KHAMIS, 7 APRIL – Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Ismail Ibrahim diraikan dalam majlis persaraannya di mini auditorium FPP pada Selasa.

Menerajui jawatan Dekan FPP bermula 1 Disember 2012, Dr Ismail yang berkhidmat dengan UMS selama 17 tahun merupakan pakar akademik dalam bidang etnik dan budaya negeri Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, Prof. Ismail yang dikenalinya merupakan seorang rakan yang baik, sering membantu dan ringan tulang.

“Dalam perjawatan, beliau seorang yang komited dan bekerja keras untuk merealisasikan setiap perancangan. Sebagai ketua jabatan, saya melihat beliau seorang yang amat yakin bahawa saling memahami dan berlapang dada akan membibitkan hubungan baik antara staf akademik dan staf sokongan bagi kedua-dua blok iaitu blok psikologi dan blok pendidikan,” katanya.

Teks beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Shahril Yusof.

Datuk Harun turut melahirkan rasa bangga kerana UMS mempunyai seorang pensyarah seperti Prof. Ismail yang terus cemerlang dalam perkhidmatan sehingga ke akhir tempoh perkhidmatan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad dan Ketua Pustakawan, Dg Rukiah Ag Amit serta kakitangan FPP.

Untuk rekod, Dr Ismail secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 38 tahun sebagai penjawat awam di Sabah. -CD-

KHAMIS, 7 APRIL – Berikutan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan sekitar Pantai Barat Sabah sejak beberapa hari lalu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif mengedarkan penutup mulut kepada para mahasiswa universiti.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Ismail Ali, pengedaran sejumlah 3,000 unit penutup mulut itu adalah satu langkah keselamatan bagi membendung kejadian tidak diingini berlaku terutama melibatkan kesihatan pelajar.

“Langkah ini adalah atas keprihatinan kita terhadap pelajar khususnya kepada siswa-siswi yang hadir ke kuliah, dan berisiko terdedah kepada ancaman kesihatan akibat keadaan cuaca yang tidak sihat ini.

“Jabatan Hal Ehwal Pelajar akan terus memantau perkembangan IPU jerebu dari semasa ke semasa bagi menentukan tindakan seterusnya yang bakal diambil,” ujarnya pada satu acara pengagihan penutup mulut kepada pelajar di Anjung Siswa.

Turut hadir pada acara tersebut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat dan pegawai serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UMS.

Sumber : Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

RABU, 6 APRIL – Kelab Surirumah dan Staff Wanita (KESUMBA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Penaung KESUMBA, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri RM Jasni, di Istana Negeri, Kota Kinabalu hari ini.

Delegasi seramai 10 orang itu diketuai Yang Dipertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim yang  kemudiannya memperkenalkan ahli-ahli exco baharu serta memberi taklimat tentang aktiviti kelab kepada Toh Puan Norlidah.

Toh Puan Norlidah  mengucapkan tahniah kepada barisan exco yang  baru dilantik dan berharap agar terus memainkan peranan secara aktif dalam membantu KESUMBA meneruskan pencapaian yang baik.

Beliau juga menekankan perlunya membantu mereka yang kurang bernasib baik, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kelab tersebut.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Timbalan Presiden Kelab, Roha Asmara; Setiausaha Kehormat, Norti Sirin dan Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan, Hayati Salleh Baihaki.  – FL

Photo: Suzeanywati Gasinin

Oleh Salbinous Saribun

Foto: Suzeanywati Gasinin

RABU, 06 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyemarakkan lagi tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Innovation Hub (MIH).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, MoU itu juga sebagai menyokong usaha kerajaan memupuk dan merancakkan Ekosistem Inovasi di bawah Lonjakan 7, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“MoU ini akan merancakkan pengkomersialan dengan pewujudan industri baharu melalui pembentukan syarikat terbitan universiti sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS, semalam.

Ujar beliau, produk penyelidikan dan inovasi UMS juga berpotensi dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

MoU itu menyaksikan UMS diwakili Datuk Harun dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Shahril Yusof, manakala MIH diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Wong Wai Sang dan Pengarah Urusan, Eric Lo Kian Vui.

Datuk Harun berkata, antara kerjasama yang dilaksanakan termasuklah perkongsian kepakaran teknikal dari UMS dan kepakaran mengkomersial MIH.

“Selain itu, kita juga akan berkongsi penggunaan kemudahan dan peralatan penyelidikan yang ada di UMS dan sumber-sumber MIH,” katanya. 

SELASA, 05 APRIL – Universiti Awam (UA) sentiasa memainkan peranan penting membantu kerajaan dan masyarakat merapatkan jurang digital di negara ini.

Bagi tujuan itu, satu Seminar Antarabangsa Teknologi Maklumat dan Komunikasi untuk Transformasi (IC-ICT4T) 2016 diadakan di Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, persidangan hasil kerjasama dua hala antara UMS dan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu antara sebahagian usaha yang mampu menyumbang kepada merapatkan jurang digital masayarkat.

“Melihat kepada tajuk perbincangan, didapati ia lebih menumpu kepada projek-projek E-Kerajaan dan perkhidmatan ICT untuk masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan tersebut. Namun, kemampanan projek-projek tersebut telah menjadi satu cabaran.

“Justeru, saya berpendapat kita perlu menggunakan konsep perkongsian pintar dengan agensi kerajaan dan swasta bagi mengoptimumkan usaha ini, menghasilkan pulangan pelaburan yang tinggi dan sekali gus meningkatkan kemampanan terhadap aktiviti ICT yang dirancang,” katanya dalam teks perasmian majlis.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin.

Datuk Harun berkata, penganjuran program itu juga merupakan sokongan terhadap usaha-usaha yang dijalankan kerajaan seperti pelaksanaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia (KTW1M) yang menyediakan kemudahan akses Internet kepada masyarakat luar bandar.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail; Pengerusi Seminar, Prof. Dr. Zulkhairi Md Dahalin; Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM, Prof. Madya Dr. Huda Ibrahim dan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim. -MA