Oleh Che Hasruddin Che Hasan

SELASA, 12 JANUARI - Kedaulatan makanan (food security) sebagaimana dicetuskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada September 2015 merujuk kepada keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import yang menjadi dasar strategik penting buat Malaysia.

Menerusi cetusan ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mengungguli kedaulatan makanan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah dan pihak industri bagi meneruskan usaha memperkasakan bidang pertanian demi manfaat masyarakat setempat dan negara amnya.

Usaha ini menjadi inti perbincangan pada pertemuan antara Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Datuk Harun, UMS akan memfokuskan kepada kedaulatan makanan, ecofarm dan pembangunan industri pertanian melalui latihan keusahawanan dan komuniti.

“Usaha yang dijalankan UMS ini mendapat sokongan Ketua Menteri kerana ia berkonsepkan kerjasama akademia-industri,” katanya.

Pada pertemuan tersebut, Datuk Harun turut memaklumkan bahawa UMS telah mengenal pasti beberapa kawasan tanah pertanian untuk mencapai hasrat berkenaan.

Ujar beliau, bidang pertanian akan menjadi salah satu bidang tujahan yang akan diperkasakan di peringkat UMS.

“Pemerkasaan bidang pertanian akan menggalakkan lebih ramai anak muda tempatan menceburi bidang pertanian sebagai usahawan tani yang bukan sahaja dapat memberikan pendapatan lumayan tetapi dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada masyarakat.”

“Semoga melalui usaha ini mampu memangkin negara kita ke arah menghasilkan sumber-sumber makanan yang mencukupi dan seterusnya dapat dieksport ke luar negara dalam meningkatkan pendapatan negara,” tambahnya lagi.

Datuk Harun turut tertarik dengan konsep ‘Zero Discharge’ yang diaplikasikan di ladang tenusu milik usahawan berjaya, Datuk Yap Yun Fook di Keningau ketika membuat lawatan rasmi ke tanah milik UMS di Apin-apin, Keningau.

“Insya-Allah, UMS akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Datuk Yap yang selama ini telah terjalin untuk merealisasikan konsep ecofarm di Fakulti Pertanian Lestari UMS di Sandakan sekali gus menggiatkan kerjasama antara pihak industri dan universiti,” ujarnya.

Untuk rekod, pada pembentangan Bajet 2016, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 bilion bagi menyediakan pelbagai bantuan dan insentif ke arah memperkasakan pertanian kerana bidang ini menyumbang 8.6% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

 

SELASA, 12 JANUARI – Wakil Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul pemenang tempat ketiga kategori wanita pada Festival Nyanyian Lagu Asli Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) baru-baru ini.

Puteri Norain Faradina Nordin, pelajar tahun tiga, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS meraih kemenangan itu melalui dendangan lagu Laksamana Mati Dibunuh dan Sireh Pinang.

Beliau menerima wang tunai RM500 berserta piala dan sijil.

Dengan hadiah RM1,500, johan pula disandang peserta Universiti Malaya (UM), manakala wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditabalkan sebagai naib johan dengan menerima RM1,000.

Kedua-dua mereka turut menerima piala dan sijil.

Kategori lelaki juga menyaksikan peserta UM muncul sebagai johan, disusuli Universiti Putra Malaysia (UPM) naib johan dan UiTM ditempat ketiga.

Kesemua mereka menerima hadiah yang sama dengan kategori wanita.

Festival yang berlangsung di Panggung Percubaan UPM itu turut disertai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Pertahanan Nasional  Malaysia (UPNM), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – ZMD

Sumber: Norhana Nordin

ISNIN, 11 JANUARI - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Ismail Ali mahu Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) turun padang membantu mahasiswa di universiti.  Ini kerana, katanya, Jakmas merupakan penghubung antara pengurusan universiti dengan mahasiswa dalam menghadapi kehidupan seharian di kampus.

Pada masa sama, beliau meminta Jakmas sentiasa berada di barisan hadapan ketika universiti menghadapi masalah khususnya yang berlaku di kolej kediaman.

"Jakmas merupakan penghubung antara pengurusan universiti dengan mahasiswa. Mereka perlu berada di barisan hadapan ketika mahasiswa menghadapi masalah khususnya di asrama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) Sesi 2015 – 2016 di Bilik Seri Menanti, Bangunan Menara UMSKAL baru-baru ini.

Pada majlis itu, Dr. Ismail yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menyampaikan watikah kepada 20 Jakmas iaitu sembilan mewakili Kolej Kediaman Beta dan 11 Kolej Kediaman Alpha dan Mutiara.

Turut hadir Timbalan Pengarah UMS Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal mewakili Pengarah Kampus, Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat. – SS

Sumber: Azri Onn

 

ISNIN, 11 JANUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan meneruskan usaha memperkasakan bidang pertanian demi manfaat masyarakat setempat dan negara.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menerusi entri terbaru di laman facebook rasmi beliau menyatakan bahawa bidang pertanian akan menjadi salah satu bidang tujahan yang akan diperkasakan di peringkat UMS.

Menurutnya, pemerkasaan bidang pertanian akan menggalakkan lebih ramai anak muda tempatan untuk menceburi bidang pertanian sebagai usahawan tani yang bukan sahaja dapat memberikan pendapatan lumayan tetapi dapat menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada masyarakat.

“Semoga melalui usaha ini mampu memangkin negara kita ke arah menghasilkan sumber-sumber makanan yang mencukupi dan seterusnya dapat dieksport ke luar negara dalam meningkatkan pendapatan negara,” ujarnya.

Kenyataan tersebut dimuat naik sempena lawatan rasmi beliau ke tanah milik UMS di Apin-apin Keningau dan ladang lembu tenusu baru-baru ini.

Mengulas mengenai lawatan itu, beliau tertarik dengan konsep 'Zero Discharge' yang diaplikasikan di ladang lembu tenusu milik Datuk Yap Yun Fook itu.

“InsyaAllah, UMS akan menjalinkan kerjasama dengan Datuk Yap dalam masa terdekat ini untuk merealisasikan konsep Eco Farm di Fakulti Pertanian Lestari UMS di Sandakan sekali gus menggiatkan kerjasama antara pihak industri dan universiti,” ujarnya.

Sumber: Laman Facebook Rasmi Naib Canselor UMS

Gambar: Ernest Berinus

JUMAAT,  08 JANUARI – Pengunjung Muzium Perubatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencatatkan peningkatan pada tahun 2015, kata kuratornya, Faranizah Taufick.

Beliau berkata, seramai 2,251 pelawat dicatatkan pada tahun tersebut iaitu meningkat sebanyak 146 orang  berbanding 2,105 pada 2014.

“Kita menerima pelawat daripada pelbagai agensi termasuklah pelajar-pelajar sekolah, antaranya dari Maktab Duli Pengiran Muda Al Muhtadee Billah Brunei Darussalam, Sekolah Menegah Agama Limbang, Sekolah Menangah Sains Sabah, Sekolah Kebangsaan Sri Gaya dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi media universiti.

Tambahnya, peningkatan kehadiran pelawat itu didorong oleh pertambahan koleksi spesimen anatomi manusia yang telah diawet dalam teknik plastinasi.

“Jumlah kehadiran itu membolehkan Muzium Perubatan pada tahun lalu juga berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2, 857 melalui bayaran masuk yang dikenakan kepada para pelawat,” katanya lagi.

Beroperasi dibawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, muzium tersebut dibuka setiap hari kecuali Isnin dan cuti umum seawal jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Bayaran sebanyak RM3.20 dikenakan untuk pelawat berusia atas 18 tahun dan RM2.20 untuk pelawat bawah 17 tahun.