SELASA, 6 DISEMBER – Satu Pertandingan Pameran Poster Penilaian Impak Sosial (SIA) diadakan di Lobi, Blok Sains Sosial, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), kelmarin.

Pensyarah SIA,  Dr. Gaim James Lunkapis berkata, sebanyak 13 kumpulan terdiri daripada pelajar tahun akhir di bawah subjek Penilaian Impak Sosial menyertai pertandingan tersebut yang membincangkan isu-isu semasa di peringkat global dengan mengaplikasikan ilmu SIA.

“Antara objektif pertandingan ini adalah sebagai medan perkongsian ilmu pengetahuan bagi pelajar-pelajar SIA dengan orang ramai, rakan pelajar dan pensyarah tentang peri pentingnya SIA pada abad ke-21 ini,” katanya.

Menurut beliau, SIA merupakan satu laporan dan perancangan yang penting dalam memastikan hasil dan keputusan berkaitan pembangunan mengambil kira impak sosial terhadap komuniti dan individu agar hak asasi manusia terjamin.

“Ini juga secara tidak langsung menambah kebolehpasaran graduan kita,” tambah Dr. Gaim.

Acara pelbagai disiplin ini turut mendapat sambutan baik daripada pelajar dan juri program lain seperti Antropologi dan Sosiologi, Geografi dan Komunikasi.

Kumpulan 11 yang diwakili oleh Ennie Yap, Erwina Nuar, Shandra Paulus, Jessica Salapan dan Betty Pius dinobatkan sebagai juara pertandingan, manakala Kumpulan 8 dan Kumpulan 10 masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga. - FL

Sumber: Saravanan Sundara Sakaran, HA18 Geografi, FKSW

 

SELASA, 6 DISEMBER – Program Khatan Perdana 2016 anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited bantu meringankan beban ibu bapa bagi membiayai mengkhatan anak mereka.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin berkata, Pusat Islam UMS mengenakan bayaran serendah RM60 bagi kakitangan awam berjawatan di bawah gred 26, RM85 bagi gred 27 ke atas dan percuma bagi anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

“Pada peringkat awal, program yang memasuki siri ke-6 penganjurannya merupakan aktiviti tahunan yang terbuka kepada ibu bapa kalangan kakitangan UMS sahaja, namun atas sambutan yang menggalakkan setiap tahun, pihak Pusat Islam memutuskan agar program ini turut dibuka kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu.

“Peluasan pelaksanaan ini secara tidak langsung memberi kemudahan kepada para ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Khatan Perdana yang melibatkan lebih 50 kanak-kanak di Masjid UMS baru-baru ini.

Ustaz Razali menambah, bersempena dengan program tersebut, Pusat Islam juga menawarkan khidmat rundingan kesihatan daripada aspek pemeriksaan kesihatan, kempen gaya hidup sihat dan pameran kesihatan, selain program derma darah sebagai jalinan ukhuwah pelajar dan ibu bapa dalam meningkatkan kefahaman tentang kesedaran kesihatan dan kesan mengabaikannya.

“Pusat Islam UMS dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu turut merancang untuk mengadakan program seumpama pada tahun hadapan di kampung terpilih sebagai usaha membantu mendampingi masyarakat setempat,” ujar beliau.

ISNIN, 5 DISEMBER – Mantan Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2014/2015, Mohd Farhan Firdaus Jeffri terpilih sebagai penerima Anugerah Nadi Negara 2016 baru-baru ini.

Mohd Farhan terpilih untuk menerima anugerah tersebut atas pencapaian cemerlang beliau dalam aktiviti kepimpinan pelajar serta kegiatan aktif beliau dalam aktiviti kesukarelawan sama ada di peringkat universiti mahupun di peringkat kebangsaan.

Antara pencapaian graduan Sarjana Muda Perakaunan yang kini bertugas sebagai Juruaudit ialah terlibat dalam misi sukarelawan Yayaysan Sukarelawan Siswa ASEAN di Batang Maro, Batang Lupar Sarawak; bertindak sebagai Pengarah Program “UMS Dan Komuniti’, aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan di empat buah kampung secara serentak, dan mengetuai jentera “Aspirasi Mahasiswa” bagi sesi pemilihan MPP Sesi 2016/2017.

Mohd. Farhan juga turut menerima pentauliahan Diraja dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2015 dengan pangkat Leftenan Muda.  

Beliau menerima anugerah tersebut dalam satu majlis penyampaian  Anugerah Nadi Negara 2016 bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO ke 70, yang disampaikan oleh Naib Presiden UMNO,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Anugerah Nadi Negara telah dimulakan sejak tahun 2009 oleh Wanita UMNO Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada siswa-siswi yang aktif dalam kepimpinan dan juga penglibatan kokurikulum semasa pengajian di universiti.

Anugerah ini dikendalikan oleh Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi (SPPT) Wanita UMNO Malaysia, dengan kerjasama Alumni Nadi Negara.

ISNIN, 05 DISEMBER - Sekumpulan pelajar tahun tiga dari Kursus Politik Alam Sekitar  Antarabangsa (AS31503) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan kempen menentang keganasan alam sekitar pada Ahad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu,  kempen tersebut bertujuan melaksanakan pendekatan bagi menggalakkan semangat cintakan alam semula jadi sebagai alternatif kepada keganasan.

Kempen yang bertemakan “Love Nature Embrace Peace” menyasarkan pelajar sekolah dan generasi muda dengan memberi pendedahan berkaitan keganasan dan impaknya kepada kesejahteraan mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, ia juga untuk menyerlahkan kesan negatif perbuatan pengganas atau mana-mana tindakan keganasan terhadap alam semula jadi.

Seorang peserta, Fatinullah, 23, memaklumkan bahawa melalui kempen itu beliau mempelajari lebih mendalam tentang isu berkenaan.

"Masyarakat kebanyakannya tidak tahu bagaimana pelampau keganasan terhadap alam sekitar di sekeliling kita. Sebenarnya Keganasan ekstremisme bukan hanya perang antara negara tetapi keganasan juga berlaku kepada alam sekitar seperti aktiviti  penebangan hutan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Strategi kempen itu termasuklah memberi kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah melalui “flashmobs” di universiti dan sekitarnya, selain pengagihan risalah serta kempen menerusi media sosial.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyokong kempen ini dengan menyiarkan gambar-gambar alam sekitar kegemaran di laman sosial masing-masing dengan meletakkan #LoveNatureEmbracePeace pada status komen mereka.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook, Twitter atau Instagram pada alamat berikut:

Facebook - https://www.facebook.com/lovenatureembracepeace/

Twitter - https://twitter.com/lovenatureembr1

Instagram - https://www.instagram.com/lovenatureembracepeace/

JUMAAT, 2 DISEMBER – Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Majlis Pelantikan Pemimpin Kolej Kediaman E bagi sesi 2016/2017 bertempat di kafeteria Kolej Kediaman E.

Majlis tersebut bertujuan untuk menghargai pemimpin-pemimpin kolej yang terdiri daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB) dan Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK) sesi 2015/2016 serta melantik JAKMAS, MKKB dan MKKK Kolej Kediaman E bagi sesi 2016/2017.

Majlis disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Awg. Ahmad.

Dalam ucapan dan amanat yang disampaikan beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin Kolej Kediaman E bagi sesi  2015/2016 dan berharap agar mantan JAKMAS, MKKB dan MKKK dapat memberi tunjuk ajar dan juga memberi panduan  dalam menjayakan program-program yang bakal dianjurkan oleh Kolej Kediaman E kepada JAKMAS, MKKB dan MKKK yang baru dilantik.

Majlis diteruskan lagi dengan simbolik penyerahan tugas kepada JAKMAS, MKKB dan MKKK SESI 2016/2017.

Penyerahan watikah pelantikan  dimulakan kepada Yang di-Pertua JAKMAS, Saudara Mohammad Syafiq Mohd Faizan diikuti barisan exco, Pengerusi MKKB, Saudari Wiwi Juriani Ajak diikuti barisan exco lain dan kepada Pengerusi MKKK, Saudari Ida Afifah Mohd Hazani diikuti barisan exco lain.

Selain itu, bacaan Ikrar dan Aku Janji turut dilaksanakan yang diketuai oleh Saudara Mohammad Syafiq Mohd Faizan.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada kelab Silat Kalimah Kolej Kediaman E dan persembahan alatan muzik tradisional daripada Kelab E-Semtra, Kolej Kediaman E.

Turut hadir Timbalan Pengetua, Mohd Hilmey Saili, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Perumahan dan Hospitaliti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS Mat Usup Hj. Rashid.

Sumber: JAKMAS Kolej Kediaman E