begitu tinggi disebabkan oleh langkah kerajaan yang proaktif dan pantas dalam membendung kebolehjangkitannya. Tindakan segera menerusi Majlis Keselamatan Negara atas nasihat Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbukti sangat berjaya. Selain itu, masyarakat peka dengan kehadiran Covid-19 yang pantas meragut nyawa manusia berasa amat bimbang. Ini secara tidak langsung membawa kepada tahap kepatuhan dan disiplin tinggi terhadap langkah pengawalan dan peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan. Hal inilah yang menyumbang kepada pengiktirafan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara negara yang berjaya mengekang penularan kes jangkitan dengan cekap.

Ketika memasuki suku kedua 2020, banyak kluster dikenal pasti sebagai punca jangkitan dilaporkan. Pencerobohan pendatang asing tanpa izin di sempadan khususnya di pantai timur Sabah turut mewarnai gelombang kedua. Ketika itu rata-rata percaya, kebolehjangkitan Covid-19 akan hanya berlaku di kawasan-kawasan kluster. Berlaku keadaan di mana orang ramai yang tinggal di bandar dan daerah lain sekadar berasa tidak selesa tetapi tidak cukup gerun seperti mana yang dirasai semasa permulaan gelombang pertama dahulu. Perkumpulan orang ramai mula kelihatan dan pematuhan kepada peraturan norma baharu mula nampak longgar. Pun begitu, gelombang kedua menyaksikan perebakan yang bersifat wilayah. Justeru, kawalan penularan kes Covid-19 menampakkan usaha-usaha yang boleh menurunkan pertumbuhan lebih banyak kluster.

Sukar untuk menentukan apakah indikasi kepada gelombang ketiga. Akan tetapi jika didasarkan kepada negeri-negeri, gelombang ketiga mungkin mudah untuk dijangkakan berdasarkan situasi yang berlaku di sesebuah negeri itu.

Di Sabah, indikasi yang hampir berkemungkinan terletak pada sekitar aktiviti-aktiviti berkaitan pilihan raya negeri. Pada ketika itu, tahap kesedaran orang ramai pada ancaman Covid-19 masih terlihat. Pelitup muka jelas kelihatan di muka, namun ada kemungkinan amalan penjarakan sosial diabaikan. Pelitup separuh muka mungkin diletak di bawah dagu bagi menampakkan senyuman bermakna, manakala tangan masih berjabat erat menunjukkan betapa dekatnya seseorang itu kepada kita. Sesuatu yang pahit untuk ditelan, tetapi itulah realiti.

REKOD

Hakikatnya, gelombang ketiga kini melanda tanpa menunjukkan tanda-tanda untuk menurun dalam jangka masa terdekat. Malahan, penularan Covid-19 bukan sahaja dikaitkan dengan kluster-kluster tetapi sedang buas mengancam komuniti. Banyak kes positif dikenal pasti melalui saringan kontak rapat dan kelihatan status daerah-daerah bertukar kepada zon merah dalam jangka masa singkat. Setiap langkah yang diambil untuk mengelaknya tidak lagi dapat dibendung berdasarkan persempadanan daerah atau kawasan kerana ia kini berada dalam komuniti.

Diri setiap individu itu adalah langkah akhir paling berkesan. Kesungguhan untuk menjarakkan diri dengan orang lain di tempat awam yakni mentaati penjarakan sosial, kepatuhan memakai pelitup muka dan sentiasa mensanitasi tangan dan membersihkan diri merupakan antara amalan yang wajib diamalkan.

Negara memecah rekod dengan 1,228 kes baharu, kelmarin. Justeru, kerajaan memanjangkan tempoh PKP bersasar dan meletakkan perintah ini diperketatkan di beberapa tempat atau kluster sebagai usaha giat untuk memutuskan rantaian jangkitan. Dengan kenaikan mendadak ini, pastinya mendatangkan kesan kepada kesihatan mental orang ramai terutama mereka yang dijangkiti dan keluarga malahan kontak rapat. Apatah lagi negara dikejutkan dengan berita seorang rakyat tempatan yang disahkan positif Covid-19 ditemui mati selepas dipercayai terjun dari bangunan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Namun begitu, tatkala reda pada apa yang telah terjadi, semangat kebersamaan dalam menumpaskan gelombang ketiga virus ini perlu dilipat gandakan usahanya. Di saat ini, rakyat sewajarnya berfikir sebagai barisan hadapan dan memainkan peranan dalam komuniti untuk membantu kerajaan membendung pandemik Covid-19.

Kelihatan ramai individu bekerjasama dalam memastikan saringan dilaksanakan terhadap diri mereka sekiranya berisiko dan individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat patuh kepada arahan kuarantin. Tambahan pula, kerajaan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi menyediakan talian hotline demi memberi sokongan psikososial kepada rakyat.

Pendek kata, bilakah akan berakhirnya gelombang ketiga ini? Adakah muncul kelak gelombang keempat? Jawapannya adalah terletak pada diri setiap individu itu sendiri.

Slogan #kitajagakita perlu dihayati sebenar-benarnya. Jika tidak ada penjarakan fizikal dari semeter hingga empat meter (ukuran penjarakan sosial), kelak jangan terkejut jika terjadinya penjarakan masyarakat pula iaitu dari empat hingga lapan meter (ukuran penjarakan masyarakat). Lihatlah betapa sukarnya memupuk hubungan harmonis antara masyarakat pada masa itu baik dalam hubungan sosial mahupun di tempat kerja. Jika gelombang ketiga tidak terhenti, produktiviti akan terjejas, ekonomi pasti terhempas!

Marilah kita bangkit bersama #kitajagakita supaya kita tidak tumpas!

Pautan: https://www.utusan.com.my/rencana/2020/10/1228-pahit-untuk-ditelan/

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 baru-baru ini kali pertama berlangsung ketika negara berdepan serangan pandemik COVID-19. Ia praktis tidak dapat dielakkan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

PRN Sabah terpaksa diadakan selepas Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membuat keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Sejak awal, ramai penganalisis menduga kelangsungan pilihan raya ini akan mengundang suatu yang negatif terhadap pembendungan penyebaran COVID-19 di negara kita.

Ia terbukti apabila kes baharu meningkat mendadak selepas PRN Sabah pada 26 September. Hal ini tidak dapat dinafikan, bahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui pada ucapan khas beliau pada 6 Oktober.

Apa pun, kita tidak patut salahkan sesiapa. Menoleh ke belakang dan menyalahkan atau menuding jari kepada mana-mana pihak, hanya merugikan dan membuang masa berharga dalam menghadapi dan berjuang menghapuskan COVID-19.

Jalan terbaik, kita semua perlu melihat bagaimana untuk menghadapinya ke arah lebih baik pada masa akan datang dengan matlamat kes baharu tidak terus meningkat.

Apa yang berlaku di Sabah — bermula penamaan calon pada 12 September hingga keputusan diumumkan dan hari-hari awal kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — semua perlu diteliti dan diambil pengajaran.

Semua ini penting untuk mencari di mana titik kesilapan berlaku. Apakah bentuk pengajaran perlu diambil demi mengelak yang buruk tidak berulang, terutama pada pilihan raya akan datang.

Terbaru, mahu atau tidak Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah pasti akan berlangsung. Kerusi itu kini diisytiharkan kosong susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Liew Vui Keong.

Oleh kerana pilihan raya tidak dapat dielakkan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, maka kita semua mesti memikirkan apakah norma baharu pilihan raya yang perlu diamalkan.

Ringkasnya, satu prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian dengan norma baharu pilihan raya perlu ditetapkan, bermula hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Jika hal ini benar-benar difikirkan, difahami dan dilaksanakan serta diamalkan dengan tegas, pasti kesan buruk akibat proses pilihan raya seperti yang dilihat pasca PRN Sabah dapat dielak daripada berulang.

Ketika PRN Sabah sebagai contoh, pelanggaran SOP dilihat cukup jelas. Penjarakan fizikal tidak diamalkan sepenuhnya. Individu yang hadir juga ramai berada dalam jarak dekat iaitu kurang satu meter. Apa yang aneh, sentuhan penumbuk berleluasa, seolah-olah ia tidak bersalahan SOP.

Ini berlanjutan ketika tempoh masa kempen bermula antara 12 September hingga tengah malam 25 September. Apa yang berlaku seakan-akan menunjukkan masyarakat umum lupa bahawa negara masih berdepan risiko serangan COVID-19 — musuh yang tak dapat dilihat!

Kempen PRN Sabah jika dilihat cukup meluas membabitkan jumlah besar penyokong parti politik termasuk dari Semenanjung.

Ironinya, adakah benar-benar perlu bagi penyokong parti untuk datang ke Sabah? Adakah ia mempunyai kesan besar dan sejauh manakah penyokong serta ahli parti dari Semenanjung memahami dan mengetahui lokasi atau keadaan sebenar COVID-19 di Sabah?

Hasilnya, apa yang berlaku seolah-olah semua sudah berada di luar tempoh masa COVID-19. Bahkan ada yang ke daerah Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu (iaitu empat Zon Merah), malah lebih teruk tidak memahami dan menjaga SOP sepenuhnya.

Seharusnya, kedatangan penyokong dan pembantu parti politik dari Semenanjung dikurangkan ketika negeri itu berhadapan COVID-19 khususnya ke kawasan daerah Zon Merah.

Ironinya, ini tidak berlaku. Seolah-olah

perjalanan kempen tidak banyak beza dengan keadaan sebelum COVID-19.

Yang jelas, peluang datang ke Sabah dilihat cukup istimewa bagi mereka memandangkan kos tambang dan hotel ditanggung, menyebabkan ramai alpa sehingga mengenepikan bahaya COVID-19 yang sedang ‘menyerang’.

Tidak salah datang membantu rakan bertanding, tetapi penting sekali menjaga SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Melihat ke depan, PRK Batu Sapi nanti diharap pihak terbabit khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengenakan peraturan ketat, terutama kemasukan penyokong dan pembantu parti politik dari Semenanjung.

Kerajaan Sabah mungkin boleh mengadakan kawalan dan sekatan kerana hal ehwal imigresen adalah kuasa kerajaan negeri.

Kawalan ketat bersesuaian norma baharu pilihan raya patut dikuatkuasakan kerajaan negeri bagi mengelak apa yang berlaku akibat PRN Sabah berulang sekali lagi.

Tidak disangkal bilangan ramai yang pulang dari Sabah selepas PRN menjadi satu daripada sebab penyebaran jangkitan COVID-19.

Arahan menjalani saringan dan kuarantin pula hanya dikenakan ke atas mereka yang pulang dari negeri itu selepas 27 September dan ia kurang tepat. Adakah mereka yang pulang sebelum 27 September benar-benar selamat daripada COVID-19?

Sepatutnya mereka yang terbabit dengan kempen di Sabah perlu dikawal lebih awal. Kita perlu melihat perkara ini sebagai suatu yang berisiko mengundang implikasi besar dan bukan perkara remeh.

Mereka yang positif COVID-19 sukar ditentukan dengan mudah. Apakah kita semua tidak sedar? Ataupun kita semua sedar, tetapi tidak menyangka ia memberi kesan besar kepada penyebaran COVID-19?

Apa yang berlaku pada PRN Sabah dan impak negatif kepada penyebaran meluas yang begitu pantas adalah di luar jangkaan.

Bukan politik dan kempen pilihan raya itu tidak penting, tetapi pada masa sama, kesihatan umum dan wabak tak nampak yang sedang merebak jangan sekali-kali dipandang kecil.

Melihat ke depan, PRK Batu Sapi nanti diharap pihak terbabit khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengenakan peraturan ketat, terutama kemasukan penyokong dan pembantu parti politik dari Semenanjung.

Pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai antara enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menimbulkan polemik baharu dalam politik Sabah.

Di sebalik pujian ia sebagai langkah wajar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kerana PAS antara parti politik menganggotai Perikatan Nasional (PN), reaksi berbeza diberikan pihak pembangkang. DAP dan PKR Sabah menganggap ia tidak sepatutnya berlaku.

Mereka melihat PAS sebagai parti politik ekstrem berteraskan agama yang tidak sesuai dengan keadaan masyarakat dan budaya di negeri ini. Kehadirannya dalam politik dan DUN Sabah didakwa akan memecahbelahkan masyarakat Sabah yang berada dalam keadaan toleransi tinggi.

Dakwa mereka lagi, masyarakat Sabah tidak boleh menerima prinsip dan falsafah politik PAS berteraskan agama yang ekstrem. PAS juga tidak bertanding dalam mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan tidak mendapat sokongan penduduk Sabah kerana tidak pernah memenangi sebarang kerusi pada mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak tepat jika PAS dikatakan parti politik ekstrem. Perubahan sudah banyak berlaku dalam amalan dan falsafah PAS. Sejak awal, parti itu mampu menyesuaikan pelbagai keadaan dan pertubuhan politik.

Sejak akhir 1950-an, PAS pernah bekerjasama dengan Parti Negara dan Parti Rakyat Malaya. Awal 1970-an, ia bekerjasama dengan UMNO dan semua parti utama bukan Melayu dalam komponen Barisan Nasional (BN). Pada 1990-an, PAS bekerjasama dengan Parti Semangat 46. PAS juga pernah bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR).

Tidak dinafikan teras perjuangan PAS berpaksikan prinsip Islam, tetapi bukan apa diistilahkan sebagai prinsip ‘tertutup’ hingga tidak boleh menerima pandangan orang luar. Jauh sekali menolak prinsip positif yang boleh membawa kerjasama dan muafakat positif demi kestabilan negara.

Pemilihan Aliakbar sebenarnya pilihan tepat sebagai antara ADUN dilantik mewakili PAS. Pengalamannya dalam PAS tidak dinafikan, manakala darjah kematangan diakui. Berpengalaman sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi asas positif kepada peranan bakal dipegangnya.

Kelayakan Ijazah Doktor falsafah dalam kajian Pembandaran dan Pembangunan besar faedahnya kepada sumbangan pembangunan Sabah serta kestabilan politik amnya.

Alasan menafikan perlantikan Aliakbar sebagai ADUN dilantik bersandarkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai hal berkaitan Kitab Injil dan Kristian, adalah tidak wajar. Apa di nyatakan Nik Muhammad Zawawi bukan kenyataan rasmi PAS sebagai parti politik.

Perlantikan Aliakbar harus dilihat dari sudut PAS sebagai parti komponen PN dan semangat kerjasama. Apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dalam PRN baru-baru ini, kemenangan itu tidak boleh hanya dilihat sebagai kemenangan PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) semata-mata. Ia harus dilihat kemenangan semua parti politik dalam GRS, termasuk PAS. Pada pilihan raya lalu, ahli PAS turut berjuang menjamin kemenangan GRS. PAS tidak bertanding pada mana-mana kerusi, tetapi alasannya memberi peluang kepada parti komponen serta alasan tempatan yang patut diterima PAS serta semangat toleransi antara parti komponen. Apabila GRS menang, wajar semua anggota parti komponen diberikan peluang dalam politik dan DUN Sabah. Satu kerusi wajar bagi PAS sebagai parti memberikan peranan sedemikian. Semangat dan falsafah kerjasama antara semua anggota parti politik bernaung di bawah payung sama penting dan perlu diterapkan.

Ruang lantikan diberikan kepada PAS ini sangat penting bagi kerjasama dan sokongan berterusan parti itu kepada GRS khususnya PN. Andainya PAS langsung tidak diberi peluang dalam politik dan pentadbiran Sabah dengan saluran ADUN dilantik, kesan dan sokongan kurang baik oleh ahli PAS kemungkinan akan berlaku pada masa depan.

Aliakbar pasti akan bertindak sebagai anggota komponen PN dan bukan sebagai ahli PAS yang tertutup. Sebagai anak Sabah, pasti beliau memahami apa akan dilakukannya. Ini membuka peluang kepada Aliakbar dan PAS Sabah mewarnai apakah parti PAS sebenarnya tanpa keluar daripada falsafah payung besar PN dan GRS.

PAS mampu memainkan peranan dalam masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama. Islam itu sesuai dengan semua zaman dan keadaan. Semangat maju jaya bagi PAS Sabah membina wajah dan peranan baharu dalam politik Sabah sebagai antara anggota PN dan Gabungan Rakyat Sabah.

Harapan besar PAS memberi sumbangan besar dalam membina muafakat politik berkat dan kestabilan politik negeri dan negara yang utuh.

KOTA KINABALU: Pakar ekonomi di sini percaya Sabah berhak mendapat perhatian lebih daripada kerajaan persekutuan dalam Belanjawan 2021 kerana negeri itu paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Rafiq Idris berharap akan ada peruntukan khas buat negeri itu untuk tempoh pasca perintah kawalan pergerakan, yang disasarkan kepada sektor strategik seperti industri perkhidmatan.

“Ini termasuk sektor pelancongan yang teruk terjejas akibat Covid-19. Kita tidak mampu lagi lihat ramai pemain industri tumbang,” katanya kepada FMT.

“Semua sektor perlu dibantu untuk pulih daripada aktiviti ekonomi perlahan. Pandemik mengakibatkan permintaan dalam pasaran turun dengan ketara. Untuk mengurangkan kesannya, sesuatu mesti dibuat untuk merangsang perbelanjaan dan permintaan dalam ekonomi.

“Bantuan tunai untuk golongan B40 dan M40 boleh mengurangkan kesannya dengan membenarkan mereka berbelanja.”

Beliau berkata, walaupun ekonomi lembap, itu bukan idea baik untuk kurang berbelanja kerana ini mungkin menyebabkannya ekonomi bergerak lebih perlahan.

“Saya harap peruntukan untuk perbelanjaan negara adalah fiskal yang luas dan pengagihan besar untuk Sabah kali ini.”

Firdausi Suffian dari Universiti Teknologi Mara Sabah bersetuju perbelanjaan adalah kunci untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, terutamanya semasa krisis.

Beliau berkata, kerajaan perlu melanjutkan moratorium pinjaman untuk individu dan perniagaan, serta pemberian tunai Bantuan Prihatin Nasional selama setahun lagi, terutamanya buat rakyat Sabah.

“Melanjutkan moratorium bagi individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bermaksud mereka mempunyai wang tambahan untuk dibelanjakan atau dilaburkan. Ini akan membantu mengurangkan kesan terhadap perniagaan.

“PKS adalah kunci untuk menjana pertumbuhan dan pekerjaan. Adalah jelas mereka teruk terjejas sekarang, jadi kerajaan perlu membenarkan mereka meminjam dengan pinjaman tanpa faedah untuk mereka melabur.

“Dan apabila anda memperluaskan pemberian tunai kepada individu, ramai yang kekurangan wang kerana menganggur atau dipotong gaji akan mempunyai wang tunai tambahan dan ini seterusnya akan membantu ekonomi pulih.”

Rafiq berharap kerajaan tidak akan mengurangkan peruntukan untuk pendidikan dan kesihatan kerana bantuan untuk sektor itu perlu ditambah atau sekurang-kurangnya dikekalkan.

“Pendidikan dan kesihatan antara sektor penting yang menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Peruntukan untuk sektor itu tidak boleh dikompromi.

“Diharapkan juga akan ada peruntukan khas untuk projek Sabah yang akan meningkatkan ekonomi negeri dengan kesan pengganda besar, dalam melawan keadaan ekonomi perlahan.”

Firdausi berkata, sambungan internet ialah satu lagi prasarana penting untuk dilaburkan di Sabah.

“Sambungan internet adalah cara hidup baru. Ini penting untuk ekonomi gig berkembang, selain membantu menyokong perniagaan dan pendidikan digital.”

Katanya, dana juga diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran makanan di Sabah.

“Covid-19 menunjukkan pentingnya keselamatan makanan. Sabah adalah salah satu penyumbang terbesar kepada KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara, jadi pelaburan baru untuk pengeluaran makanan adalah kunci untuk membantu ekonomi. Ini juga salah satu cara mempelbagaikan ekonomi kita di Sabah.”

Firdausi juga merasakan program subsidi upah perlu dilanjutkan selama setahun lagi untuk membantu perniagaan terkesan supaya mereka tidak gulung tikar.

Katanya, ini juga bertujuan mengurangkan kadar pengangguran, terutama di Sabah dengan anggaran 130,000 orang menganggur.

Senarai kemahuan pemain industri pelancongan

Pemegang taruh dalam industri pelancongan Sabah, antara perniagaan yang paling teruk terjejas akibat pandemik, menggesa kerajaan persekutuan memberikan dana tambahan kepada negeri itu.

Pengerusi Persatuan Pelancong Sabah, Tonny Chew berkata, moratorium pinjaman bagi sektor itu perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga separuh pertama 2021 agar pemain industri dapat bertahan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pemberian subsidi upah kepada pekerja industri itu secara 50-50.

Katanya, industri perhotelan juga memerlukan subsidi untuk bil elektrik dan air kerana ia merupakan kos operasi utama, selain gaji pekerja.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah, Lawrence Chin berharap kerajaan akan menangguhkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk majikan sehingga Jun depan.

Beliau berkata, pelepasan cukai berganda sepatutnya diberikan untuk menampung kerugian tahun ini dan dibawa ke tahun depan bagi mengimbangi keuntungan masa depan.

“Perlu ada pengurangan atau penghapusan cukai untuk semua pembelian kenderaan baru berkaitan pelancongan.”

Pautan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/04/sabah-mahu-lebih-banyak-daripada-belanjawan-2021-untuk-tangani-impak-covid-19/?fbclid=IwAR0IDCAve4SYNh516Q_SjcUgLlUqsw921fb2B5dXktsFS7T4l0zTLFzZzhQ

BELANJAWAN negara adalah satu bentuk instrumen kewangan. Ia mempengaruhi kehidupan sehingga menjadi sandaran kepada harapan dan medium untuk melihat kemungkinan masa hadapan.

Untuk itu, sesuatu belanjawan disediakan dalam bentuk perancangan berangka yang meliputi tempoh tertentu masa hadapan. Ia menjelaskan perkara akan dilaksanakan berdasarkan alasan, agenda dan asas tertentu.

Apabila belanjawan negara digunakan sebagai instrumen memenuhi agenda tertentu, ia mengambil kira elemen politik, sosial, ekonomi dan pelbagai aspek kehidupan rakyat dan negara.

Dari sudut kewangan, belanjawan mempunyai pelbagai objektif seperti perancangan, kawalan, piawaian operasi, peruntukan sumber dan sasaran penghasilan, serta penyelarasan aktiviti organisasi sepanjang tempoh ditetapkan.

Pada peringkat negara, ia berfungsi sebagai alat perancangan tahunan, penstabilan ekonomi, pengagihan kekayaan, menjamin keadilan sosial, penjajaran sektoral, perencanaan strategi dan penetapan dasar pembangunan.

Untuk pemegang taruh, belanjawan menggambarkan bagaimana negara akan diurus, khususnya dalam konteks ekonomi dan kesan kepada pelbagai pihak.

Secara kasar, belanjawan memperlihatkan bagaimana hasil negara dijana dan ke mana ia dibelanjakan. Tidak hairan ia menarik perhatian. Paling tidak, menjadi medium pihak kawan dan lawan menilai kemampuan pemerintah mengurus ekonomi negara.

Antara persoalan, bagaimana kemampuan kerajaan merencana strategi negara? Adakah kerajaan prihatin? Sehebat mana dasar pembangunan dan kelestarian ekonomi dipilih? Sejauh mana daya saing negara dalam kalangan negara serantau dan pemain global? Ampuhkah dasar dipilih dari segi perindustrian, pertanian, pendidikan dan seumpamanya?

Ringkasnya, belanjawan tahunan negara memperlihatkan hala tuju dan laluan dipilih serta dinilai pelbagai pihak berkepentingan.

Penggiat sektor ekonomi, khususnya pelabur menilai kebolehsandaran pengurusan negara untuk membuat keputusan berkaitan pelaburan. Dasar berkaitan kebajikan sosial dan mesra rak- yat ada kala tidak sehaluan dasar ekonomi yang bersifat komersial dan mesra industri.

Umpamanya dasar perburuhan dan percukaian yang boleh mengundang kontroversi, seperti dialami Indonesia baru-baru ini. Di sinilah dinilai kebijaksanaan sebuah kerajaan dalam mengimbangi tuntutan bertentangan, tetapi pada masa sama meneruskan agenda pembangunan negara.

Dasar terlalu berat kepada tuntutan komersial mungkin tidak popular dalam kalangan rakyat kebanyakan. Dasar terlampau bersifat kebajikan sosial pula mengurangkan minat pelabur.

Mereka berpandangan jauh akan melihat belanjawan dari perspektif lebih menyeluruh. Kelestarian jangka panjang dalam pembangunan negara bangsa menjadi tumpuan.

Soal kemakmuran ekonomi dan kepesatan pembangunan harus diiringi pembentukan generasi Malaysia yang dinamik, dengan nilai agama dan kepatuhan kepada Rukun Negara.

Isu kelestarian alam sekitar, keharmonian kaum, kekuatan generasi muda, kecemerlangan pendidikan serta kebitaraan pendidik, penggunaan teknologi dan inovasi, pembangunan harta intelek dan kebijaksanaan pengguna sumber asli negara antara pemboleh ubah dilihat dalam dokumen belanjawan negara.

Aspek yang mempunyai pemberat jangka panjang juga penting untuk menjamin aset dan ekuiti negara. Ia menyentuh perkara asas seperti pengukuhan sistem nilai, pembudayaan dasar positif, transformasi minda dan peningkatan kualiti pendidikan.

Dalam konteks cabaran menghadapi pandemik, belanjawan dilihat strategi penampan, pemulihan dan penyusunan semula. Tahun ini menghidangkan cabaran berlanjutan sehingga 2021 dan tahun seterusnya.

Begitu banyak norma baharu perlu diamalkan, bukan sahaja dalam konteks bersosial dan bermasyarakat, malah domain ekonomi, politik dan amalan beragama.

Kesan ekonomi sangat besar, selain sekatan aktiviti industri, gangguan kepada aktiviti perniagaan, sektor produktif terjejas teruk seperti pelancongan dan pengangkutan, gangguan iklim kewangan, sekatan pergerakan, ancaman keselamatan dan risiko kesihatan.

Semua ini menuntut belanjawan tahunan yang cakna kepada keperluan individu dan harapan masyarakat, kepentingan penggiat industri dan pembayar cukai, daya saing institusi serta kelangsungan negara.

Belanjawan 2021 mengambil berat keadaan semasa. Insentif cukai untuk perbelanjaan dan insurans kesihatan seperti rawatan, insentif pekerja barisan hadapan dan sejumlah peruntukan menangani pandemik menggambarkan kesungguhan menangani isu kesihatan.

Begitu juga peruntukan menangani isu kehilangan pekerjaan serta mencipta ruang dan peluang pekerjaan baharu.

Pengurangan dua peratus kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP) pekerja dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, akan meningkatkan pegangan tunai golongan pekerja. Ia sekali gus merancakkan ekonomi melalui peningkatan permintaan dan kuasa beli.

Demikian juga pengurangan kadar cukai pendapatan. Keprihatinan kerajaan memperkasa ekosistem kredit mikro, pembangunan usahawan dan penggalakan aktiviti ekonomi berteknologi tinggi akan menciptakan kesan pengganda kepada usaha pemulihan ekonomi negara dan membina kapasiti usahawan.

Walaupun banyak insentif bersifat mitigasi untuk menangani keadaan semasa, Belanjawan 2021 tidak mengabaikan langkah strategik bersifat jangka panjang. Namun, elemen utama dalam kejayaan belanjawan ini adalah kesediaan rakyat Malaysia menyahut cabaran 2021 dan tempoh seterusnya.

Di sebalik banyak norma baharu perlu diamalkan, rakyat harus belajar menerima dan bersyukur. Pemimpin juga harus meletakkan keutamaan negara dan rakyat di hadapan berbanding konflik dan retorik drama politik.

Rakyat harus mula belajar berjimat dan menyimpan kerana ketidaktentuan masa hadapan. Kebiasaan yang kurang memberi nilai tambah perlu dikurangkan. Pembaziran dalam bentuk apa pun seharusnya dihapuskan.

Sesuai tema 'Teguh Kita, Menang Bersama' norma baharu sepatutnya menyuntik kesedaran setiap warga untuk lebih menghayati isi belanjawan.

Cabaran dihadapi negara tidak memilih kelompok tertentu dan krisis global dirasai semua. Keteguhan, kesatuan dan kesepakatan akan menjadikan kita kuat. Perpecahan dan pertelagahan akan menyuntik pelbagai penyakit masyarakat dan kesukaran ekonomi.

Kebergantungan kepada sektor tradisi tidak boleh disandari. Sektor kritikal seperti pertanian, perladangan dan industri makanan perlu mendapat perhatian penggubal dasar, di samping mendapat sentuhan pakar teknologi dan inovasi untuk berkembang bersama industri hiliran bernilai tambah yang mengurangkan kebergantungan kepada import.

Ia perlu sokongan pembangunan teknologi seperti pertanian jitu yang akan memaksimumkan hasil, membangun kapasiti dan mencipta peluang pekerjaan. Lantas, usahawan perlu lebih kreatif dan lasak menggunakan setiap insentif dalam belanjawan.

Belia sebagai golongan terbesar pula perlu mengubah perspektif untuk lebih berperanan dalam sektor kurang bergantung kepada penggajian. Krisis selalunya menciptakan peluang baharu.

Kini masanya segenap lapisan rakyat lebih cakna mengenai belanjawan negara dan memikirkan apakah peranan boleh dimainkan dan bakti boleh disumbangkan.

Pautan: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2020/11/753338/menilai-peranan-rakyat-tanggungjawab-pemimpin?fbclid=IwAR2nOtCMkm_R9kdwJWsYyuGTo717dK7KwqJTApE1WY29TKa_gxFf72T_I0A#.X6zxM6zzflI.facebook