KHAMIS, 11 APRIL - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk K.Y Mustafa menasihatkan setiap warga UMS agar menanamkan semangat kenegaraan dalam apa juga aktiviti yang dijalankan.

“Sebagai rakyat sesebuah negara, nilai integriti yang tinggi adalah perkara terpenting yang mesti dipahat dalam diri,” ujarnya ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Fakulti Pertanian Lestari Kampus UMS Sandakan, baru-baru ini.

Pada perjumpaan bersama lebih 400 kakitangan FPL itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan peranan UMS sebagai pemacu perkembangan bidang pertanian negara.

“Pertanian adalah penting dan perlu ditingkatkan kerana makanan merupakan sumber keperluan asas kepada hidupan,” katanya.

Kehadiran julung kali beliau ke fakulti itu turut dimeriahkan dengan acara memasang pelekat pada kenderaan universiti sempena sambutan 25 tahun penubuhan UMS.

Turut hadir, Naib Canselor Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta Pegawai-pegawai Utama dan kanan universiti.

 

RABU, 10 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) cemerlang dalam pertandingan MIFT 11th National Food Science and Technology Competition apabila muncul sebagai juara kategori Food Bowl Quiz yang berlangsung di Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak baru-baru ini.

Pasukan A UMS yang diwakili oleh Wong Jia En, Wong Zheng Mun, Loi Sin Harn dan Tan Yaw Pang menewaskan 25 pasukan lain pada pertandingan tersebut, yang turut disertai 16 universiti di Malaysia antaranya Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknologi MARA, Universiti Sultan Zainal Abidin, Monash University, University College of Technology Sarawak, UCSI University, Taylor’s University, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Kuala Lumpur, Tunku Abdul Rahman University College, Management and Science University, dan Universiti Tun Hussein Onn.

Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan mereka untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Food Bowl Quiz peringkat ASEAN yang akan diadakan pada 15-18 Oktober 2019 di Bali, Indonesia bersempena dengan 16th ASEAN Food Conference 2019.

Pertandingan MIFT 11th National Food Science and Technology Competition merupakan acara yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Malaysian Institute of Food Technology (MIFT) dengan kerjasama universiti awam dan swasta yang menawarkan program Sains dan Teknologi Makanan.

Pada pertandingan tersebut, peserta UMS turut diiringi oleh delegasi UMS yang diketuai Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani dan disertai beberapa kakitangan akademik yang lain termasuk Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FSMP, Prof Madya Dr. Hasmadi Mamat dan pensyarah kanan FSMP, Prof. Dr. Chye Fook Yee.

KHAMIS, 11 APRIL 2019 - Pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini telah dilengkapi dengan program Pensijilan Profesional Huawei Certified ICT Associate (HCIA) daripada syarikat teknologi komunikasi terkemuka dunia itu sebagai nilai tambah kepada mereka.

Dekan FKI, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim (gambar) berkata, ia merupakan antara inisiatif UMS dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan kerjasama pihak industri di dalam kampus.

“Bagi menjayakan program pensijilan ini,  FKI dan Huawei telah menubuhkan Huawei ICT Academy yang mana semua kursus dan latihan dijalankan dalam ruang akademi yang terletak di tingkat 5, bangunan FKI.

“Pelajar UMS sangat beruntung kerana program HCIA yang bernilai belasan ribu ini, memberikan latihan, kemahiran dan pengetahuan berasaskan produk sebenar Huawei” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah, di sini hari ini.

Menurut Prof. Madya Dr. Ag. Asri, program pensijilan profesional itu terbuka kepada semua pelajar yang berminat khususnya pelajar program Ijazah Sains Komputer (Kejuruteraan Rangkaian).

Katanya, program ini bukan mudah dan memerlukan peserta sekurang-kurangnya mempunyai pengetahuan dalam sistem rangkaian komputer.

“Hanya mereka yang lulus dalam peperiksaan yang dilaksanakan oleh pihak Huawei sendiri sahaja yang akan menerima sijil profesional yang akan menjadi satu kelebihan apabila bergelar graduan kelak.

“Seperti yang kita sedia maklum, para majikan masa kini amat menitikberatkan pengalaman atau nilai tambah dalam mencari pekerja di organisasi masing-masing.

“Sehubungan dengan itu, pelajar yang mempunyai sijil profesional ini mempunyai peluang yang lebih tinggi berdasarkan kemahiran yang diiktiraf di samping ijazah sarjana muda yang dimiliki,” katanya.

 

 

 

 

RABU, 10 APRIL – Persidangan Antarabangsa Sains dan Sumber Alam kali ke-4 (ICSNR4) 2019 yang berlangsung baru-baru ini menghimpunkan pakar dan profesional dalam bidang sains dan sumber alam bagi perbincangan lebih khusus terhadap perkembangan bidang tersebut.

Bertempat di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu, persidangan anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama United Scientist and Engineers International (UniSE International) itu menghimpunkan lebih 40 peserta dalam kalangan saintis, jurutera, pengamal industri serta pelajar dari pelbagai institusi.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta berkata, matlamat utama persidangan tersebut adalah bagi mengetengahkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dalam bidang sains dan sumber alam serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

“Persidangan ini dianjurkan secara tahunan bagi tujuan sebagai platform kepada para peserta dari pelbagai latar belakang untuk berkongsi hasil penyelidikan terkini dan bertukar pandangan mengenai teori, teknologi, aplikasi dan pengkomersialan dalam pelbagai bidang.

“Diharapkan para peserta mendapat manfaat daripada persidangan ini dengan membantu dalam mengemas kini hasil dapatan terhadap penyelidikan masing-masing, serta mengadakan satu jalinan kerjasama baru sekali gus meluaskan lagi jaringan perhubungan sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian bagi persidangan tersebut, yang dibacakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSA, Dr. Mohd Sani Sarjadi.

Tambah beliau, persidangan itu bakal menyaksikan pembentangan kertas kerja yang lebih teknikal, dengan para pembentang akan membincangkan perkembangan terkini dalam bidang sains dan sumber alam dari aspek aplikasi, pengkomersialan dan trend pada masa hadapan.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan sejumlah 36 kertas dibentang, selain satu ucaptama bertajuk “Ornamental and Medicinal Potentials of Sabah Jewel Orchids, Macodes limii JJ Wood & AL Lamb. yang disampaikan oleh Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.

Hadir sama pada majlis tersebut pengerusi penganjur, Dr. Assis Kamu dan wakil dari UniSE International, Krist Mazmiel.  

SELASA, 9 APRIL – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) serta Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS 4WDVC) akan menganjurkan program Rentas Borneo 5: Ekspedisi Lipan Bara ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gusi, Ulu Sugut Ranau pada 25-28 April 2019.

Rentas Borneo yang merupakan acara tahunan UMS berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan melibatkan sebanyak 25 buah kenderaan pacuan 4 roda yang akan menjalankan khidmat komuniti di kampung-kampung pedalaman Sabah yang sukar diakses menggunakan kenderaan biasa.

Baru-baru ini, penganjur Rentas Borneo 5 yang diketuai Presiden UMS 4WDVC, Prof. Dr. Shahril Yusof beserta rombongan seramai 12 orang menggunakan empat kenderaan pacuan 4 roda telah membuat tinjauan awal ke SK Gusi.

Pada tinjauan itu, rombongan turut membawa bersama bahan binaan untuk membuat tapak gazebo bacaan murid-murid SK Gusi.

“Kita juga telah membuat perbincangan dengan pihak sekolah dan penduduk kampung bagi membuat persediaan awal Rentas Borneo 5.

“Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah sesi motivasi pelajar, pertandingan melukis, persembahan bakat, sesi penanaman pokok buah-buahan dan sayur-sayuran, pemurnian projek solar, sukaneka, pembinaan gazebo bacaan untuk murid SK Gusi, pemeriksaan kesihatan, kelas penjagaan gigi dan lain-lain lagi,” kata Prof. Shahril.

Tambah beliau, aktiviti dan program bersama murid-murid sekolah di pedalaman sekurang-kurangnya dapat membantu menaikkan prestasi akademik mereka.

“Dalam masa yang sama juga, kami dapat membantu penduduk kampung meningkatkan ekonomi mereka melalui kaedah penanaman sayur dan buah-buahan yang terkini, di samping berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan ubat-ubatan memandangkan kemudahan klinik terdekat adalah agak jauh.”

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Gusi, Kamarudin Unangga berkata, beliau sangat gembira kerana Kg. Gusi dipilih menjadi destinasi Rentas Borneo kali ini dan memaklumkan penduduk kampung sangat teruja menunggu kehadiran rombongan UMS nanti.

Turut serta dalam rombongan tinjauan tersebut, Pengerusi Rentas Borneo 5, Prof. Madya Dr. Mahadimenakbar Dawood yang juga Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IBTP.