kampusJUMAAT, 8 MAC - Aktiviti kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus berjalan dengan lancar. Tinjauan wartawan Bahagian Perhubungan Korporat UMS mendapati suasana kampus terus ceria dan harmoni.

Di Kompleks Dewan Kuliah, para pelajar menjalani sesi kelas dan tutorial seperti biasa. Turut kelihatan para pelajar yang sedang mengadakan perbincangan secara berkumpulan mengenai tugasan yang diberikan oleh para pensyarah.

Di kafetaria pula menyaksikan para pelajar mengisi perut dan menikmati jamuan petang sebelum menghadiri sesi kuliah yang berikutnya. Ada juga pelajar yang sedang melayari internet menggunakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar yang telah disediakan UMS.

Bagi warga kakitangan pula, semuanya dalam keadaan normal yang mana kakitangan yang ada menjalankan kerja-kerja hakiki sesuai dengan tugasan masing-masing. Malah Majlis Pelancaran Bulan Integriti serta Perhimpunan Bulanan Jabatan Canselori turut diadakan pagi tadi.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK

 

 

 

1JUMAAT, 8 MAC - Warga UMS disaran untuk membudayakan amalan integriti seperti masyarakat Jepun dan Korea. Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, penduduk di negara tersebut menjalankan kehidupan dengan suasana harmoni, selamat dan jarang berlakunya kecurian.

“Di Korea dan Jepun jika tertinggal telefon bimbit di restoran, esok datang kembali telefon itu masih ada. Ramai kawan saya berpengalaman tertinggal kamera di lapangan terbang Jepun dan tersedar tatkala berada di dalam teksi untuk ke hotel. Bila berpatah balik dia mendapati kamera miliknya masih ada di atas kerusi.”

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Integriti peringkat Universiti Malaysia Sabah hari ini. Hadir sama, Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Abdullah Hj. Mohd Said dan Pegawai-Pegawai Utama UMS.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Mohd Harun turut memberitahu bahawa transformasi tadbir urus akademik UMS juga memerlukan perubahan paradigma yang dilihat mampu memberi kesan terhadap cara berfikir dan cara bertindak dalam mengatur strategi ke arah mempercepatkan operasi pelaksanaan. Justeru katanya, fungsi utama transformasi itu juga perlu diintegrasikan dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan meningkatkan tahap intelek rakyat yang relevan dengan dasar pendidikan peringkat menengah dan matrikulasi serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

“Mengambil kira transformasi yang sedang UMS jalankan, roh masyarakat berilmu di pengajian tinggi harus diterjemahkan pada setiap perlakuan warganya bagi kekal relevan mempromosikan nilai integriti. Kata Imam Al Ghazali, ilmu yang tidak disertakan dengan amal itu gila, dan amal yang tidak disertai ilmu itu akan sia-sia,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyuarakan harapan agar seluruh warga UMS meneruskan usaha penambahbaikan dalam bidang kerja masing-masing dengan berlandaskan kepada tiga aspek iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti.  Lebih seribu warga universiti hadir bagi menjayakan Majlis itu yang diadakan di Kompleks Dewan Kuliah kampus berkenaan.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Johaidi Ismail, BPK

 

 

logoums1. Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah, tidak akan sesekali berkompromi dengan isu keselamatan pelajar UMS. Kami sentiasa mendahulukan keselamatan pelajar berbanding hal yang lain.

2. Dalam situasi pihak keselamatan negara mendepani ancaman pencerobohan, saya menasihatkan para pelajar usah terpengaruh dengan khabar angin yang dapat mencetuskan suasana panik sehingga mengganggu fokus pada pembelajaran. Saya ingin jelaskan, suasana pembelajaran masih berjalan seperti biasa dan penutupan kampus tidak berlaku sebagaimana yang diwar-warkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

3. Situasi terkini menunjukkan tiga buah kampus UMS yang merangkumi Kampus Tetap di Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan berada dalam zon selamat dan amat terkawal.

4. Pihak UMS sentiasa berhubung dari masa ke semasa, dengan pasukan keselamatan untuk mengetahui kondisi sebenar perkembangan terkini. Setiap maklumat secara rasmi akan dikeluarkan pihak universiti dan disebarkan kepada umum menerusi capaian pada laman sesawang rasmi UMS di alamat http://www.ums.edu.my.

5. Justeru itu, saya merasakan para ibu bapa tidak perlu khuatir dengan keselamatan anak-anak mereka, Insya Allah keselamatan pelajar keutamaan kami. Setakat ini pihak keselamatan memberi jaminan bahawa keadaan terkawal memandangkan lokasi ketiga-tiga kampus UMS berada jauh dari zon operasi keselamatan.

6. Sebagai langkah awal meredakan khabar angin, pihak Polis telah mengadakan taklimat keselamatan di Kampus Sandakan pada 04hb Mac 2013 pukul 3.00 petang.

7. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-mail:Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. ; tel: 088-320854 dan 088-320855 atau sms ke 014-5566033

 

 

PROF. DATUK DR. MOHD. HARUN ABDULLAH

NAIB CANSELOR

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

mppKHAMIS, 07 MAC - Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Juhar Harun mengingatkan agar siswa-siswi tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan melalui laman sosial dan pesanan ringkas (SMS) berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.

Menurut beliau, para pelajar harus mendapatkan info daripada pihak pengurusan universiti sekiranya ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung isu tersebut.

“Seperti yang kita sedia maklum pihak pengurusan universiti telah memberi jaminan bahawa keselamatan pelajar adalah terjamin. Justeru para pelajar tidak perlu bimbang dan terus memberi keyakinan penuh terhadap keupayaan anggota keselamatan yang kini bertungkus-lumus mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui pemberita UMS.

Pelajar tahun akhir Sekolah Sains Sosial (SSS) itu turut mengingatkan agar para pelajar UMS tidak terlibat dalam penyebaran khabar-khabar angin.

“Khabar angin hanya merumitkan keadaan dan menjadikan suasana panik. Justeru, hindari daripada menjadi agen penyebar palsu dan terus menumpukan aktiviti pembelajaran dan kuliah seperti biasa,” ujarnya lagi.

Selasa lalu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah telah mengumumkan dua hotline yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan para pelajar dan ibu bapa yang ingin mengetahui perkembangan semasa universiti. Talian tersebut ialah 088-320 854 dan 088-320 855. Turut disediakan talian pesanan SMS di 014-556 6033.

 

Oleh: Salbinous Saribun, BPK

Foto: Musaab Umair, BPK

 

logo umsPara Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai Keselamatan siswa siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung isu pencerobohan yang berlaku di kawasan Lahad Datu, Sabah.

Pada ketika ini pihak universiti tidak mempunyai sebarang aktiviti pelajar dan aktiviti penyelidikan di kawasan tersebut. Sehubungan itu, keselamatan semua warga kakitangan serta pelajar adalah terjamin.

Selain kawalan ketat daripada pihak keselamatan negara, jarak sejauh lebih 400 kilometer antara Lahad Datu dengan kampus UMS di Kota Kinabalu turut membolehkan warga UMS terhindar daripada kemelut yang berlaku di Pantai Timur Sabah. Dua kampus cawangan iaitu UMS Cawangan Sandakan dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan juga selamat dan jauh terhindar daripada ancaman pencerobohan itu.

Walaupun demikian, pihak universiti akan sentiasa bersiap siaga dan meningkatkan tahap keselamatan di dalam dan sekitar kampus untuk memastikan sesi tutorial dan kuliah terus berjalan dengan lancar dan selamat.

 

BAHAGIAN PERHUBUNGAN KORPORAT

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  • Covid 19 : Terkini dari UMS

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.