KHAMIS, 12 OKTOBER – Seramai 409 peserta menjayakan program Run & Ride Charity Integrity 2017 anjuran Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Bertempat di Dataran Padang Kawad UMS, program julung kalinya itu telah menerima penyertaan beberapa organisasi berbasikal tempatan, antaranya Gabungan Basikal Likas (GBL) dan Unggun Cycling Club Kota Kinabalu, selain penyertaan pelajar kokurikulum basikal UMS, warga UMS serta orang awam.
Program duathlon yang berorientasikan basikal dan larian itu bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang cergas dan aktif, selain menjadi medium untuk mengumpul dana bagi Tabung Amanah Orang Kurang Upaya (OKU) UMS.
Hasil daripada program tersebut, pihak penganjur berjaya mengutip dana sebanyak RM2,646 yang kemudiannya diserahkan kepada wakil Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahirunnisham Ahmad.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali dalam ucapan perasmian program itu berkata, program tersebut mampu memberi impak positif kepada peserta dalam memupuk nilai-nilai murni melalui aktiviti sukan.
“Program sebegini wajar dilaksanakan kerana mampu memupuk sikap integriti dalam kalangan siswa siswi, dan diharap akan ada kesinambungan bagi program ini pada masa akan datang agar nilai-nilai murni terus dapat disemai dalam diri setiap insan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Pegawai Belia dan Sukan, Charles Thomas.
Program itu turut diserikan dengan persembahan daripada Kelab Lentera Tari, Kolej Kediaman Excellent, UMS.
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar



KHAMIS, 12 OKTOBER – Program pencegahan dadah perlu dikaji dan diberi suntikan idea baru bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan kumpulan sasar dapat dikurangkan.
RABU, 11 OKTOBER – Siri syarahan Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyentuh isu hak asasi manusia kelmarin mendapat perhatian siswa-siswi UMS yang berpeluang untuk mendalami pelbagai isu berkaitan hak asasi daripada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
SELASA, 10 OKTOBER – Belia di negara ini disaran agar mencontohi semangat keusahawanan koperasi yang ditonjolkan oleh belia luar negara bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap kerajaan.
ISNIN, 09 OKTOBER - Masyarakat di Sabah khususnya generasi muda diminta mengambil peluang dalam sektor pelancongan yang kini terus berkembang dengan pesat di negeri ini.