Seni lukis mampu menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan antara Malaysia khususnya Sabah dan negara Brunei Darussalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bidang seni lukis juga mampu untuk menjadi penghubung antara kedua-dua negara.

“Hari ini kita bersama para pelukis daripada negara Brunei Darussalam dan saya ucapkan syabas dan tahniah buat Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana berjaya menjalinkan hubungan yang baik dalam bidang seni lukis dengan berbagai negara termasuk Brunei.

“Kita dapat menyaksikan pelbagai karya yang dihasilkan oleh tokoh pelukis dari Brunei yang menggambarkan nilai budaya, pemikiran, sejarah dan pelbagai nilai yang dipercikkan dalam Pameran Gurisan Subarang,”‘ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Soft Launch Pameran Gurisan Subarang di UMS di sini semalam.

Arifin yang juga Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) berkata, pihaknya berharap program seumpama itu akan dapat diteruskan dan menjadi wadah menjalin hubungan antara Malaysia dan Brunei khususnya negeri Sabah yang bersama di Kepulauan Borneo dalam bidang kesenian.

“Kita juga berharap program sebegini diadakan bukan sahaja dalam bidang seni lukis tetapi dalam bidang kaligrafi Islami dan kesenian yang lain,” katanya.

Sebanyak 83 karya melibatkan 15 pelukis-pelukis tersohor daripada Negara Brunei Darussalam menyertai Pameran Gurisan Subarang bermula 15 Januari sehingga 8 Mac ini di Bilik Pameran Kaamatan dan Kalimaran, Galeri Azman Hashim UMS.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur.

 

 

Sekumpulan penyelidik Rintangan Antimikrob (AMR – Antimicrobial Resistance)  dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program “Mengenali AMR” di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan dan SK Piasau, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr Zulkhairul Naim Sidek Ahmad yang juga merupakan Ketua Projek AMR, program tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai AMR dalam kalangan murid-murid sekolah rendah tersebut.

“Program ini adalah kesinambungan dari aktiviti yang dijalankan pada penghujung tahun lalu yang menyaksikan 20 orang murid dari SK Pekan dan SK Piasau telah dilatih untuk menjadi pembimbing rakan sebaya bagi menyebarkan kesedaran berkenaan AMR.

“Kajian perubatan di seluruh dunia telah menunjukkan bahawa punca utama AMR adalah disebabkan penggunaan antibiotik secara tidak wajar.

“Justeru itu, kempen berkenaan AMR perlu dilakukan seawal yang boleh agar masyarakat khususnya generasi muda lebih cakna dan dapat meningkatkan pengetahuan tentang AMR,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Nurhanah Idek ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, penganjuran program tersebut adalah tepat pada masanya.

“AMR merupakan ancaman kesihatan global yang semakin membimbangkan.

“Oleh yang demikian, program seperti ini sangat memberi manfaat kepada murid-murid dan juga selari dengan agenda kesihatan negara,” ujar beliau.

Program yang diadakan selama dua hari itu mendapat penyertaan seramai 220 orang murid darjah empat hingga enam dari SK Pekan dan SK Piasau.

Untuk rekod, AMR adalah satu keadaan yang wujud apabila bakteria, virus, kulat atau parasit yang dirawat tidak lagi memberi tindak balas terhadap ubat yang digunakan, lalu menyebabkan sesuatu penyakit jangkitan semakin sukar diubati dan memerlukan antimikrob yang lebih kuat serta lebih mahal bagi menyembuhkan jangkitan tersebut.

 

Kerjasama strategik di antara Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH) di bawah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama hab halal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mampu menyumbang kepada perkembangan hab halal di Sabah.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah PPPH, Dr. Noorakmar Abd Wahab ketika mengetuai delegasi UMS mengadakan kunjungan hormat ke pejabat MUIS baru-baru ini.

Delegasi UMS seramai lima orang disambut oleh wakil dari hab Halal Sabah yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.

Menurut Noorakmar, kunjungan tersebut antara lain membincangkan kerjasama dengan hab halal MUIS dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkhidmatan halal, dengan mengambil kira peranan PPPH selaku penyedia latihan halal (PLH) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Sabah.

“PPPH bersedia memainkan peranan dalam memberikan latihan dan kursus yang diperlukan oleh pengusaha makanan sama ada di peringkat kotej, kecil dan sederhana dan perusahaan besar.

“Justeru, perbincangan ini adalah permulaan terbaik untuk satu usaha ke arah kerjasama yang lebih strategik dan bersasar antara kedua-dua pihak sebagai meneruskan kesinambungan kepada satu Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai antara UMS dan MUIS sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, beberapa kertas cadangan yang berkaitan aktiviti penyelidikan juga telah disampaikan kepada MUIS, termasuk potensi kerjasama dalam penganjuran Simposium Halal yang dijangka akan diadakan pada bulan Ogos 2024 di Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

“Dengan adanya tenaga pakar di PPPH, penyelidikan bersama dari segi analisis halal dan pengetahuan berkenaan halal dapat dilaksanakan dan seterusnya dapat memberi maklumat mengenai landskap halal yang diperlukan oleh MUIS.

“PPPH dan MUIS jika bergerak bersama mampu mewujudkan sinergi positif dalam memperkasakan industri dan seterusnya ekosistem halal di Sabah,” katanya.

Noorakmar turut menzahirkan penghargaan kepada MUIS yang sentiasa memberi sokongan kepada PPPH dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan halal.

“Diharapkan kerjasama yang berterusan di antara UMS dan MUIS akan memberi manfaat kepada Negeri Sabah dalam menjadi hab halal terutama dalam penghasilan makanan yang bukan hanya halal tetapi juga toyyiban,” ujar beliau.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut Dekan FSMP, Prof. Madya Dr. Hasmadi Mamat dan ahli-ahli kumpulan penyelidik halal iaitu Mohd Hazim Mohd Yusof, Dr. Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor, dan Dr. Yanty Noorzianna Abdul Manaf.

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan acara Inisiatif Pertukaran Mobiliti, yang memupuk hubungan antara Universiti Huaqiao dan UMS dalam demonstrasi kerjasama antarabangsa, baru-baru ini.

Pengarah Institut Confucius UMS Prof Ts. Dr. Chong Khim Phin berkata, acara yang diadakan di Institut Confucius pada 26 Januari lalu menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka dalam kalangan akademik, perdagangan dan penyelidikan agama bagi meneroka kerjasama antara satu sama lain.

Katanya, dalam pertemuan itu, pelbagai perkara utama dibincang bagi menyelidiki potensi kerjasama termasuklah minat kedua-dua institusi mewujudkan program mobiliti untuk pelajar dan ahli akademik bagi memudahkan penyerapan budaya dan pengayaan akademik, selain menggalakkan persefahaman yang lebih mendalam antara pelajar Malaysia dan China.

“Peserta juga mampu meneroka peluang  penyelidikan kerjasama antara Malaysia dan China mengenai agama dan budaya negara itu agar mereka dapat mendalami kefahaman tentang warisan budaya dan memupuk kerjasama akademik.

“Seperti sedia maklum, Malaysia dan China meraikan hubungan diplomatik ke-50 tahun ini, dan peserta membincangkan acara atau program yang berpotensi bagi memperingati peristiwa penting ini,” katanya semasa ditemui dalam program ini.

Turut hadir, Presiden Dewan Perniagaan Sabah-China Datuk Frankie Liew dan mantan Naib Presiden Universiti Huaqiao Profesor Zhang Yudong.

Beliau berkata, pertemuan ini juga menyentuh tentang pelaksanaan program latihan budaya untuk mengukuhkan budaya China dan meningkatkan komunikasi silang budaya antara kedua-dua negara.

Katanya, Dr Zaifuddin Md Rasip turut mencadangkan aktiviti yang berpotensi dalam pengajian perbandingan agama agar mampu memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang landskap agama yang pelbagai di Malaysia dan China selain menggalakkan toleransi serta dialog antara agama.

Sementara itu, Zhang Yudong berkata, dianggarkan 30,000 pelajar China sedang mengikuti pelbagai program akademik dalam aktiviti mobiliti di Thailand. 

Katanya, peserta perwakilan yang ada di sini pula kagum dengan budaya dan masakan Sabah yang unik seterusnya menganggap ia sesuai untuk inisiatif pertukaran agama dan budaya.

Dalam pada itu, Dr. Beatrice Lim Fui Yee dari Pejabat Global UMS mengesyorkan program sarjana muda dan pascasiswazah kepada delegasi dari Universiti Huaqiao, dengan menekankan peluang akademik yang terdapat di UMS.

Penyelaras Mobiliti Antarabangsa Datu Razali Datu Eranza juga menyatakan mobiliti boleh diwujudkan dan lebih munasabah dengan bantuan dewan dan industrialis. 

Beliau menekankan peranan organisasi perniagaan dan peneraju industri dalam menjadikan inisiatif mobiliti rentas sempadan menjadi kenyataan.

Pengarah Pusat Perakaunan UMS Andy Lee Chen Hiung, pula berharap untuk merapatkan jurang pengetahuan antara profesion perakaunan di China dan profesion perakaunan di Malaysia disebabkan pasaran kedua-dua negara yang berkait rapat. 

“Kenyataan ini menggariskan kepentingan perkongsian pengetahuan dan kepakaran untuk meningkatkan profesionalisme dan memupuk hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.

Sebagai tanda terima kasih, Dr. Sharifah Milda Amirul mewakili Profesor Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim mengucapkan terima kasih kepada Datuk Frankie Liew, Presiden SCCC, dengan usaha beliau dalam mempromosikan kerjasama pendidikan antara Sabah dan China.

Turut berkongsi pandangan sepanjang perbincangan ialah Timbalan Presiden, Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC) Chua Man Kui, Pengarah Agama Cina Luar Negara dan Pusat Penyelidikan Agama Fujian dan Taiwan di Universiti Huaqiao Profesor Fan Zhengyi dan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Agama Cina Luar Negara dan Universiti Huaqiao Fujian dan Taiwan Profesor Madya Liu Shouzheng.

Hadir sama Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Huaqiao Malaysia, Pangkalan Penyelidikan Kebangsaan Suruhanjaya Hal Ehwal Etnik Kebangsaan China Profesor Madya Zhong Darong, Ketua Program Pendarasan Islam di Fakulti Pengajian Islam Dr. Suhailah Abdul Muin dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Dr Mohd Nur Hidayat Hasbollah Hajimin.

Inisiatif Pertukaran Mobiliti membuktikan komitmen kedua-dua institusi dalam memupuk kerjasama antarabangsa, merapatkan jurang budaya dan mempromosikan perkongsian akademik serta ekonomi antara Universiti Huaqiao dan UMS. 

Apabila perbincangan ini menjadi kenyataan kelak, impak terhadap pendidikan, penyelidikan dan pemahaman budaya menjanjikan sesuatu yang mendalam dan meluas.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia untuk membantu pembangunan industri halal di Hong Kong melalui kepakaran yang terdapat di universiti tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat.

Menurut beliau, usaha tersebut bakal dipacu menerusi kerjasama bersama GBA Halal Certification Centre Ltd.

“Kolaborasi bersama ini meliputi  khidmat pakar runding makmal analisis halal, dengan libat sama syarikat OriGene DNA Testing Company Ltd. untuk analisis DNA dan alkohol dalam produk makanan halal di pasaran Hong Kong.

“Selain itu, UMS yang merupakan penyedia latihan halal yang berdaftar di bawah JAKIM bersedia untuk menawarkan program latihan halal seperti kursus kesedaran halal, kursus kompetensi halal, kursus eksekutif halal dan kursus pengauditan halal kepada pihak industri halal di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan acara menandatangani surat persetujuan kerjasama antara UMS melalui Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), dengan GBA Halal Certification Centre Ltd. sempena Halal Pavilion 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Hong Kong baru-baru ini.

UMS juga katanya akan memberi khidmat perundingan dan nasihat dalam pengurusan sistem jaminan halal bagi memastikan pematuhan kepada piawaian halal yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar GBA, Sharifa Leung berkata, kerjasama ini dijangka dapat membantu memajukan lagi ekosistem halal di Hong Kong.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada UMS kerana sudi memberikan sokongan dan bantuan dalam membangunkan industri halal di Hong Kong.

“Harapan saya adalah industri halal di Hong Kong dapat berkembang maju pada masa hadapan, selain  berharap agar masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam di Hong Kong akan mendapat manfaat langsung terutama dari segi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang halal,” ujar beliau.