Hampir 200 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta menjayakan Program Destini SMJ Anak Muda Sabah yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Rabu.

Program yang diadakan buat edisi yang ketiga itu merupakan anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Sabah dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS.

Ia antara lain bertujuan untuk menyampaikan maklumat dasar dan polisi kerajaan khususnya anak muda mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Selain itu, ia bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat berkenaan pelaksanaan hala tuju SMJ.

Pengisian program melibatkan sesi dialog dan soal jawab bersama dua panel jemputan iaitu Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dan Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim.

Ketika ditemui media Fairuz memaklumkan, selain penerangan tentang hala tuju SMJ, program itu juga memberi penerangan tentang pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada rakyat dan golongan belia.

“Disamping itu, kita mendengar pandangan dan persoalan daripada mahasiswa. Alhamdulilah setakat ni program ini sampai kepada sasaran kita.

“Mudah-mudahan hari ini, para peserta dapat memahami seterusnya boleh menyampaikan apa sebenarnya hala tuju SMJ itu kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Vanessa Adiex, 24, berkata, penganjuran program Destini SMJ Anak Muda Sabah amat bertepatan bagi membolehkan para pelajar menyampaikan pandangan dan idea kepada pihak kerajaan.

“Sebagai mahasiswa, jarang kita mendapat ruang dan peluang seumpama ini. Selain mendapat informasi berkaitan hala tuju SMJ, ia juga merupakan platform yang tepat untuk kami menyuarakan pendapat kepada pihak kerajaan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Dhan Dhan Farsaudi, 24, memaklumkan bahawa program tersebut memberikan impak yang sangat positif kerana golongan mahasiswa merupakan golongan belia yang akan menjadi pewaris kepimpinan pada masa hadapan.

“Apabila program seumpama ini diadakan, kerajaan boleh melihat secara terus tentang keperluan dan keinginan sebenar para belia dan mahasiswa. Jadi kita ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mengadakan program bermanfaat seumpama ini,” katanya.

Hadir sama, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Prof Madya. Dr. Asmady Idris; Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd. Raffie Haji Janau; dan Presiden MPP UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan My Research System (MyRES) 1.0, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, platform penyelidikan dan inovasi di UMS adalah satu ekosistem yang amat penting dalam memajukan bidang sains dan teknologi di Sabah.

“Dengan adanya ekosistem penyelidikan dan inovasi yang kukuh, pembangunan modal insan, kualiti pendidikan, dan penyelidikan dapat ditingkatkan.

“Untuk itu, MyRES 1.0 diperkenalkan bagi menyelaraskan pelbagai proses dan aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan penyelidikan dan inovasi, mempermudahkan kerjasama padu dan pertukaran maklumat efisien di antara penyelidik dan kakitangan pentadbiran.

“MyRES terdiri daripada lima kumpulan sistem yang membentuk asas penting dalam pengurusan penyelidikan dan inovasi, iaitu merangkumi Research Report and Monitoring System (MyR), Research Financial System (MyF), FAPI Research Report Card System (MyFAPI-RC), Research Lab Report Card System (MyLRC), dan Sistem Maklumat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (SMPPI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran sistem tersebut di Dewan Auditorium, Pusat Pengajian Pascasiswazah, pagi tadi.

Rosalam menambah, MyRES merupakan satu pendekatan strategik untuk membantu penyelidik dan pentadbir bekerjasama dalam membangunkan prestasi penyelidikan ke peringkat antarabangsa.

“Kerjasama yang berterusan antara semua pihak menuju kearah matlamat menjadi pemangkin kepada peningkatan inovasi dan kemajuan teknologi dalam masyarakat.

“Ini sejajar dengan aspirasi Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor yang mahu menjadikan UMS sebagai Peneraju Masyarakat Berinovatif.

“Justeru itu, saya yakin bahawa dengan kehadiran MyRES 1.0 ini akan mempermudahkan kerjasama dan pertukaran maklumat di antara penyelidik dan kakitangan pentadbiran, serta membantu meningkatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi di UMS,” katanya.

Ujar beliau, sistem tersebut diharap dapat dimanfaatkan oleh semua warga UMS agar usaha memperkukuhkan lagi ekosistem penyelidikan dan inovasi dapat dicapai.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Prof. Dr. Jumat Sulaiman; Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan, Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun; Timbalan Pengarah I PPP, Prof. Madya CM. Ts. Dr. Mohd Sani Sarjadi; Timbalan Pengarah II (Penyelidikan) PPP, Dr Ervin Gubin Moung; Timbalan Pengarah (Strategik) PPP, Prof. Madya Dr. Fatimah Binti Ahmedy; dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Penyelidikan dan Inovasi, Darwis Manainus Awang Kangit.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Bicara Buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Menurut kenyataan Penerbit UMS, antara tujuan program tersebut adalah untuk mempromosikan buku terbitan UMS yang telah memenangi Anugerah Buku Negara (ABN) 2022, iaitu buku “Perpindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan: Implikasinya ke atas Negeri Sabah, Malaysia.”

“Program diskusi ini membicarakan isu semasa iaitu impak perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan dan persiapan negara dalam menghadapinya.

“Antara panel pembicara yang hadir mengupas isu ini ialah mantan Pesuruhjaya Polis Sabah CP (R) Dato’ Abd Rashid Harun; penyunting buku iaitu Profesor Madya Dr. Ramli Dollah dan Dr. Amrullah Maraining; dan Dr. Yasmin Ooi selaku moderator program,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pada akhir program, Abd. Rashid ketika sesi bicara berkenaan menegaskan bahawa kedaulatan negara hendaklah dipelihara sebaiknya.

“Ini dengan memastikan keselamatan sempadan terjaga, di samping mengutamakan kepentingan sosioekonomi dan keharmonian antara Malaysia dan negara tetangga,” ujar beliau.

Program tersebut turut dihadiri Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Kenneth Teo Tze Kin.

Program yang julung kali diadakan oleh Penerbit UMS di peringkat PBAKL itu merupakan inisiatif untuk meningkatkan keterlihatan UMS di samping memasarkan buku terbitan universiti.

Orang ramai yang ingin membeli buku “Perpindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan: Implikasinya ke atas Negeri Sabah, Malaysia” boleh mendapatkannya di Kedai Buku UMS dengan menghubungi talian 012-8629745.

 

Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Pendidikan Awal Kanak Kanak Sabah (PERKAS) menganjurkan Program Early Childhood Care and Education (ECCE) Camp di Minakit Retreat Bundu Paka, Kota Belud, baru-baru ini.

Program yang diadakan dengan kerjasama syarikat BCM Edu Consultant itu disertai lebih 30 pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UMS dan juga guru-guru tadika swasta.

Dekan FPP UMS, Profesor Dr. Murnizam Hj Halik berkata, penganjuran program itu antara lain bagi memberi pendedahan tentang keperluan dan kehendak industri pendidikan dan penjagaan kanak kanak sekitar negeri Sabah pada masa kini.

“Program ini juga bertujuan melahirkan guru yang berilmu, berketerampilan, berdaya tahan, mengamalkan nilai-nilai positif dan gaya hidup sihat selaras dengan prinsip Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Guru.

“Ia juga seiring dengan hasrat membangkitkan roh dan jiwa guru sejajar dengan tema sambutan hari guru tahun 2023 iaitu Guru Insani Pemangkin Generasi Madani,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Murnizam turut menyuarakan harapan agar pelaksanaan program itu memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami realiti persekitaran dan sentiasa bersikap responsif sebagai persediaan apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar kelak.

“Melalui program ini, para peserta boleh mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang telah ditimba di universiti, selain didedahkan dengan keupayaan membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

“Para pelajar juga mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan jasmani, emosi, rohani dan sosial serta mempraktikkan semangat berpasukan yang tinggi sekali gus menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan perkhidmatan kepada komuniti.

“Secara optimisnya, program seumpama ini dilihat mampu membangunkan potensi diri peserta dengan menilai kesesuaian ciri personaliti kendiri dan kerjaya dalam bidang keguruan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang peserta Ahmad Nor Syakirin Bahak Udin meluahkan rasa gembira sepanjang tiga hari mengikuti program tersebut.

“Saya memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu dari segi pemasaran digital untuk tadika yang disampaikan Nur Kamal Moong dari Mamam Digital, selain memperoleh kemahiran pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dikongsikan oleh Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok dari UMS.

“Pengasas TKC Education, Eny Zaniza Yasir juga memberikan input penting kepada kami terutama dalam kemahiran komunikasi kanak-kanak dan pengurusan kelas, selain aspek pengurusan kewangan yang dikongsikan oleh Presiden PERKAS, Fatimah Mohd Yasin,” katanya.

 

Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) berupaya membantu memartabatkan karya seni tempatan selaras dengan visi penubuhannya sebagai sebuah pusat sehenti pameran, promosi dan jualan produk seni bagi perkembangan ilmu dan pelancongan.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, GAH-UMS juga turut menyediakan ruang kepada artis dan pengkarya seni dan organisasi dalam mempamer, mempromosi dan menjual karya seni dan produk berkaitan kesenian, serta meningkatkan pengetahuan baru masyarakat dalam pelbagai bidang melalui pelbagai program yang berkonsepkan ilmiah.

“Konsep galeri bukan sahaja mempamerkan karya visual tetapi galeri membuka ruang untuk seni persembahan dan pendidikan seperti seminar, bengkel seni, seni kraf tempatan dan lain-lain.

“Melalui aktiviti pameran yang dianjurkan pula telah menarik banyak pengunjung dari dalam dan luar negara untuk melawat galeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian GAH-UMS baru-baru ini.

Majlis perasmian galeri tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan turut dihadiri Pro Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim.

Kasim berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada GDP Architects & KEAN Architect atas kejayaan memperoleh pingat Emas daripada Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) AWARDS 2023 dalam kategori Public & Institutional bagi reka bentuk bangunan GAH.

Kejayaan itu juga katanya sekali gus menaikkan nama GAH-UMS yang telah mula dibuka kepada umum pada 24 November 2021.

“Untuk pengetahuan semua, GAH-UMS turut menjadi tempat pilihan bagi penganjuran majlis atau aktiviti yang berskala besar sebagai contoh baru-baru ini sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan peringkat UMS diadakan dengan meriah di sini.

“Ramai pelajar dan kakitangan yang hadir berasa teruja melihat sendiri keindahan dan keunikan bangunan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azman ketika berucap pada majlis tersebut memaklumkan keseluruhan galeri tersebut mempunyai kawasan binaan melebihi 2,500 meter persegi, dan mempamerkan struktur bulat unik yang dikenali sebagai Menara Beriu.

“Galeri ini terdiri daripada dua peringkat ruang pameran tertutup dan terbuka, bilik seminar, auditorium mini, bilik digital dan conservatory deck di atas bumbung.

“Pada masa ini galeri menempatkan lebih 240 lukisan, arca dan objek seni visual dan gunaan lain dalam pelbagai gaya yang dicipta oleh kebanyakan artis tempatan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada staf UMS khususnya warga Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) dan GAH-UMS yang telah melaksanakan usaha mempromosikan dan menggalakkan pembangunan ekosistem seni visual melalui GAH secara berterusan.

Hadir sama pada majlis tersebut Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni; Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Rafail Walangitan; Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Amcorp Group Berhad, Shalina Azman; Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad; dan Pengarah GAH-UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit.