SELASA, 16 OGOS 2016- Persidangan Pendidikan Malaysia kali ke-10 (MSC10) berlangsung dengan jayanya di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

Dianjurkan  bersama oleh  Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid.

Dalam ucapannya beliau berkata,  persidangan ini mampu meluaskan dan mengembangkan lebih besar skop pendidikan di Malaysia dan ASEAN untuk menuju taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara lain.

Beliau juga menyentuh tentang isu perbezaan jantina yang sering menjadi topik perbincangan utama di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak harus menafikan bahawa telah ramai wanita mencapai kejayaan dan melibatkan diri dalam pelbagai aspek yang menyumbang kejayaan di dalam negara pada masa kini,” katanya.

Bertemakan Globalisasi dan Wilayah: Konteks Malaysia dalam Pembangunan Komuniti ASEAN, majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof dan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), Prof. Dr. Rashila Ramli.

Sumber: Abduh Warren, Pelatih UMS

SELASA, 16 OGOS - Seramai 16 pelajar Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Pameran Festival Seramik Antarabangsa ke-7 SELSIUS 2016 baru-baru ini.

Menurut Ketua Program Teknologi Seni Visual UMS, Norhayati Ayob, pameran yang bertempat di Galeri Reka Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur, disertai oleh kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun satu, dua dan tiga serta pelajar Ijazah Sarjana Program Teknologi Seni Visual.

“Pameran ini turut melibatkan penyertaan dari 11 buah negara iaitu Korea Selatan, Turki, China, India, Thailand, Amerika Syarikat, Switzerland, Jepun, Singapura, Indonesia dan juga Malaysia.

“Ini sekali gus memberi pengalaman baharu dalam kalangan pelajar Teknologi Seni Visual untuk mendalami seni seramik dari negara luar,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Program Teknologi Seni Visual, Prof. Madya Dr. Baharuddin Mohd Arus berkata, pameran ini turut memberi pendekatan pembelajaran di luar kampus dengan melihat demonstrasi dari seniman antarabangsa dan tempatan.

Terdahulu, Kurator pameran tersebut, Dr. Shamsu Muhamad menjelaskan, perkataan Selsius merupakan metafora kepada semangat dan impian agar seni seramik kontemporari negara sentiasa berkembang di persada antarabangsa.

“Selsius sendiri bermaksud takat suhu pembakaran seramik yang dipraktis oleh seniman, pereka, usahawan kraf dan teknologis industri.

“Justeru, Pameran Selsius merupakan antara satu wadah dan wahana kepada seniman seramik lama dan baru dalam menzahirkan idea kreatif yang bersinergi dengan teknologi mutakhir,” katanya.

Pelbagai program sokongan yang akan dijalankan di Balai Seni Visual Negara antaranya Bicara Seni, Demonstrasi dan Bengkel Seramik, serta Jualan Seramik.

Pameran tersebut dibuka kepada orang ramai bermula 2 Ogos lalu sehingga 30 September ini.

Sumber: Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan

ISNIN, 15 OGOS - Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) akan mengadakan Seminar pengurusan kewangan peribadi, “Merancang Kembali Kewangan Anda” pada 17 Ogos 2016 (Rabu) pukul 2.00 petang bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori, UMS.

Seminar ini antara lain bertujuan membantu kakitangan UMS dalam merancang kewangan peribadi berdasarkan pendapatan, mengetahui kaedah pengurusan hutang serta cara mempercepatkan penyelesaiannya, menetapkan matlamat kewangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, dan membuat pengiraan ringkas secara individu.

Seminar ini akan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Mata & Lasik Prof. Muhaya, Encik Muhammad Addaem Mikhail  Chandran iaitu menantu kepada Profesor Oftalmologi yang juga seorang pakar inspirasi terkenal, Prof. Dr. Muhaya Mohamad.

Ahli-ahli KESUMBA adalah dijemput untuk menghadiri seminar ini.  Masuk adalah percuma.  Manakala bayaran sebanyak RM30.00 dikenakan kepada bukan ahli KESUMBA.

Sebarang pertanyaan sila berhubung dengan Ketua Biro Pendidikan dan Pelajaran KESUMBA, Puan Stella @ Nurul Martini Gontol di talian 088-320000 samb.  1437 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. - FL

ISNIN, 15 OGOS - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS telah mengelolakan secara bersama dengan Akita International University (AIU) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Program Summer School 2016 melibatkan pelajar-pelajar dari AIU dan UTM.

Program ini yang berlangsung selama 10 hari bermula dari 8 hingga 18 Ogos 2016 turut mendapat sokongan padu dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, agensi-agenis pelancongan di peringkat negeri, serta komuniti terlibat.

Menurut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr Raman Noordin, kolaborasi-kolaborasi seumpama itu bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai keindahan flora dan fauna Sabah, bahkan juga menjadi ruang untuk pelajar, khususnya pelajar antarabangsa dan dari Semenanjung Malaysia untuk mengalami sendiri budaya dan corak hidup masyarakat tempatan, khususnya di kawasan luar bandar negeri Sabah.

“Program ini turut menjadi medan terbaik untuk membudayakan budaya penyelidikan secara hands-on experience dalam kalangan pelajar,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau sempena program tersebut.

Berkonsepkan  Project Based Learning, Summer School 2016 yang melibatkan pelajar-pelajar Program Pelancongan dari tiga buah universiti  tersebut turut memberi peluang kepada peserta untuk mendalami isu-isu terkini dalam bidang pelancongan seperti Green Economy in Tourism, dan Good Governance of Protected Area melalui pengisian program siri siri ceramah dan juga sesi perkongsian bersama pemain industri seperti Lembaga Penggalakan Pelancongan Sabah, Taman taman Sabah dan Pengusaha homestay Walai Tokou di Kundasang.

Seiringan dengan program itu juga, satu majlis menandatangani surat niat telah dijalankan di antara AIU dan FPEP, UMS dengan hasrat untuk menggalakkan kerjasama dan hubungan yang kukuh dalam bidang kerjasama akademik dan penyelidikan, pertukaran pelajar, pertukaran budaya dan penganjuran persidangan antara FPEP UMS dan AIU, Jepun.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Pusat  Perancangan Inovatif dan Pembangunan UTM,  Prof Dr Amran Hamzah; Timbalan Pengarah Pusat Asia Timur dan Penyelidikan, AIU, Prof Madya Tetsuya Toyoda; dan Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi, FPEP, Dr Rini Suryati Sulong.

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP UMS

JUMAAT, 12 OGOS - UMS adalah sebuah universiti awam yang mempunyai kelengkapan yang boleh digunakan untuk melaksanakan penyelidikan dalam Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN), sebuah program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Shahril Yusof berkata, para usahawan di negeri ini khususnya Penggiat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh menggunakan kemudahan di UMS untuk membantu dalam mengendalikan perindustrian masing-masing.

Pada masa sama jelasnya, UMS turut menyediakan satu ruang kepakaran untuk digabungkan bersama pihak industri dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha tempatan Sabah.

“Ini adalah satu peluang yang amat baik untuk kita manfaatkan  kepakaran yang ada di universiti awam termasuklah UMS bagi menyelesaikan kekurangan para pengusahan industri.

“Kerajaan juga menyediakan dana khusus untuk universiti serta industri bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan aspek pengeluaran,” katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada majlis perasmian Seminar dan Bengkel PPRN Siri Jelajah Negeri Sabah  di Dewan Resital semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah yang diwakili oleh pembantunya Datuk Bolkiah Ismail.