SELASA, 30 OGOS - Pelbagai aktiviti terus dilaksanakan oleh pelbagai organisasi bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan 2016.
Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Minda Lestari (PML) turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan lagi sambutan ini dengan menganjurkan Hari Kemerdekaan yang diraikan bersama oleh seluruh warganya yang terdiri daripada kanak-kanak, kakitangan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Acara yang menyaksikan kibaran bendera Jalur Gemilang dan Negeri Sabah serta persembahan lagu-lagu patriotik daripada kanak-kanak PML itu dirasmikan Pendaftar UMS, No’man Haji Ahmad.
Dalam ucapannya, beliau memuji langkah PML untuk menganjurkan program sedemikian yang disifatkannya amat bermanfaat khususnya dalam memupuk erti kemerdekaan sejak di peringkat awal umur lagi.
“Ini bukan sahaja boleh menanam semangat patriotik yang tinggi, malah melahirkan masyarakat yang taat setia kepada negara dan lebih menghargai maksud sebenar hidup dibawah kebebasan dari penjajahan,” katanya.
Beliau berkata, generasi pada masa kini juga perlu memahami konsep merdeka dalam perspektif yang lebih luas iaitu bukan hanya bebas daripada penjajahan secara fizikal tetapi juga bebas daripada jajahan berbentuk pengaruh dan anasir-anasir negatif dari luar.
“Kemerdekaan tidak akan bermakna jika pemikiran masih dijajah. Kita perlu merdeka dari pengaruh luar, merdeka dan bebas dari pengaruh negatif,” tambah No’man.
Pada majlis itu, kanak-kanak PML turut memperagakan pakaian yang bertemakan semangat kemerdekaan.
Turut menjadi pengisian ialah Taklimat Program Pendidikan Tanpa Hutang yang disampaikan Pengarah Putra & Associates, Etiqa Takaful Berhad, Haji Pangeran Putra Haji Pangeran Omar.
Hadir sama, Pengarah PML, Aidah Noordin dan Penolong Pendaftar merangkap Pengerusi Sambutan Hari Kemerdekaan PML 2016, Faddili Kasin. -SS



SELASA, 30 OGOS – Program ‘Larian Merdeka 10km Ke Puncak UMS’ anjuran Jawatankuasa Kebajikan, Rekerasi dan Libatsama Masyarakat (KARIB) Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) baru-baru ini meriah dengan penyertaan lebih 80 orang peserta.
ISNIN, 29 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 4,579 kemasukan Pelajar Baharu bagi Sesi 2016/2017, satu peningkatan berbanding sesi terdahulu seramai 4,481.
ISNIN, 29 OGOS – Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah sekali lagi mencatat sejarah dalam bidang penyelidikan hasil kejayaan saintis UMS dalam menghasilkan bibit ketam daripada spesies ketam bakau (Scylla Tranquebarica).
KHAMIS, 25 OGOS - Seminar Kelestarian 2016 dianjurkan dengan jayanya baru-baru ini oleh gabungan kerjasama Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Tokushima, Jepun dan Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA.