KHAMIS, 29 SEPTEMBER - Ahli Jawatankuasa Pelaksana Minggu Seerat Salam telah mengadakan Malam Seribu Bintang bersama para pelajar baharu Kolej Kediaman E, Universiti malaysia Sabah (UMS) 2016, baru-baru ini.

Bertemakn Malam Apresiasi P. Ramlee,  majlis kemuncak program Minggu Seerat Salam itu dilihat menjadi platform yang baik dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Kolej Kediaman E  bersama pihak induk kolej.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Kediaman E, pendedahan yang diberikan sepanjang program tersebut telah memberi manfaat kepada seluruh warga kolej.

Perasmian Malam Seribu Bintang itu disempurnakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat.

Majlis turut diserikan dengan persembahan lakonan filem-filem karya Tan Sri P. Ramlee daripada setiap blok kediaman.

Para hadirin juga disajikan persembahan kemuncak daripada Ahli Jawatankuasa Pelaksana Minggu Seerat Salam yang hadir dengan memakai pakaian mengikut tema "Back to 60's".

RABU, 28 SEPTEMBER – Seramai 295 pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Sijil Asasi Sains dalam satu majlis yang diadakan Dewan Kuliah Pusat 1, baru-baru ini.

Majlis Penyampaian Sijil Asasi Sains Kali ke-6 itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsaan), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin.

Dalam ucapannya beliau mengharapkan agar para pelajar dapat menimba dan memanfaatkan ilmu sepanjang menuntut di PPST sekali gus merangsang kreativiti dan menjana inovasi untuk diaplikasi dalam kehidupan seharian.

“Saya menyeru agar para pelajar terus menanam minat terhadap bidang sains dan teknologi serta bertekad dan bersemangat menjadi sebahagian daripada nadi penggerak kepada pembangunan pesat negara,” katanya yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Sementara itu, Pengarah PPST, Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, memiliki kejayaan itu amat indah tetapi untuk mencapai sebuah kejayaan bukannya mudah.

“Oleh itu jangan cepat berputus asa dan cepat berpuas hati dengan kejayaan yang sedikit.

“Para pelajar harus bersikap positif terhadap kehidupan, komited terhadap tugas dan tanggungjawab, sentiasa berintegriti serta meningkatkan jati diri biarpun berada di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Pada majlis itu, Prof. Dr. D. Kamarudin turut menyampaikan empat anugerah khas kepada pelajar PPST.

Bagi Anugerah Naib  Canselor, penerimanya ialah Siti Zaleha Abd Tahar, manakala Anugerah Pengarah menjadi milik Mohd. Helmie Janong.

Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan serta Anugerah Pelajar Harapan pula masing-masing diraih oleh Joubert Joisin dan Shazlin Ma Abrihim@Ibrahim.

Kesemua mereka menerima sijil penghargaan dan trofi.

RABU, 28 SEPTEMBER - Sabah kini muncul sebagai tempat latihan peringkat antarabangsa yang penting khususnya dalam bidang pengurusan ekosistem dan biodiversiti bersepadu, kata Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Tan Sri Sukarti Wakiman.

Menurutnya, ia berikutan kejayaan menghoskan beberapa siri Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) yang turut dihadiri peserta luar.

“Tahun ini 50 peratus daripada peserta datang dari Afrika, dan kami gembira melihat komitmen tersebut ke arah pemuliharaan alam semula jadi di Afrika.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya bangga menyatakan bahawa Sabah telah menjadi tempat latihan antarabangsa yang penting untuk Bersepadu Biodiversiti dan Pengurusan Ekosistem, dan saya penuh yakin bahawa program latihan ini akan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Caselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali pada majlis penutupan program tersebut di Dewan Bankuasi UMS.

Program selama 21 hari itu dianjurkan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah,  Kementerian Luar Negeri dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Hadir sama Pengarah IBTP UMS, Prof. Dr. Charles S. Vairappan.  

SELASA, 27 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus unggul dalam aspek tadbir urus pengurusan rekod universiti apabila menerima pengiktirafan melalui penarafan lima bintang dan sekali gus dinobatkan sebagai Universiti Awam (UA) Terbaik dalam Pengurusan Rekod bagi tahun 2016.

Penarafan tersebut dicapai hasil dapatan audit yang dijalankan oleh Arkib Negara Malaysia terhadap pelaksanaan tadbir urus pengurusan rekod di UMS baru-baru ini.

Pencapaian tersebut turut menyaksikan UMS sebaris dengan dua lagi UA, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut menerima penarafan lima bintang, serta berada di hadapan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat penarafan empat bintang.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu acara penyampaian sijil penghargaan kepada wakil universiti awam bersempena Majlis Anugerah Pengurusan Rekod Terbaik 2016 Peringkat Universiti Awam di bangunan Arkib Negara Malaysia, yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dr. Junaida Lee Abdullah hari ini.

Pelaksanaan Anugerah Pengurusan Rekod Terbaik ke atas agensi-agensi kerajaan antara lain adalah bagi menilai dan mengukur prestasi pengurusan rekod bagi memastikan pelaksanaan program pengurusan rekod berada di tahap cemerlang, memberi pengiktirafan kepada penjawat awam yang telah melaksanakan tadbir urus pengurusan rekod terbaik dan cemerlang, dan menggalakkan persaingan sihat dalam pembudayaan program pengurusan rekod yang kondusif.

SELASA, 27 SEPTEMBER - Seramai 30 orang menghadiri seminar CTI Regional Exchange (REX) on Climate Change Adaptation yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia  (MOSTI), semalam.

Seminar dua hari itu antara lain bertujuan membincangkan penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) berkenaan adaptasi perubahan iklim dalam kalangan negara-negara ahli Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI).

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) MOSTI, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, seminar tersebut dapat memberi ruang perbincangan mengenai peluang baharu berkaitan sains dan teknologi yang akan muncul hasil daripada fenomena perubahan iklim, sekali gus dapat menyumbang kepada sektor ekonomi setiap negara, budaya masyarakat pesisir dan sumber alam yang mampan.

Beliau merasmikan seminar tersebut di Ballroom Pan Pacific Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Seminar itu juga turut membuka ruang pembentangan kertas kerja daripada lapan negara iaitu Timor-Leste, Indonesia, Kepulauan Solomon, Filipina, Papua New Guinea, Australia dan Malaysia.

Foto : Suzeanywati Gasinin