Universiti Malaysia Sabah (UMS) memfokuskan kepada lima lensa yang akan membantu universiti itu terus meneraju kecemerlangan dalam memenuhi visi dan misi penubuhannya.

Lima lensa tersebut ialah penyediaan bakat; pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan; pemindahan dan perkongsian ilmu; pengantarabangsaan serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, perspektif penyediaan bakat UMS melibatkan dua aktiviti utama iaitu program akademik berkelas dunia dan pembangunan kemenjadian mahasiswa.

“Bagi lensa kedua, sepuluh aktiviti pengukuhan akan dilaksanakan untuk memacu kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan; antaranya pewujudan sepuluh living labs, memperbanyak kecemerlangan penerbitan dan pemerkasaaan Kluster Penyelidikan.

“Seterusnya lensa tiga iaitu pemindahan dan perkongsian ilmu. UMS mempunyai tanggungjawab besar untuk memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu.

“Ini merupakan nilai tambah penting kerana hasil penyelidikan dan keilmuan yang dijana dipulangkan semula dalam bentuk yang membawa manfaat kepada masyarakat dan industi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor UMS Tahun 2024 kepada seluruh warga UMS, pada Khamis.

Tambah Kasim, bagi lensa keempat iaitu Pengantarabangsaan, ia menumpukan kepada strategi meningkatkan daya saing global universiti, pengukuhan perkongsian dengan institusi antarabangsa serta mengembang program mobiliti pelajar.

“Lensa kelima dan terakhir adalah berkaitan Ekosistem Pemboleh Daya yang merujuk kepada mekanisme atau elemen suportif yang menyumbang kepada kecekapan dan keberkesanan pengurusan dalam pencapaian matlamat universiti.

“Dalam konteks UMS, ini merangkumi agenda kelestarian kewangan, kecekapan tadbir urus dan penyampaian, pemantapan teknologi digital dan kampus lestari,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, sebuah buku mewah bertajuk Kembara Antartika Pengalaman melalui Penyelidikan turut dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan UMS tahun ini.

Ia merupakan kisah kembara di Antartika oleh penyelidik UMS Profesor Dr. Justin Sentian yang menjalankan kajian berkaitan perubahan iklim bertajuk “Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika dalam Keadaan Cuaca Melampau” dan telah berjaya direkodkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR).

 

Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program ‘Fun Day Kids 2023’ bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai hak kanak-kanak.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Dr. Roslee Talip, penganjuran program itu juga bagi memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk menganjurkan program yang melibatkan pihak luar.

“Melalui program ini, para pelajar UMS dapat memupuk sikap kepimpinan, pengurusan masa dan gerak kerja, dan seterusnya saling bekerjasama untuk menjayakan program tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata terdapat tiga aspek perkembangan yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang, iaitu melalui penguasaan kognitif, afektif dan psikomotor.

“Kanak-kanak juga harus mengetahui dan belajar tentang langkah-langkah menjaga keselamatan diri apabila berada di sesebuah tempat. Pendidikan seksual dapat memperkasakan kanak-kanak dengan ilmu pengetahuan serta melindungi hak mereka.

“Program ini juga merupakan usaha yang baik oleh para pelajar UMS untuk memberikan kesedaran sosial kepada kanak-kanak supaya dapat menanam dan mengamalkan semangat perpaduan, permuafakatan dan interaksi dengan membentuk sahsiah diri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di UMS baru-baru ini.

Untuk rekod, seramai 50 kanak-kanak Tabika KEMAS Bolong Baru A dan Baru B Tuaran Sabah serta 32 pelajar PAKK UMS terlibat menjayakan program tersebut.

Hadir sama bagi menjayakan program ini, ialah Ketua Program PAKK FPP UMS Dr. Juppri Bacotang; Prof. Madya Dr. Abdul Said Ambotang dan Saturia Amiruddin.

Antara pengisian menarik program ini ialah aktiviti senamrobik, sukaneka, aktiviti mewarna serta sesi ceramah berkaitan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial

(PEERS) untuk kanak-kanak yang disampaikan oleh Pengetua Tadika Elit Ceria Q-Dees Putatan, Prisca Caroline Pius.

 

Program Mobiliti Global Industry - Academia Cooperation Collaboration (GIACC) ke Hannam University (HNU), Korea Selatan oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua universiti.

Penyelaras Mobiliti FPEP, Datu Razali Datuk Datu Hj. Eranza berkata, GIACC merupakan salah satu aktiviti kerjasama mobiliti yang dijalankan FPEP melalui Unit Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (UPPPK), Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) FPEP, dan Program Mobiliti FPEP bersama HNU yang berasaskan pendekatan program berkredit “Capstone Design” HNU.

“Program ini merupakan lawatan balas bagi menghargai 16 warga HNU yang terdiri daripada lapan orang Profesor dan lapan pelajar universiti tersebut yang telah melawat UMS pada bulan Disember tahun lalu.

“Kerjasama sedemikian memberikan ruang dan platform untuk para pelajar dan pensyarah berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai pengurusan perniagaan antarabangsa Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan delegasi UMS ke HNU yang bermula semalam.

Datu Razali memaklumkan, Pengurus Capstone Design HNU-UMS, Profesor Peter Lee Jae Myeong yang menyelaras lawatan tersebut telah merancang pelbagai program syarahan, lawatan industri dan kerja berkumpulan sepanjang lawatan kerja lima hari tersebut.

“Program GIACC yang berasaskan Capstone Design sememangnya menggalak dan melatih para pelajar dalam perniagaan antarabangsa, berdasarkan latar belakang yang berbeza bidang dan pengalaman.

“Melalui program sedemikian, pelajar dan pensyarah dapat menjalinkan hubungan antarabangsa bukan sahaja dengan rakan strategik akademik tetapi juga merangkumi penglibatan industri.

“Ini sekali gus membolehkan fakulti di kedua-dua buah universiti menambah baik keperluan pengajaran dan pembelajaran berasaskan industri, yang pada akhirnya akan melahirkan siswa-siswi berfikiran kritis dan holistik,” katanya.

Tambah beliau, Pengarah Leaders in Industry-University Cooperation 3.0 HNU, Profesor Dr. Won Gu Hwan ketika mengalu-alukan kehadiran delegasi UMS turut menyatakan harapan agar lebih banyak kunjungan antara kedua-dua pihak dapat diadakan dari semasa ke semasa.

“Hasil perbincangan dalam mesyuarat mobiliti mengharapkan agar universiti dan rakan industri di Daejon, Korea Selatan dan di Sabah akan terus memberikan sokongan bagi menjayakan GIACC Capstone Design HNU dan UMS pada masa akan datang.

“Delegasi HNU dijangka akan melawat UMS pada bulan Jun tahun ini yang dijangka akan disertai oleh para profesor, pensyarah dan siswa-siswi universiti tersebut,” ujar beliau.

Selain Datu Razali, turut terlibat dalam program tersebut Pengarah AACSB, Rosle Mohidin dan tujuh pelajar FPEP.

 

 

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal bekerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria Resort dalam melaksanakan empat agenda yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi itu.

Empat agenda tersebut adalah penempatan latihan industri pelajar FSMP, latihan bersama kakitangan, sokongan kepada aktiviti FSMP serta kolaborasi penyelidikan dan inovasi.

Menurut Dekan FSMP, Profesor Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat, kerjasama melalui surat niat antara kedua-dua organisasi itu adalah khusus kepada Program Perkhidmatan Makanan di FSMP.

“FSMP akan berkongsi kepakaran berkenaan perkhidmatan dan keselamatan makanan manakala Shangri-La Rasa Ria Resort pula akan menempatkan pelajar dan kakitangan FSMP untuk menjalankan latihan termasuk latihan industri.

“Kerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria Resort dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar FSMP untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kuliah kepada dunia pekerjaan yang sebenar,” ujarnya.

“Surat niat ini sah dalam tempoh setahun dan akan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan berkata pihaknya amat memerlukan kepakaran daripada FSMP dalam pengurusan sisa bahan dan makanan di resort berkenaan.

“Shangri-La Rasa Ria amat berbesar hati dan mengalu-alukan peluang kolaborasi ini bersama FSMP.

“Kami amat menitikberatkan perihal keselamatan makanan dan servis kepada pelanggan dan juga kakitangan di sini. Justeru, kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pihak pengurusan resort yang sangat memerlukan kepakaran daripada FSMP,” ujarnya.

Majlis pemeteraian surat niat itu ditandatangani oleh Hasmadi yang mewakili FSMP UMS, manakala Shangri-La Rasa Ria diwakili oleh Fiona.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSMP, Profesor Madya Dr. Wolyna Pindi dan Pengarah ESG (Environmental, Social, Governance) Shangri-La Rasa Ria, Yvonne Sipain.

 

Bagi memupuk hubungan berkekalan antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama para alumni luar negara, Pusat Alumni UMS telah mengadakan sesi perjumpaan santai bersama alumni negara Timor-Leste di Dili, baru-baru ini.

Perjumpaan tersebut berjaya menghimpunkan graduan dari pelbagai tahun pengajian sejak UMS menerima pelajar kumpulan pertama dari Timor-Leste pada 2015.

Menurut Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif Kamisan Pusiran, acara perjumpaan itu berperanan sebagai platform untuk mengemas kini data para alumni dalam sistem universiti.

“Perjumpaan ini juga peluang untuk para alumni menjalin hubungan bersama komuniti universiti menjelang sambutan ulang tahun penubuhan UMS ke-30 pada tahun ini.

“Pada perjumpan tersebut, seramai 30 orang alumni UMS di Timor-Leste hadir memeriahkan program ini yang berlangsung di Hotel Esplanada.

“Bagi kebanyakan alumni yang hadir, program ini merupakan pertemuan pertama mereka dengan alma mater selepas menamatkan pengajian masing-masing,” katanya.

UMS menerima seramai 15 pelajar kumpulan pertama dari Timor-Leste pada tahun 2015 yang mengikuti program Diploma Minyak dan Gas melalui Fakulti Kejuruteraan.

Acara perjumpaan itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Timor-Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh; Timbalan Dekan (Akademik dan Anatarabangsa) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Profesor Madya Dr. Asmahani Awang, Timbalan Pengarah Pusat Luar UMS (Kewangan), Zallifah Shadan dan Ketua Pentadbiran Pusat Alumni UMS, Syed Mahyuddin Syed Satri.