KHAMIS, 3 MAC - Bengkel Kemahiran Alat Muzik Tradisional Sabah akan diadakan di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 16 hingga 18 Mac ini sebagai usaha memartabatkan seni muzik tradisi Sabah.

Bengkel anjuran bersama  Rumpun Bambu dan pihak Program Muzik, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS dengan kerjasama daripada Pejabat Pelajaran Tuaran ini sehingga kini telah mendapat penyertaan lebih 100 orang peserta yang telah mendaftar.

Peserta-peserta tersebut antaranya adalah guru-guru sekolah, pelajar-pelajar daripada Maktab Kent Tuaran, peserta bebas persendirian dan juga pelajar-pelajar daripada Program Muzik, FKSW, UMS.

Menurut Kuhim @ Ebin Ugat selaku Ketua Pelaksana Bengkel ini dan merangkap Pengasas kepada Rumpun Bambu, Bengkel Kemahiran Alat Muzik Tradisional Sabah yang julung-julung kali diadakan ini merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan lagi alat-alat muzik tradisional Sabah dan memperkenalkannya kepada orang ramai terutama sekali kepada generasi muda masa kini

Kuhim yang merupakan penggiat aktif Alat Muzik Tradisional Sabah dan telah berkecimpung dalam bidang ini melebihi 15 tahun, juga adalah peneraju bagi pengajian alat muzik tradisi berasakan Buluh di UMS bersama-sama Lawrence Fauzi Kating.

Sementara itu, Ketua Program Muzik, FKSW, Roslee Haji Wahid berharap agar program ini bakal memberi manfaat kepada para siswa-siswazah Pengajian Seni Muzik di UMS.

“Melalui penganjuran Bengkel seperti ini diharapkan agar lebih ramai masyarakat tempatan terutamanya generasi muda akan lebih tertarik untuk mempelajari mengenai teknik  pembuatan dan teknik bermain Alat Muzik Tradisional Sabah agar warisan budaya negeri Sabah yang menjadi kebanggaan kita akan terus kekal terpelihara di masa-masa akan datang.

“Kami juga ingin mengajak orang ramai untuk turun bersama memeriahkan sesi persembahan ensemble alat muzik bambu Sabah pada 18 Mac ini, jam 2 petang di Dewan Resital,” katanya.

Yuran penyertaan bagi bengkel selama tiga hari ini ialah sebanyak RM280.

KHAMIS, 3 MAC – Koperasi Universiti Malaysia Sabah (KO-UMS) telah mengadakan majlis Cabutan Bertuah Baucer Buku 1 Malaysia bertempat di Bangunan Anjung Siswa baru-baru ini.

Majlis Perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan dihadiri seramai 50 pelajar.

Pada majlis tersebut, pelajar dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fatheen Ellina Abder Nasser memenangi hadiah utama iaitu sebuah Skuter Demak  yang bernilai RM5,000.00.

Selain itu, beberapa hadiah lain seperti 30 buah hamper, empat buah Laptop ASUS dan tujuh buah telefon bimbit juga turut menjadi rebutan.

Menurut Dr. Ismail, pemberian baucer buku tersebut merupakan durian runtuh daripada kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi kepada Mahasiswa UMS.

“Inilah peluang keemasan kepada semua pelajar yang menerimanya dan memilih untuk berbelanja di Koperasi UMS. Mahasiswa juga harus bijak memilih buku-buku yang diperlukan bersesuaian dengan proses pembelajaran dan pengajaran semasa,” katanya.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut, Hj Rizal Othman, Pengerusi Lembaga KO-UMS, ahli – ahli lembaga KO-UMS , Pengurus Koperasi dan pegawai-pegawai UMS.

Sumber : Norhana Nordin

Foto : KO-UMS

RABU, 2 MAC - Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Kinki, Jepun telah menandatangani satu memorandum perjanjian (MoA) bagi menubuhkan Pusat Pembangunan Akuakultur UMS-Kinki bertempat di Institut Penyelidikan Marin Borneo.

Majlis menandatangani MoA tersebut berlangsung di Hatceri IPMB, UMS yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Menurut Datuk Nik Ali, penubuhan pusat ini akan mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara kedua-dua buah universiti yang sekian lama terjalin dalam bidang akuakultur dan industri ini sangat penting dalam peningkatan aktiviti ekonomi domestik, serantau dan antarabangsa kerana ia berkait dengan sumber makanan dan protein berkualiti tinggi.

“Bagi memastikan pengekalan pembangunan industri, saintis akuakultur dan pemain industri seharusnya bekerjasama menghasilkan hala tuju strategik bukan sahaja dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bahkan dalam bidang pemasaran dan hubungan pengurusan rantaian bekalan,” katanya yang turut merasmikan pusat tersebut.

Tambah beliau lagi, kerjasama strategik dalam R&D antara UMS dan Kinki dalam bidang akuakultur dan industri berkait dengan bidang ini akan membekalkan asas yang kuat untuk pembangunan industri akuakultur pada masa akan datang.

Kepentingan industri akuakultur adalah berkait dengan pengekalan sumber makanan sebagaimana yang dilaporkan Food and Agriculture Organisation of the United Nation (FAO UN) yang merekodkan sebanyak 183 juta tan dihasilkan pada tahun 2015 berbanding 133 juta tan dihasilkan pada tahun 2000.

Pada masa yang sama juga Bank Dunia turut melaporkan bahawa pada tahun 2030, sebanyak 62% makanan laut atau ikan yang dimakan akan dihasilkan menerusi ternakan untuk memenuhi permintaan.

Selepas MoA ini ditandatangani, pusat ini akan menjalankan penyelidikan menghasilkan benih-benih ikan, meningkatkan kualiti ikan Napoleon Wrasse, kerapu, keli dan meneruskan penternakan belut.

Datuk Nik Ali turut dibawa melawat Hatceri yang menempatkan ikan-ikan yang dijadikan induk bagi proses mengeluarkan benih.

Beliau juga dapat melihat para penyelidik UMS melakukan demonstrasi bagaimana proses aruhan dan pembenihan ikan dijalankan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Presiden Universiti Kinki, Prof. Dr. Hitoshi Shiozaki, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj Ahmad, Pendaftar Universiti Kinki, Hiroyasu Tsuji dan Pengarah IPMB, Prof. Dr. Rossita Shapawi.

RABU, 02 MAC - Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dibawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar , UMS telah melaksanakan Bengkel Tari di SK Pekan Tambunan, baru-baru ini.

Seramai 47 orang pelajar daripada enam buah sekolah dari sekolah rendah dan sekolah menengah telah menyertai bengkel berkenaan.

Sekolah yang mengikuti adalah SK Geras, SK Pekan Tambunan, SK Kumawanan, SK Patau, SMK Tambunan dan SMK St Martin.

Bengkel Tari ini bertujuan membantu sekolah-sekolah di Daerah ini dalam mengasah dan mencungkil bakat anak-anak muda dan membantu guru-guru dalam memberi sedikit tunjuk ajar dalam bidang seni tari sekaligus mengajar mereka dalam asas seni tari samaada tarian melayu ataupun tarian tradisonal Negeri Sabah sendiri.

Seramai lapan jurulatih melibatkan empat orang pegawai Artis Budaya dari Bahagian Kebudayaan dan Kesenian iaitu Alan James, Norain Abd Razak, Resty Cindy Ony dan Suhairin Abd Kadir dan Empat orang mahasiswa UMS sebagai fasilitator bengkel iaitu Ahmady Rady, Mohd Adib Aiman, Diana dan Chelsea juga menyertai menjayakan bengkel ini.

Majlis Perasmian/Penutupan Bengkel Tari ini telah diadakan di Dewan SK Pekan Tambunan dan dirasmikan oleh Azmi Jumat, Ketua Jabatan HEPA mewakili Timbalan Naib Canselor, HEPA , Prof Madya Dr Ismail Ali.

Azmi berkata, program sedemikian adalah satu usaha dalam membantu sekolah dalam memupuk minat para pelajar dalam bidang seni tari.

“Ternyata hasil berkampung selama tiga hari dua malam sangat menunjukkan hasil yang sangat baik dan memuaskan.

“Pihak UMS sentiasa membantu dan memberikan kerjasama samaada dalam bidang akademik dan bukan akademik. Diharap ikatan kerjasama yang telah dibina ini berpanjangan dan terus maju,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Guru Besar SK Pekan Tambunan Nordin Lawanding, serta para penolong kanan, guru sekolah dan guru pengiring.

Sumber : Norhana Nordin HEPA

Jurufoto : Jalani Moksin

SELASA, 1 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pelajar-pelajar dari Kolej Kediaman Tun Mustapha telah menjayakan Kem Kepimpinan bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ranau baru-baru ini.

Kem kepimpinan yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu disertai oleh 116 orang pelajar SMK Ranau, yang terdiri daripada ketua kelas, pengawas perpustakaan sekolah, pembimbing rakan sebaya (PRS) dan pengawas sekolah, serta melibatkan 14 orang pelajar Kolej Kediaman Tun Mustapha.

Antara pengisian dalam program ini ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek kepimpinan dan kerjasama dalam satu kumpulan. Selain itu, turut ditekankan aspek pengurusan masa bagi melatih peserta dalam mengurus masa dan aktiviti harian mereka sebagai seorang pelajar sekali gus mendisiplinkan mereka dalam pelbagai aspek dan situasi.

Pengetua SMK Ranau, Barizah Kahar dalam ucapannya pada penutupan program tersebut berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih atas kesudian siswa-siswi UMS untuk bekerjasama dengan pihak sekolah bagi merealisasikan kem kepimpinan di sekolah tersebut.

“Kehadiran siswa-siswi UMS telah banyak membantu pelajar memahami cara menjadi  seorang pemimpin sekali gus membentuk sahsiah diri pelajar  yang baik.

“Diharapkan program ini akan menjadi titik tolak kepada pelbagai kerjasama bersama pihak UMS pada masa akan datang,” ujarnya.