SELASA, 30 OKTOBER - Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel “How to Publish in Indexed Journal” yang diadakan di Dorsett Grand Hotel, Labuan bersempena dengan persidangan 3rd Applied International Business Conference (AIBC) 2018 baru-baru ini.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Profesor dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Ts. Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki yang merupakan penerima Malaysia’s Research Star Award 2018 dengan sitasi index SCOPUS yang tinggi.

Dalam bengkel tersebut, beliau berkongsi tips penulisan jurnal, teknik memilih jurnal berkaitan topik penyelidikan, elemen peer review, dan sebagainya.

“Bengkel ini bertujuan untuk menarik minat ahli akademik dan pelajar pascasiswazah khususnya dalam bidang penulisan dan penerbitan melalui pendedahan tentang kemahiran penulisan jurnal yang efektif dan layak untuk  diterbitkan di jurnal berindeks seperti ISI, SCOPUS dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta bengkel, Dr.  Maya Puspa Rahman teruja dapat menyertai bengkel yang banyak memberikan ilmu baru buat peserta.

“Melalui bengkel ini, saya mendapat pendedahan mengenai teknik penulisan dan penerbitan yang efektif bagi menghasilkan artikel jurnal yang lebih berkualiti dalam memenuhi kriteria editor jurnal, dan diharapkan agar bengkel sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Seramai 40 peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia dan luar negara menyertai bengkel tersebut.

 

ISNIN, 29 OKTOBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penyertaan Terbanyak untuk Program Jom Baca Tahun 2018 kategori Fakulti yang dianjurkan oleh Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPSK, kemenangan diperolehi itu melalui penyertaan menyeluruh di peringkat kakitangan akademik dan pengurusan serta pelajar FPSK.

“Ini termasuklah pelajar dan staf di Pusat Pendidikan Perubatan Desa Sikuati dan Blok Kejururawatan Bangunan Pansheng Kingfisher serta pelajar yang sedang menjalani latihan klinikal di Hospital Queen Elizabeth 1 dan Hospital Queen Elizabeth 2,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree dalam kenyataan sama berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat semua staf dan beliau menyifatkan bahawa program seumpama itu amat bertepatan dalam memacu budaya membaca ke tahap lebih tinggi khususnya dalam kalangan pelajar dan staf FPSK dan UMS secara amnya.

“Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pelajar dan staf serta jawatankuasa yang terlibat termasuk pihak penganjur iaitu Perpustakaan UMS atas penganjuran program bermanfaat ini.

“Harapan saya agar aktiviti murni seperti ini akan diteruskan oleh Perpustakaan UMS demi kebaikan warga pelajar dan kakitangan universiti,” katanya.

Sumber: FPSK

 

ISNIN, 29 OKTOBER – Perpustakaan memainkan peranan penting menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan warga universiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, untuk itu perpustakaan memerlukan kerjasama dan sokongan semua fakulti serta komunitinya untuk sama-sama menyemarakkan aktiviti yang boleh memperkasakan budaya ilmu di universiti itu.

“Hubungan yang harmoni di antara Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JFPIB) dan Perpustakaan UMS haruslah utuh dan menyeluruh kerana semuanya saling memerlukan serta saling melengkapi.

“Saya berharap seluruh JFPIB akan turut serta dan menyokong usaha murni Perpustakaan UMS untuk terus merancakkan lagi kegiatan ilmu seperti ini,” katanya ketika menyempurnakan Program Budaya Ilmu UMS 2018, baru-baru ini.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata, dalam UMS, pengguna perpustakaan adalah terdiri daripada kakitangan pentadbiran, kakitangan akademik dan pelajar yang akan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta kemudahan.

Katanya, pada masa yang sama, pengguna perpustakaan memerlukan maklumat yang terkini, tepat dan pantas.

“Justeru, pelanggan perpustakaan haruslah lebih bijak dalam memberikan respon atau maklum balas kepada perpustakaan agar perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan sentiasa menepati keperluan semasa pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan di universiti ini, sesuai dengan fungsinya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa Pelaksana Program Budaya Ilmu UMS 2018 yang telah bertungkus lumus berusaha memastikan program ini berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail; Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad; Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Pemangku Ketua Pustakawan, Zawawi Tiyunin.

 

ISNIN, 29 OKTOBER -  Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan  (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan KIK & Health Awareness Run bersama kluster Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UMS baru-baru ini.

Larian sejauh 6 kilometer itu bermula dan berakhir di bangunan FPSK dengan menyaksikan para peserta berlari mengikut laluan yang ditetapkan dalam sekitar kampus UMS.

Dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA) dan Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS), larian itu menyaksikan seramai 150 peserta dari kalangan warga UMS dan orang awam telah mengambil bahagian.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree dalam ucapannya berkata, penganjuran program itu amat bertepatan bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan iaitu  memberikan kesedaran kepada warga UMS dan orang awam tentang KIK dan kesihatan awam.

“Syabas kepada jawatankuasa induk penganjur atas kelancaran aktiviti dan tahniah juga untuk semua peserta larian yang sama-sama telah mengambil bahagian. 

“Semoga program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” ujarnya yang juga penaung acara tersebut.

Pelbagai gerai jualan makanan dan minuman turut disediakan termasuk pameran kesihatan,  pemeriksaan BMI serta pameran aktiviti dan anugerah KIK UMS.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti FPSK, Prof. Dr. Kew Seih Teck; Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti Jabatan Pendaftar, Norti Sirin dan Timbalan Pendaftar FPSK merangkap Ketua Kluster KIK UMS, Hasmi Hashim.

 

 

JUMAAT, 26 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya penyelidikan yang bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan dalam komuniti dan industri, serta penyelidikan yang mampu membantu memacu perkembangan ekonomi dan pembangunan negara secara amnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, walaupun terdapat sedikit kekangan kewangan terhadap peruntukan universiti, namun peruntukan bagi aktiviti-aktiviti berkaitan penyelidikan akan terus disalurkan bagi menggalakkan para penyelidik untuk melakukan lebih banyak penyelidikan.

“Perkembangan bagi aktiviti penyelidikan pada tahun ini amat memberangsangkan, dengan 30 geran penyelidikan adalah memfokuskan kepada penyelesaian masalah komuniti serta industri.

“Justeru, diharapkan pihak fakulti turut mempergiatkan kerjasama dengan industri khususnya bagi mendapatkan geran penyelidikan dari luar agar lebih banyak aktiviti penyelidikan dapat dilakukan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan oleh universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Penyelidik UMS (APUMS) 2017 dan Perasmian Penutupan Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta (PEREKA) 2018 di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS, kelmarin.

Tambah beliau, penganjuran APUMS 2017 dan PEREKA 2018 juga terus dilaksanakan bagi menghargai usaha para penyelidik dan pensyarah terhadap kajian dan penyelidikan yang telah mereka jalankan, serta sebagai platform untuk menggalakkan mereka meneruskan penyelidikan-penyelidikan yang memberi impak kepada sosioekonomi masyarakat dan negara.

Beliau turut mencadangkan agar fakulti menjalankan usaha untuk menjana pendapatan bagi tujuan penyaluran geran dari fakulti sendiri kepada pensyarah, dengan fakulti yang berjaya menyalurkan jumlah geran tertinggi akan diberikan hadiah sebagai penghargaan.

“Ini adalah sebagai usaha untuk membantu penyelidik muda khususnya untuk mendapatkan peruntukan bagi penyelidikan yang mereka usahakan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, APUMS 2017 menyaksikan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) menerima penghargaan bagi skor My Research Assessment (MyRA) tertinggi bagi kategori Institut, manakala kategori Fakulti diberikan kepada Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Penghargaan turut diberikan kepada lima ahli akademik terbaik yang memperoleh sitasi dalam jurnal indeks Scopus, yang menyaksikan mereka memperoleh sijil penghargaan dan baucer persidangan luar negara berjumlah RM10,000.

Mereka adalah Dr. Clarence Ongkudon dari Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Prof. Dr. Charles Shatanaraju A/L Variappan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Prof. D. Rosalam Sarbatly dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dari IPB, dan Prof. Madya Dr. Suzan Benedict dari Fakulti Pertanian Lestari (FPL).

Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada lima ahli akademik terbaik yang menjadi penulis prolifik jurnal berindeks ISI dan Scopus, dengan sijil penghargaan dan baucer persidangan luar negara berjumlah RM10,000 turut diperoleh mereka.

Lima ahli akademik tersebut ialah Dr. Lim Leong Seng dari IPMB, Dr Clarence Ongkudon dari IPB, Dr. Liew Thor Seng dari IBTP, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dari IPB, dan Prof. Dr. Md. Lutfor Rahman dari FSSA.

APUMS 2017 turut memberikan Anugerah Penyelidik Cemerlang dari pelbagai kategori, dengan Dr. Chee Fuie Pien dari FSSA memperoleh anugerah tersebut bagi kategori Penyelidik Muda (Sains), sekali gus membawa pulang sijil anugerah dan geran penyelidikan UMS bernilai RM 20,000.

Turut menerima anugerah adalah Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dan Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag Daud dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) bagi kategori Penyelidik (Sains Sosial), serta Prof. Madya Dr. Vijay Kumar A/L Subbiah dari IPB dan Prof. Madya Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri dari FKJ bagi kategori Penyelidik (Sains).

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah sijil anugerah serta geran penyelidikan UMS bernilai RM30,000.

Pada pertandingan PEREKA pula, sebanyak 168 penyertaan telah diterima merangkumi 9 klasifikasi penyelidikan dan inovasi yang menampilkan 12 penyelidik telah memenangi Anugerah Emas Kategori Penyelidik.

Mereka adalah Khalifa Chekima, Jackson Chang Hian Wui, Dr. Liew Thor Seng, Prof. Dr. Kamaruddin Ahmed, Dr. Md. Jahurul Haque Akanda, Prof. Madya Dr. Jason Teo Tze Wi, Dr, Sujjat Al Azad, Dr. Chee Fuei Pien, Dr. Razak Mohd Ali Lee, Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah, Dr. Joko Sulistyo, dan Prof. Madya Dr. How Siew Eng.

Bagi Kategori Inovasi, tujuh peserta memperoleh Anugerah Emas, iaitu Dr. Jidon @ Adrian Janaun, Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng dengan dua anugerah, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dengan dua anugerah, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha, Prof. Madya Dr. Rayner Alfred, Nur Athirah Yusof, dan Prof. Madya Dr. Chong Khim Phin.

Kesemua hadiah dan anugerah disampaikan Prof. Dr Shahril dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.