RABU, 3 APRIL - Seramai 35 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 18 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) turut serta menjayakan Program Masyarakat dan Sukarelawan ‘Save the Sea Turtle’ bersama penduduk Kampung Tambisan Lahad Datu, baru-baru ini.

Program kerjasama dengan rakan strategik Celcom Timur Sabah dan Tambisan Travel and Tour Sdn. Bhd tersebut merupakan satu program yang melibatkan aktiviti bersama komuniti dan penjagaan alam bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P.Alian berkata universiti adalah merupakan ejen pengubah masyarakat melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan yang dijalankan secara berterusan sebagai tujuan mengenal pasti isu dan peluang yang berkaitan.

“Para pelajar juga dilihat dapat berperanan membantu dalam meneruskan budaya penyelidikan ini dengan menjadikan kawasan Tambisan sebagai lokasi penyelidikan khususnya berkaitan bidang pelancongan, keusahawanan, hidupan marin dan juga warisan sejarah.

“Trend semasa menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar kini dilihat boleh menjadi tarikan pelancong baru. Penglibatan pelancong dalam usaha (konservasi) tersebut dapat mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman pelancong contohnya melalui program seperti ‘Volun-tourism’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut.

Tambah beliau, peningkatan nilai melalui aktiviti harian serta kemahiran yang dimiliki oleh penduduk kampung secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.

“Peranan syaraikat telekomunikasi Celcom Timur adalah sangat dihargai. Kerjasama pintar yang sedemikian amat dialu-alukan serta disokong penuh khususnya oleh kerajaan negeri dalam menjayakan program sebegini.

“Saya berharap projek pelancongan ini dapat dijadikan model oleh kampung-kampung lain untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui penglibatan pihak universiti, industri dan penduduk tempatan,”tambahnya lagi.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata program kemasyarakatan itu merupakan kesinambunagn daripada perjanjian persefahaman yang dimeterai pada bulan November 2018 di antara UMS dan komuniti yang diwakili oleh Tambisan Travel dan Tour untuk sama-sama membangunkan Tambisan sebagai satu hab pelancongan berasaskan komuniti.

“Adalah menjadi harapan universiti agar kerjasama sedemikian akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dari pelbagai aspek seperti penyelidikan, perundingan serta aspek-aspek yang berkaitan dengan perpindahan ilmu di antara universiti dan komuniti yang melibatkan ahli penyelidik UMS, pelajar serta komuniti Kampung Tambisan.

“Pelancongan berasaskan komuniti adalah merupakan pelancongan mapan yang sangat memberi impak serta manfaat kepada penduduk setempat di mana program ini dijalankan. Program ini juga dikenali sebagai CBT (Community Based Tourism) yang mampu merubah sosioekonomi penduduk setempat. Saya percaya dengan kepakaran yang ada di UMS serta kerjasama penduduk kampung Tambisan akan dapat menjayakan projek sedemikian dan dapat dijadikan contoh kepada projek CBT di tempat lain,” jelasnya.

 

RABU, 3 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Universiti-universiti Asia Selatan, Asia Tenggara dan Taiwan (SATU) pada November ini.

Penolong Naib Canselor UMS, Prof Dr Marcus Jopony berkata, mesyuarat itu dijangka akan dihadiri oleh 18-20 universiti anggota SATU yang terdiri daripada universiti-universiti dari negara Brunei, Indonesia, India, Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Singapura dan Taiwan.

"Secara spesifiknya jawatankuasa SATU ditubuhkan oleh  National Cheng Kung University (NCKU) Taiwan pada tahun 2003 bagi mengumpulkan pakar dari kesemua universiti sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan dan Taiwan untuk  berkongsi kepakaran dan membincangkan serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu semasa di negara-negara ahli.

"Kita merasa sangat bertuah kerana universiti yang menyambut ulang tahun ke-88 pada tahun ini  telah memberi kepercayaan kepada UMS sebagai tuan rumah kepada program intelek yang bertaraf antarabangsa.

"Ia sekali gus menyemarakkan lagi pengisian sambutan  ulang tahun UMS yang ke-25 pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden NCKU, Huey-Jen Su, di pejabatnya di sini.

Prof Dr Marcus berkata, pada pertemuan itu,  Huey-Jen Su telah memaklumkan bahawa  tema mesyuarat SATU kali ini ialah berkaitan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

Menurut beliau, ia merupakan satu peluang yang baik untuk UMS jadikannya sebagai medan percambahan idea kerana universiti ini juga mempunyai program akademik yang berkaitan  seperti Program Kerja Sosial di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, selain kursus Khidmat Bakti Siswa yang merupakan subjek kokurikulum wajib yang perlu diambil oleh pelajar.

"Aktiviti kemasyarakatan juga dijalankan secara aktif melibatkan pelajar dan kakitangan UMS.

"Sehubungan itu, kita telah mencadangkan agar para peserta mesyuarat  bersama-sama pelajar UMS  menyertai program tanggungjawab sosial di kampung yang berhampiran kampus, dan ia  disambut baik oleh Presiden NKCU," jelas beliau.

Mengulas lanjut Prof Dr. Marcus memaklumkan, pertemuan itu juga telah memberi ruang kepada perbincangan untuk mengadakan  Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan.

"Jika semuanya berjalan lancar, kita jangkakan satu majlis menandatangani MoU/MoA antara UMS-NKCU  akan diadakan semasa Mesyuarat SATU kelak," katanya yang juga merupakan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS.

Hadir sama pada kunjungan itu ialah Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho. Chung Mun, Timbalan Pengarah PPSKK UMS, Dr Jakaria Dasan, dan Pengarah Bahagian Perhubungan Antarabangsa NCKU, Prof. Chia-Yuan Chen.

SELASA, 2 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi salah sebuah institusi pendidikan tinggi yang telah menyertai persidangan dan pameran akademik antarabangsa anjuran Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini.

UMS yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Rasid Hj Mail bersama-sama dengan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof Dr Ho Chung Mun dan beberapa delegasi dari UMS merupakan antara lebih 2,000 delegasi dari serata dunia yang mengambil bahagian dalam persidangan dan pameran tersebut.

Menurut Prof. Dr. Rasid, penyertaan persidangan ini membuka peluang buat UMS untuk meningkatkan jalinan hubungan antarabangsa universiti.

“Pada dasarnya, APAIE bertujuan untuk mengumpulkan para pendidik, universiti dan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan tinggi di Asia Pasifik untuk mempromosikan komunikasi, rangkaian dan pembangunan profesional.

“Persatuan ini memainkan peranan penting dalam memudahkan pertukaran dan pergerakan pelajar, kakitangan dan pakar, dan perkembangan kerjasama akademik antara wilayah, di samping menggalakkan amalan terbaik menerusi jalinan kerjasama yang diwujudkan dalam kalangan pelbagai institusi dan agensi terlibat yang sekali gus mewakili dan mempromosikan pandangan rantau Asia Pasifik mengenai pendidikan antarabangsa ke seluruh dunia,” katanya.

Mengetengahkan tema “Diversity and Inclusivity of Higher Education in the Asia-Pacific” atau Kepelbagaian dan Keterangkuman Pendidikan Tinggi di Asia Pasifik, para delegasi mengambil peluang sepenuhnya untuk membuat lawatan ke ruang-ruang pameran dari institusi lain sambil bertukar-tukar maklumat dan idea sepanjang lima hari program tersebut berlangsung.

 

 

SELASA, 2 APRIL - Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengambil inisiatif merapatkan hubungan kakitangannya dengan pihak pengurusan universiti melalui perhimpunan kakitangan bersama Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof, baru-baru ini.                                                       

Pada perjumpaan tersebut, Pengarah PML Aidah Noordin menyatakan hasrat PML untuk terus mengekalkan momentum dalam usaha menjadikan PML sebagai pusat rujukan pendidikan awal kanak-kanak di rantau Borneo.                                                        

Selain itu juga beliau turut berkongsi tentang pencapaian PML sepanjang tahun 2018 serta memaklumkan beberapa aktiviti utama yang telah digariskan dalam Pelan Strategik PML bagi tahun 2019.

“PML bercadang untuk membuka cawangan di kampus cawangan, selaras dengan hasrat kerajaan berkaitan penubuhan taska di tempat kerja bagi membantu lebih ramai kakitangan mendapat khidmat penjagaan kanak-kanak,” jelasnya.

Tambahnya, semua kakitangan PML yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) harus meningkatkan kemahiran dalam mendidik kanak-kanak.

“Modul sedia ada akan dikemas kini dan saya mensarankan agar para pendidik lebih kreatif dengan  menumpukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berteraskan “Nature Learning”.  Sehubungan itu, semua warga PML digesa agar terus memelihara kelestarian Taman Mini Kreatif PML yang telah siap dibina pada tahun lepas agar dapat menjadi daya tarikan kepada pengunjung PML selain sebagai aktiviti Nature Walk bagi kanak-kanak PML,” katanya.

Sementara itu, Vina dalam ucapannya amat teruja hadir ke PML dan memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut adalah antara aktiviti yang telah digariskan dalam Misi Pendaftar 2019.  

“PML adalah merupakan gedung ilmu pendidikan awal atau pendidikan asas kanak-kanak. Selain ibu bapa, tugas dan tanggungjawab guru-guru PML adalah amat penting kerana guru-guru inilah yang akan mencorakkan kanak-kanak.

“Guru-guru harus kreatif dan sistem penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan iaitu kanak-kanak harus pada tahap yang terbaik sesuai dengan KRA 4 Jabatan Pendaftar iaitu Mengukuhkan Tadbir Urus, Kepimpinan dan Penyampaian Sistem Perkhidmatan,” ujarnya. 

Tambah beliau, sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dapat diukur melalui kepuasan pelanggan, kos perkhidmatan yang disampaikan, kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan.

“Untuk memastikan penyampaian yang berkualiti, kakitangan harus berkualiti dari sudut prestasi, disiplin, integriti dan sentiasa berusaha memajukan diri.

“Kakitangan harus sentiasa sihat agar mampu menjalankan tugas dengan berkesan, gembira menjalankan tugas yang diamanahkan serta sentiasa berkerjasama atau dengan kata lain menjaga hubungan sesama rakan sekerja dalam organisasi dan mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan selamat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.

SELASA, 2 APRIL – Penganjuran program Art’s Street De Pinakol Step yang bertempat di Pinakol Step, Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu mempromosikan lagi Pinakol Step sebagai satu tarikan pelancong untuk melawat dan merakamkan gambar di kawasan tersebut.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) akan diadakan pada setiap hari Sabtu sebagai usaha menarik perhatian pelancong untuk berkunjung ke Pinakol Step.

Pinakol Step merupakan laluan 138 anak tangga yang dihiasi dengan lukisan corak berasaskan Pinakol, yang merujuk kepada aksesori terpenting sebagai pelengkap kepada pakaian tradisional yang menjadi lambang etnik Rungus di Sabah.

Lukisan tersebut adalah sentuhan oleh 102 pelajar Program Teknologi Seni Visual, FKSW dengan dibantu empat orang pelukis tempatan.

Sementara itu, program Art’s Street De Pinakol Step yang dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa  turut menjadi satu titik mula bagi memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk menonjolkan karya serta bakat mereka.

Pelbagai aktiviti menjadi pengisian pada acara majlis pelancaran program tersebut, antaranya persembahan koir daripada Bakti Siswa PKPP, persembahan busking atau kugiran, persembahan tarian kebudayaan, pameran lukisan, kraf tangan, batik dan demo lukisan, gerai makanan dan minuman, food truck dan sebagainya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; dan Ketua JHEP, Kamisah Husin.