Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) merancang untuk menawarkan program Sarjana Muda di dalam bidang Pengurusan Logistik.

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim berkata, UMS sangat positif dalam keperluan penawaran program baharu ini memandangkan terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap bidang tersebut.

“Ini termasuk keperluan memberikan pendidikan lanjutan terutama kepada para pelajar lepasan Diploma dalam bidang Logistik dan Rantaian Bekalan.

“Selain itu, penawaran program baharu ini juga akan dapat membantu peningkatan penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan akademi dan juga dengan kerjasama industri terutamanya di dalam menyelesaikan permasalahan di dalam sektor ini di Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi perjumpaan antara akademi dan industri bersama PKT Logistics Group Sdn Bhd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio.

Turut berlangsung dalam sesi tersebut acara menandatangani Surat Niat (LoI) bagi kerjasama antara UMS dan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., yang ditandatangani oleh Rahimie dan Michael Tio.

Rahimie menambah, penawaran program Sarjana Muda Pengurusan Logistik di UMS bakal menjadi peneraju kepada perkembangan industri pengurusan logistik tempatan.

“Ini turut mampu membantu dalam peningkatan kepada fasiliti industri yang boleh menyokong kepada pembangunan industri di negeri Sabah.

“Usaha ini juga diyakini akan meningkatkan penawaran tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dalam industri berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Rahimie memaklumkan PKT Logistics Group merupakan penyedia perkhidmatan logistik khusus terkemuka di Malaysia dan mempunyai jaringan di seluruh negara Asia Tenggara.

Michael Tio juga katanya merupakan individu luar biasa yang mempunyai semangat keusahawanan dan dedikasinya telah memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan PKT Logistics Group Sdn. Bhd.

“Justeru, UMS amat optimis melalui pemeteraian kerjasama ini program penyelidikan dan perundingan antara kedua-dua pihak akan dipergiatkan.

“LoI ini juga adalah untuk memastikan kerjasama antara Kumpulan Logistik PKT dan universiti akan memberi manfaat kepada graduan universiti dengan memberi pendedahan kepada mereka tentang kemahiran yang diperlukan oleh industri,” katanya.

Ujar beliau, UMS dan PKT Logistik Group senada bahawa kerjasama ini akan memupuk inovasi, bakat, dan memacu kemajuan masyarakat, sekali gus memberi manfaat kepada para ahli akademik dan pemain industri.

Hadir sama pada acara pemeteraian LoI tersebut Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) merangkap Pengarah, Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu hasrat kerjasama strategik bersama Universitas Islam Negeri (UIN) Salatiga, Indonesia.

Hasrat kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani dokumen Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak di Bangunan Canselori, UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mewakili UMS menandatangani dokumen LoI tersebut, manakala UIN Salatiga diwakili oleh Rektornya, Prof. Dr. Zakiyuddin Baidhawy.

Terdahulu, Kasim ketika mengalu-alukan kunjungan delegasi dari UIN Salatiga memaklumkan, hubungan silaturahim antara kedua-dua universiti telah wujud namun perhubungan sebelum ini hanya melalui secara dalam talian.

“Justeru, kunjungan delegasi UIN Salatiga ke UMS ini merupakan satu pertemuan yang dinamik, yang mampu menjurus kepada perbincangan lebih lanjut berkaitan kecemerlangan akademik dan penyelidikan kedua-dua universiti.

“Kedua-dua universiti ini seharusnya menjalinkan lebih banyak kerjasama memandangkan Malaysia dan Indonesia secara dasarnya mempunyai banyak persamaan dan merupakan negara serumpun,” katanya.

Kasim menambah, kerjasama ini juga merupakan langkah awal yang bijak kerana lebih banyak aktiviti akan tertumpu di Kepulauan Borneo apabila pusat pentadbiran negara Indonesia berpindah ke ibu kota Nusantara di Kalimantan kelak.

“Saya percaya hasrat kerjasama ini akan disusuli dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dan beberapa aktiviti lain seperti penyelidikan bersama dan geran padanan.

“UMS juga sudah sekian lama menjalinkan kerjasama erat dengan universiti-universiti di Indonesia terutama universiti yang berada di Kepulauan Borneo.

“Terbaru, kita juga telah mengadakan kunjungan ke Universiti Tanri Abeng, dan kita berhasrat untuk mengadakan kerjasama serta menawarkan program secara dalam talian,” kata Kasim.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) atas usaha yang membawa kepada kerjasama bersama UIN Salatiga.

Dalam pada itu, Zakiyuddin dalam ucapannya pada acara tersebut memaklumkan, UIN Salatiga baru genap setahun dinaik taraf daripada institut kepada universiti penuh.

“Justeru, UIN Salatiga mahu terus melebarkan sayap melalui kerjasama di peringkat antarabangsa, serta ingin terus belajar dari universiti lain bagi meningkatkan pengiktirafan dan akreditasi universiti.

“Universiti juga menyasarkan untuk menghantar 10 peratus iaitu lebih 300 siswanya ke luar negara melalui program mobiliti,” ujar beliau.

Terdahulu, Zakiyuddin turut dijemput untuk menyampaikan Syarahan Umum Profesor bertajuk “Peneguhan Identiti Islam Dalam Interaksi Bersama Masyarakat Pelbagai Agama” di Pusat Islam UMS.

Hadir sama pada sesi menandatangani LoI tersebut Dekan FIS, Prof. Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek; Pengarah PPPG, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din; Ketua Unit Penyelidikan dan Khidmat Komuniti UIN Salatiga, Dr. Hammam; dan Ketua Kerjasama Antarabangsa UIN Salatiga, Marisa Fran Lina.

 

Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), sebagai penaja Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), mengorak langkah di dalam penglibatan bersama belia dengan menyampaikan unit AHB bernilai RM20,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada 200 pelajar Bumiputera UMS yang layak, dengan setiap pelajar menerima 100 unit AHB secara percuma.

Objektif inisiatif ini adalah untuk memupuk literasi kewangan dan menggalakkan pelajar memulakan pelaburan demi kemakmuran masa depan mereka.

Majlis penyampaian unit AHB telah diadakan di Universiti Malaysia Sabah yang merupakan sebahagian daripada program Minggu Pelaburan 2023 anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Skim amanah saham AHB, yang ditawarkan oleh PHB, menunjukkan dedikasi syarikat dalam menyokong institusi pendidikan dan menggalakkan celik kewangan di kalangan golongan muda.

Profesor Datuk Dr Hj. Kasim Mansor, Naib Canselor UMS, merakamkan penghargaan di atas sumbangan PHB dan percaya inisiatif sebegini dapat membantu pelajar UMS dalam memupuk sikap positif terhadap aktiviti pelaburan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang baik di masa hadapan.

 

Terdahulu, Tuan Haji Mohamad Damshal Bin Awang Damit, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB dan Profesor Adjung di UMS telah menyampaikan syarahan perdana kepada pelajar UMS. Syarahan yang bertajuk "Menilai Pasaran Hartanah Tempatan dan Global: Penilaian Semasa dan Trend Masa Depan" menawarkan pandangan berharga tentang dunia dinamik pasaran hartanah, di peringkat tempatan dan global. Kerjasama antara PHB dan UMS menandakan komitmen yang tidak berbelah bahagi syarikat untuk

memupuk generasi akan datang selaku individu yang mempunyai kuasa kewangan. Dengan menyediakan akses kepada pelaburan unit amanah serta pandangan menyeluruh daripada pakar, PHB berhasrat untuk meletakkan asas yang kukuh kepada budaya tanggungjawab kewangan dan penciptaan kekayaan jangka masa panjang.

 

Seramai 23 pelajar Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia berkesempatan menimba pengalaman menarik melalui program mobiliti di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Program yang diadakan selama tujuh hari itu penuh dengan aktiviti pendidikan merangkumi jalinan sosial, ikatan silaturahim dan pembelajaran tanpa sempadan.

Menurut penyelaras e-mobiliti program kejururawatan yang merupakan pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Mazlinda Musa, kerjasama antara Jabatan Kejururawatan FPSK UMS dengan Fakultas Ilmu Kesehatan, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia, telah bermula sejak tahun 2020.

Katanya, sejak tahun 2020, pihaknya telah menjalankan satu semester penuh program e-mobiliti inbound dan outbound, seminar dalam talian, projek penyelidikan kecil dan ceramah umum antara kedua-dua fakulti tersebut.

“Selepas dua tahun hubungan maya antara universiti yang berterusan ini, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia, memutuskan untuk datang dan melawat FPSK, UMS secara fizikal.

“Antara aktiviti yang diadakan pada program mobiliti kali ini ialah program pendidikan kesihatan bersama 150 pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, ceramah berkaitan bidang kejururawatan serta lawatan tempat-tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah Mazlinda, beberapa tempat lawatan sambil belajar turut dikunjungi seperti Muzium Negeri Sabah dan Perpustakaan Negari Sabah.

“Diharapkan program pengantarabangsaan ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Dengan adanya program seumpama ini, peserta dapat mempelajari topik tertentu sambil membantu pelajar memperluas pemahaman mereka tentang budaya, bahasa, hubungan antarabangsa, serta memberi mereka kelebihan kompetitif dalam persaingan kerja global.

Pada sidang kemuncak lawatan itu, satu majlis menandatangani surat niat (LoI) telah disempurnakan oleh Dekan FPSK UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree bersama Dekan Fakultas Ilmu Kesehatan, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Dr. Umi Budi Rahayu yang mewakili universiti masing-masing.

Kedua-dua universiti bersetuju untuk berkolaborasi melalui pertukaran staf akademik, pertukaran pelajar, kerjasama projek penyelidikan serta penganjuran aktiviti pembangunan pelajar (kokurikulum) secara bersama, seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, pembelajaran antarabangsa dalam talian kolaboratif (COIL), seminar dan simposium.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan lagi kecemerlangan akademik dan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.

Terbaru, UMS menerima kunjungan delegasi dari East China Normal University (ECNU), Shanghai, China sebagai satu inisiatif dalam meneroka kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak.

Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden East China Normal University, Profesor Zhou Aoying (周傲英, 副校长) dan disertai oleh Presiden The Federation of Chinese Associations Malaysia (Huazong) dan The Federal of Chinese Associations Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T.C Goh disambut oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di Bangunan Canselor, UMS pagi tadi.

Turut serta dalam delegasi dari ECNU, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Confucius Institute, Prof. Zhou Yong (周勇, 孔子学院办公室主任); Profesor di School of International Studies, Prof. Zhang Jianmin (张建民, 国际汉语文化学院教授); Profesor di School of Communication, Prof. Wu Zhiyong (武志勇, 传播学院教授); dan Pegawai Bahagian Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa, Xu Cheng (许诚, 国际合作与交流处项目官员).

Menurut Kasim, UMS berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi bersama ECNU dalam bidang-bidang seperti Ketamadunan Cina, Sains Data, Komunikasi dan Pendidikan.

“Pihak universiti menjangkakan lebih ramai pelajar antarabangsa akan datang ke UMS untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam program pascasiswazah, termasuk pelajar dari China dan Indonesia.

“Justeru, UMS melihat kolaborasi bersama ECNU adalah satu peluang bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan kecemerlangan akademik di universiti masing-masing, serta mengukuhkan nama universiti di peringkat antarabangsa sekali gus menarik lebih ramai pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini,” katanya.

Hasrat kerjasama tersebut turut dimeterai melalui satu acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak dalam sesi pertemuan tersebut.

Melalui LoI yang ditandatangani, kedua-dua universiti berhasrat untuk mengadakan kerjasama melalui pertukaran kakitangan akademik dan pelajar, kolaborasi dalam projek penyelidikan, penerbitan dan pengajaran, serta penganjuran aktiviti kokurikulum berkaitan pembangunan pelajar seperti persidangan, kursus latihan jangka pendek, pembelajaran atas talian, program mobiliti, khidmat komuniti, dan sebagainya.

Dalam pada itu, T.C Goh dalam sesi pertemuan tersebut memaklumkan ECNU merupakan antara universiti yang ternama di Shanghai, China.

“UMS merupakan destinasi pilihan pertama ECNU untuk mengadakan kunjungan serta kerjasama selepas pembukaan semula sempadan negara pasca pandemik Covid-19.

“Justeru, pihak FCAS melihat kedua-dua universiti mempunyai potensi besar untuk mengadakan kerjasama bagi manfaat bersama,” ujar beliau.

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Asmady Idris; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Dr. Lai Yew Meng; Pengarah Confucius Institute UMS, Prof. Ts. Dr. Chong Khim Phin; dan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.