susila anugerahKHAMIS, 13 NOVEMBER - Permuafakatan Siswa Siswi Felda (PERSADA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melahirkan generasi FELDA yang berdaya saing.
 
Terbaru, seorang ahlinya telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mahasiswa Harapan PERSADA pada Program Memperkasa Jati Diri di Menara FELDA Kuala Lumpur.
 
Siti Susila Mohd Rafie, pelajar Tahun 3, Fakulti Psikologi dan Pendidikan telah terpilih berdasarkan komitmen yang tinggi dalam aktiviti kemahasiswaan dan bergiat aktif bersama PERSADA.
 
Beliau yang berasal dari FELDA Triang 3, Bera Pahang turut dipilih berdasarkan rekod pencapaian akademik yang konsisten dan memberangsangkan.
 
Majlis penyampaian anugerah disampaikan Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad.
 
Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri Dato Razali Ibrahim. –SS

 
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

ppkumsKHAMIS, 12 NOVEMBER - Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPK) UMS yang menempatkan anak-anak kakitangan UMS berumur satu hingga enam tahun adalah kemudahan kepada kakitangan yang bergelar ibu bapa untuk memantau perkembangan anak-anak.
 
Pendaftar UMS, Datuk Abdullah Mohd Said berkata PPK UMS yang sebelum ini beroperasi d Kingfisher telah bermula operasi di dalam kampus pada awal tahun ini dengan mengguna pakai dua bangunan dewan kuliah bagi memudahkan para ibu bapa menghantar, melawat dan mengambil anak masing-masing.
 
“Bilangan kakitangan PPK UMS turut ditambah kepada lebih 80 orang berbanding hanya 40 orang sebelum ini selaras dengan penambahan kemasukan kanak-kanak ke pusat perkembangan itu.
 
“Pihak pengurusan universiti sentiasa mengharapkan maklum balas dan idea daripada ibu bapa agar PPK UMS terus berkembang seiring dengan perkembangan semasa bagi menggapai kanak-kanak minda kelas pertama,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Program dan Persembahan Bakat PPK UMS 2014 di Dewan Resital, UMS.
 
Perasmian majlis tersebut disempurnakan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.
 
Datuk Abdullah menambah, sejumlah 110 kakitangan UMS menghantar anak-anak mereka ke PPK UMS, dan penubuhan PPK ini adalah seiring dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menggalakkan organisasi besar menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat.
 
Pada majlis tersebut, Datuk Harun menyampaikan sijil tamat program kepada 39 kanak-kanak, terdiri daripada 17 kanak-kanak berumur 6 tahun dan 22 kanak-kanak berumur 3 tahun. -MA-


Foto: Ernest Berinus

 
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

mpp baru1KHAMIS, 13 NOVEMBER - Pelajar Tahun Tiga Fakulti Sains dan Sumber Alam, Mohd. Al-Farid Abraham dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS bagi sesi 2014/2015.
 
Al-Farid, 21, yang mengikuti pengajian Geologi, memenangi proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) UMS yang berlangsung baru-baru ini dengan jumlah undian 1,338, sekali gus melayakkan beliau dipilih memegang jawatan Presiden MPP UMS yang baharu.
 
Beliau akan dibantu oleh timbalannya, Nurlina Arappe serta barisan Exco Perwakilan Pelajar lain yang dilantik dalam menggalas tanggungjawab memperjuangkan kebajikan pelajar.
 
Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah ketika mengumumkan keputusan PMPP mengingatkan para ahli MPP yang dipilih agar melaksanakan seperti yang telah dijanjikan pada sepanjang mengadakan kempen.
 
“Mereka yang dipilih harus memikul tanggung jawab yang diamanahkan seluruh siswa siswi  UMS agar kebajikan dan keperluan pelajar dapat disuarakan kepada pihak pengurusan universiti,” katanya. -MA-
 
SENARAI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UMS SESI 2014/2015
Presiden : Mohd Al-Farid Abraham
Timbalan Presiden: Nurlina Binti Arappe
Setiausaha Agung: Heneritha Martha Anak Tikay
Bendahari Kehormat: Mohd Farhan Firdaus Bin Jeffri
Naib Presiden (Kampus Antarabangsa Labuan) : Amos Peter
Naib Presiden (Fakulti Pertanian Lestari): Mahazan Bin Mansor
Setiausaha Kehormat (Kampus Antarabangsa Labuan): Eka Fadila Binta Mohd Lamba
Naib Presiden Projek Protokol & Keusahawanan : Hariadi Haripai
Naib Presiden Khidmat Mahasiswa: Phoon Pin Han
Naib Presiden Pembangunan Lestari & Eco Campus: Noridayu Mon
Exco Kepimpinan Dan Latihan: Muhamad Nasir Mohd Azmi
Exco Kepimpinan Dan Latihan: Mohammad Solehan Siban
Exco Kepimpinan Dan Latihan (Kampus Antarabangsa Labuan): Ezra John Anthony
Exco Akademik Dan Kerjaya: Edrina Rincing
Exco Akademik Dan Kerjaya (Pascasiswazah): Mohd Fazrie Ramlan
Exco Akademik Dan Kerjaya (Fakulti Pertanian Lestari): Nurhafizah Lokaman
Exco Publisiti Dan Kewartawanan: Mohd Risdi Surish Zainudin
Exco Publisiti Dan Kewartawanan: Ho Khoon Chang
Exco Kebajikan Dan Khidmat Mahasiswa: Mohd Faris Mazlan, Asmah Kadir dan Monisa Amri
Exco Kebajikan Dan Khidmat Mahasiswa (Kampus Antarabangsa Labuan): Mohd Anas Mentoh
Exco Kebajikan Dan Khidmat Mahasiswa (Fakulti Pertanian Lestari): Muhammad Fahmi Ahmad
Exco Sukan Dan Seni Kebudayaan: Zainol  Ariffin Tanjui
Exco Sukan Dan Seni Kebudayaan (Kampus Antarabangsa Labuan): Lee Dian Ze
Exco Kesukarelawan Dan Kemasyarakatan: Mohd Taufik Nordin dan Paviithra A/P Thamilmany
Exco Diplomatik Dan Hubungan Luar: Chung Wei Lok
Exco Pembangunan Sahsiah Mahasiswa: Nicholas Tay Yau Yung
Exco Keusahawanan Dan Eco Campus: Yeo Hui Ru dan Roshaniera Rusli

Foto: Ernest Berinus


Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori
 

Amanda MUETTRABU, 12 NOVEMBER - Keprihatinan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menjaga kebajikan mahasiswa mendapat pujian daripada ibu bapa pelajar.
 
Lee Linggang, 38, menyuarakan rasa terima kasih dan penghargaan atas kepantasan UMS untuk menghantar anaknya yang mengalami sesak nafas dan pendarahan hidung ke pusat rawatan kecemasan Hospital Queen Elizabeth baru-baru ini.
 
Ujar beliau, anaknya, Amanda Sandra Lestari Lee, pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS telah disahkan oleh doktor mengalami kekurangan darah yang serius dan mungkin boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan.
 
“Saya sangat terharu dengan tindakan pantas yang diambil oleh pihak pengurusan UMS. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada anak saya sekiranya tidak dihantar ke hospital dengan segera,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu.
 
Lee turut memuji langkah UMS yang serta merta menguruskan tempat peperiksaan Malaysia University English Test (MUET) di bilik khas di hospital tersebut setelah diberi maklum oleh doktor bahawa anaknya diberi kebenaran untuk menduduki ujian berkenaan.
 
“Ini juga satu peristiwa penting yang mana pihak UMS serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan pihak hospital telah sama-sama berganding bahu bagi memastikan Amanda tidak terlepas daripada peperiksaan yang bakal memberi impak kepada permohonan melanjutkan pengajian di peringkat pra-siswazah kelak,” ujar ayah kepada bekas pemenang Naib Juara Pidato Kebangsaan itu lagi.
 
Dalam pada itu, ibu kepada Amanda,  Alvinah Saribun, 38, turut melahirkan rasa terhutang budi kepada pihak universiti kerana sanggup memberi penjagaan dan keselesaan kepada seluruh pelajar termasuk anaknya yang disifatkannya agak kurang sihat sejak kebelakangan ini.
 
“Kami sebenarnya sangat risau bila memikirkan keadaan anak kami apatah lagi pengalaman tinggal berjauhan daripada keluarga adalah yang pertama kali buatnya. Namun kami tetap yakin dan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pihak UMS. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan,” ujarnya lagi. –SS

 
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

vc sumbang tabung biasiswaRABU, 12 NOVEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah telah mengumumkan pewujudan Tabung Amanah Biasiswa untuk kemudahan siswa-siswa universiti itu.
 
Menurut beliau, tabung tersebut akan memberi bantuan biasiswa kepada mahasiswa UMS melalui sumbangan yang bakal diberikan oleh warga Universiti EkoPelancongan itu.
 
“Untuk ini, saya menyeru dan mempelawa agar warga UMS tampil ke hadapan memberi sumbangan ke atas tabung amanah biasiswa ini yang bakal memberi faedah kepada anak bangsa kita,” katanya pada majlis perasmian Minggu Bertemu Pelanggan Jabatan Bendahari, Perpustakaan dan Jabatan Pembangunan & Penyelenggaraan UMS, kelmarin.
 
Ujar beliau, tabung tersebut akan diuruskan oleh Seksyen Endowment UMS.
 
Menyentuh mengenai program Minggu Hari Bertemu Pelanggan itu, Datuk Dr. Harun menyatakan sokongan terhadap program yang disifatkannya amat bermanfaat.
 
“Tanpa rasa prejudis dan malu, nyatakanlah segala pandangan, aduan, cadangan kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Bendahari, Perpustakaan dan JPP supaya yang salah dapat dibetulkan, yang kurang ditambah dan yang kompleks dipermudahkan.
 
“Saya juga yakin kepelbagaian aktiviti sepanjang minggu ini boleh memberikan manfaat yang sangat banyak kepada kita semua dari segi ilmu pengetahuan, hubungan baik, jalinan kerjasama dan banyak lagi,” tambah beliau lagi. –SS

 
Bahagia Media dan Citra
Jabatan Canselori