JUMAAT, 8 APRIL - Amalan tadbir urus terbaik sentiasa diserapkan dan dilaksana di semua peringkat pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti yang dijelaskan dalam surat Ketua Setiausaha Negara - Garis Panduan bagi Mempertingkatkan Tadbir Urus Awam 2007.
Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad berkata, dalam konteks melaksanakan tadbir urus terbaik di UMS, integriti, senses (rasa) dan kehendak akan menjadi aspirasi dalam usaha memacu misi dan visi universiti.
“Sistem penyampaian menjadi berkesan bila semua warga kerja berintegriti, amanah dan bertanggungjawab sama ada semasa adanya ketua atau bila bersendiri.
“Pekerjaan dilaksanakan dengan jujur bukan kerana mengejar markah penilaian prestasi atau ganjaran keduniaan akan tetapi dilaksanakan atas tanggungjawab dengan penuh amanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Pendaftar (MAP) di Dewan Resital UMS.
Katanya, tadbir urus terbaik di universiti juga boleh dilaksanakan apabila setiap kakitangan mempunyai rasa kepunyaan (sense of belonging), rasa kesegeraan, rasa kebertanggungjawaban dan rasa hormat yang tinggi.
“Misalnya, bila setiap dari kita punya rasa kesegeraan, tindakan akan sentiasa diambil dengan segera. Dengan adanya rasa kebertanggungjawaban, kerja yang dilaksanakan akan dibuat dengan penuh hati-hati dan tidak sambil lewa,” kata No’man.
Majlis yang dihadiri pegawai pentadbiran dan ikhtisas serta kakitangan pelaksana bertujuan mengetengahkan pencapaian Institusi Pentadbiran dan Ikhtisas serta memperincikan hasrat dan hala tuju universiti yang diamanatkan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, baru-baru ini.
No’man turut mengumumkan beberapa inisiatif bagi mendokong dan melaksanakan Amanat Naib Canselor 2016.
Antaranya pembangunan bakat berfokus, program sangkutan kakitangan, pengukuhan kompetensi pentadbir, penambahbaikan klasifikasi tugas kakitangan berdasarkan penambahbaikan skim perkhidmatan, pengukuhan proses kenaikan pangkat serta memperkasa fungsi dan impak penubuhan jawatankuasa pemandu kualiti dan inovasi pentadbiran.
“Sama-samalah kita terus Bertekad Cemerlang selaras dengan Motto universiti yang kita dokong selama lebih 21 tahun ini. Mulakan hari ini dan hari-hari berikutnya dengan tekad atau niat untuk mencapai hasil kerja yang terbaik,” katanya. -SS-



JUMAAT, 8 APRIL – Barisan kepimpinan pelajar yang terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar, kelab, persatuan atau sekretariat yang berdaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) didedahkan kepada tujuh modul utama yang menjadi asas kepada pengurusan organisasi pelajar yang berkesan melalui satu kursus di Anjung Siswa, UMS baru-baru ini.
KHAMIS, 7 APRIL – Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Ismail Ibrahim diraikan dalam majlis persaraannya di mini auditorium FPP pada Selasa.
KHAMIS, 7 APRIL – Berikutan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan sekitar Pantai Barat Sabah sejak beberapa hari lalu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif mengedarkan penutup mulut kepada para mahasiswa universiti.
RABU, 6 APRIL – Kelab Surirumah dan Staff Wanita (KESUMBA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Penaung KESUMBA, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri RM Jasni, di Istana Negeri, Kota Kinabalu hari ini.