Program Mobiliti Global Industry - Academia Cooperation Collaboration (GIACC) ke Hannam University (HNU), Korea Selatan oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua universiti.

Penyelaras Mobiliti FPEP, Datu Razali Datuk Datu Hj. Eranza berkata, GIACC merupakan salah satu aktiviti kerjasama mobiliti yang dijalankan FPEP melalui Unit Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (UPPPK), Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) FPEP, dan Program Mobiliti FPEP bersama HNU yang berasaskan pendekatan program berkredit “Capstone Design” HNU.

“Program ini merupakan lawatan balas bagi menghargai 16 warga HNU yang terdiri daripada lapan orang Profesor dan lapan pelajar universiti tersebut yang telah melawat UMS pada bulan Disember tahun lalu.

“Kerjasama sedemikian memberikan ruang dan platform untuk para pelajar dan pensyarah berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai pengurusan perniagaan antarabangsa Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan delegasi UMS ke HNU yang bermula semalam.

Datu Razali memaklumkan, Pengurus Capstone Design HNU-UMS, Profesor Peter Lee Jae Myeong yang menyelaras lawatan tersebut telah merancang pelbagai program syarahan, lawatan industri dan kerja berkumpulan sepanjang lawatan kerja lima hari tersebut.

“Program GIACC yang berasaskan Capstone Design sememangnya menggalak dan melatih para pelajar dalam perniagaan antarabangsa, berdasarkan latar belakang yang berbeza bidang dan pengalaman.

“Melalui program sedemikian, pelajar dan pensyarah dapat menjalinkan hubungan antarabangsa bukan sahaja dengan rakan strategik akademik tetapi juga merangkumi penglibatan industri.

“Ini sekali gus membolehkan fakulti di kedua-dua buah universiti menambah baik keperluan pengajaran dan pembelajaran berasaskan industri, yang pada akhirnya akan melahirkan siswa-siswi berfikiran kritis dan holistik,” katanya.

Tambah beliau, Pengarah Leaders in Industry-University Cooperation 3.0 HNU, Profesor Dr. Won Gu Hwan ketika mengalu-alukan kehadiran delegasi UMS turut menyatakan harapan agar lebih banyak kunjungan antara kedua-dua pihak dapat diadakan dari semasa ke semasa.

“Hasil perbincangan dalam mesyuarat mobiliti mengharapkan agar universiti dan rakan industri di Daejon, Korea Selatan dan di Sabah akan terus memberikan sokongan bagi menjayakan GIACC Capstone Design HNU dan UMS pada masa akan datang.

“Delegasi HNU dijangka akan melawat UMS pada bulan Jun tahun ini yang dijangka akan disertai oleh para profesor, pensyarah dan siswa-siswi universiti tersebut,” ujar beliau.

Selain Datu Razali, turut terlibat dalam program tersebut Pengarah AACSB, Rosle Mohidin dan tujuh pelajar FPEP.

 

 

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal bekerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria Resort dalam melaksanakan empat agenda yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi itu.

Empat agenda tersebut adalah penempatan latihan industri pelajar FSMP, latihan bersama kakitangan, sokongan kepada aktiviti FSMP serta kolaborasi penyelidikan dan inovasi.

Menurut Dekan FSMP, Profesor Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat, kerjasama melalui surat niat antara kedua-dua organisasi itu adalah khusus kepada Program Perkhidmatan Makanan di FSMP.

“FSMP akan berkongsi kepakaran berkenaan perkhidmatan dan keselamatan makanan manakala Shangri-La Rasa Ria Resort pula akan menempatkan pelajar dan kakitangan FSMP untuk menjalankan latihan termasuk latihan industri.

“Kerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria Resort dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar FSMP untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kuliah kepada dunia pekerjaan yang sebenar,” ujarnya.

“Surat niat ini sah dalam tempoh setahun dan akan disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan berkata pihaknya amat memerlukan kepakaran daripada FSMP dalam pengurusan sisa bahan dan makanan di resort berkenaan.

“Shangri-La Rasa Ria amat berbesar hati dan mengalu-alukan peluang kolaborasi ini bersama FSMP.

“Kami amat menitikberatkan perihal keselamatan makanan dan servis kepada pelanggan dan juga kakitangan di sini. Justeru, kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pihak pengurusan resort yang sangat memerlukan kepakaran daripada FSMP,” ujarnya.

Majlis pemeteraian surat niat itu ditandatangani oleh Hasmadi yang mewakili FSMP UMS, manakala Shangri-La Rasa Ria diwakili oleh Fiona.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSMP, Profesor Madya Dr. Wolyna Pindi dan Pengarah ESG (Environmental, Social, Governance) Shangri-La Rasa Ria, Yvonne Sipain.

 

Bagi memupuk hubungan berkekalan antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama para alumni luar negara, Pusat Alumni UMS telah mengadakan sesi perjumpaan santai bersama alumni negara Timor-Leste di Dili, baru-baru ini.

Perjumpaan tersebut berjaya menghimpunkan graduan dari pelbagai tahun pengajian sejak UMS menerima pelajar kumpulan pertama dari Timor-Leste pada 2015.

Menurut Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif Kamisan Pusiran, acara perjumpaan itu berperanan sebagai platform untuk mengemas kini data para alumni dalam sistem universiti.

“Perjumpaan ini juga peluang untuk para alumni menjalin hubungan bersama komuniti universiti menjelang sambutan ulang tahun penubuhan UMS ke-30 pada tahun ini.

“Pada perjumpan tersebut, seramai 30 orang alumni UMS di Timor-Leste hadir memeriahkan program ini yang berlangsung di Hotel Esplanada.

“Bagi kebanyakan alumni yang hadir, program ini merupakan pertemuan pertama mereka dengan alma mater selepas menamatkan pengajian masing-masing,” katanya.

UMS menerima seramai 15 pelajar kumpulan pertama dari Timor-Leste pada tahun 2015 yang mengikuti program Diploma Minyak dan Gas melalui Fakulti Kejuruteraan.

Acara perjumpaan itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Timor-Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh; Timbalan Dekan (Akademik dan Anatarabangsa) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Profesor Madya Dr. Asmahani Awang, Timbalan Pengarah Pusat Luar UMS (Kewangan), Zallifah Shadan dan Ketua Pentadbiran Pusat Alumni UMS, Syed Mahyuddin Syed Satri.

Pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghargai sumbangan media dalam membantu menyebar luas aktiviti dan program universiti.

Justeru itu, Timbalan Naib Cancelor UMS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Raman Noodin berkata pihak pengurusan UMS akan terus memperkukuhkan hubungan yang sedia terjalin ini.

Katanya ini khususnya menerusi aktiviti sukan dan rekreasi untuk mengeratkan silaturrahim antara petugas media dan staf UMS.

Menurutnya hubungan baik UMS dengan media ini membolehkan isu-isu yang ada dapat dileraikan menerusi hebahan media.

Beliau ditemui pada perlawanan persahabatan bola sepak Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dengan pengurusan UMS di Stadium UMS, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr Jakaria Dasan.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tijarah Holding Ltd, satu institusi pembangun blok rantaian (blockchain) patuh syariah sebagai usaha melengkapkan para pelajar UMS dengan pengetahuan dalam bidang teknologi kewangan (fintech), khususnya berkaitan blockchain.

MoU tersebut dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori, UMS pagi tadi.

MoU ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor bagi pihak UMS, manakala Tijarah Holding Ltd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, John Joseph Pellegrini.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya sempena majlis tersebut berkata, Fintech dilihat semakin berkembang di Malaysia, yang didorong oleh peningkatan permintaan daripada penduduk majoriti Islam dan penduduk berkemahiran teknologi.

“Menurut laporan dari industri, landskap fintech negara terus menunjukkan pertumbuhan yang teguh, dengan terdapat lebih 300 syarikat fintech yang beroperasi di Malaysia, merangkumi pelbagai kategori termasuk e-dompet, pembayaran, pinjaman, wealthtech, insurtech, dan blockchain atau mata wang kripto (cryptocurrency).

“Penggunaan teknologi blockchain semakin berkembang dalam banyak industri, dan dipercayai bahawa institusi kewangan Islam juga boleh mendapat manfaat daripada teknologi ini kerana lebih berdaya saing dan selaras dengan objektif zakat,” katanya.

Menurut beliau, kajian yang memfokuskan kepada potensi teknologi blockchain dan keberkesanannya dalam memudahkan sistem pengurusan kewangan Islam negara semakin berkembang, namun kurang perbincangan mengenai penyesuaian teknologi tersebut dalam pengurusan kewangan Islam untuk menjadikannya berfungsi

“Kebanyakan penyelidikan tertumpu kepada negara seperti Indonesia, dan walaupun terdapat peningkatan penyelidikan di Malaysia, penyelidikan mendalam masih kurang.

“ Isu kewangan Islam di Malaysia lebih tertumpu kepada isu berkaitan ketiadaan data di laman sesawang setiap negeri dan platform media sosial yang kurang menarik dan kurang berkesan dalam aspek komunikasi.

“Ini menunjukkan bahawa Malaysia kini memerlukan sistem pengurusan kewangan Islam yang lebih baik untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Kasim turut melihat terdapat keperluan pembangunan modal insan bagi menyokong perkembangan fintech.

“Justeru itu, UMS mengambil inisiatif menyokong usaha ini melalui pemeteraian MoU bagi menyumbang kepada pembangunan sumber manusia selaras dengan peranan penting universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di Sabah.

“Kolaborasi dengan pemain industri akan membolehkan universiti mendedahkan pelajar kepada amalan dan pemahaman terkini dalam bidang blockchain dan fintech ini,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pembangunan Pendidikan Tijarah Holding, Prof. Dato’ Dr. Jayles Yeoh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail; Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal; dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan Tijarah Holding, Shahirah Sundu.