Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa Universiti Awam Malaysia (JKPA) mampu menyokong dan melaksanakan hasrat yang telah digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu kecemerlangan agenda pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, beliau yakin JKPA di bawah teraju pengerusi baharu, Dr. Hajah Zainab Haji Mohd Noor mampu menggerakkan usaha dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan serantau.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan amanah sebagai Pengerusi JKPA bagi tempoh 2023 hingga 2025 kepada Dr. Hajah Zainab.

“Semoga di bawah teraju Dr. Hajah Zainab, JKPA akan terus menyumbang dalam memperkukuh dan mengantarabangsa sumber intelektual sebagaimana hasrat KPT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis Meet & Greet sempena Mesyuarat JKPA Universiti Awam Malaysia Kali Ke-27 yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Bangunan Dewan Canselor UMS.

Kasim juga berharap agar JKPA akan terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai ‘titik temu’ yang menarik kedatangan pelajar, penyelidik dan bakat global.

“Malaysia dengan kepelbagaian flora dan fauna dan yang paling utama kepelbagaian etnik dan budaya merupakan lokasi yang mampu menyediakan pengalaman pembelajaran yang fleksibel” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi JKPA sesi 2021/2023, Profesor Dr. Yong Zulina Zubairi yang kini dilantik sebagai Pendaftar Universiti Malaya (UM) yang baharu serta menyempurnakan sesi pertukaran cenderamata bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku pengerusi mesyuarat.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail; Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; dan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Madya Dr Wardatul Akmam Din

11 agenda Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2023 mampu memperkasakan sektor pendidikan tinggi nasional secara menyeluruh.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr Kasim Haji Mansor berkata, hala tuju yang telah digariskan bertepatan dengan kepantasan perubahan dunia yang menuntut kesiapsiagaan tinggi dalam mendepani pelbagai krisis dan cabaran semasa.

“Bagi UMS, setiap pesanan dan inti amanat Yang Berhormat Menteri akan menjadi sumber rujukan utama sebagai roh kepada hala tuju universiti sepanjang tahun 2023.

“Setiap aktiviti sedia ada dan perancangan yang telah dirangka juga akan dilihat dan disesuaikan semula bagi memastikan UMS sentiasa seiringan dengan misi dan visi KPT khususnya ketika kita berada pada era ledakan teknologi permodenan dunia tanpa sempadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi memberi reaksi terhadap Ucapan Perutusan Tahun Baharu Menteri KPT 2023 yang bertemakan Pendidikan Tinggi: Harapan dan Masa Depan.

Dr Kasim berkata, bagi mendepani cabaran tahun 2023 dan mengurus pelbagai kejutan di tahun-tahun mendatang, UMS menerusi slogan baharu “Leading towards Innovative Societies” (peneraju masyarakat berinovatif) akan terus aktif mengadakan jalinan kerjasama dengan pihak industrii, universiti-universiti di peringkat global, serta institusi-institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Pendekatan-pendekatan yang digunakan memfokus kepada proses pemindahan ilmu kepada masyarakat dengan lebih teratur dan mudah kecapaiannya.

“Dengan keintelektualan yang ada tentunya akan membolehkan inovasi dihasilkan bersesuaian dengan empat sektor teras sumber utama ekonomi negara khususnya di Sabah iaitu pertanian, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan.

“Kepakaran ahli akademik inilah yang menjadi penggerak kepada kemampuan UMS menterjemahkan masyarakat madani yang dihasratkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menyahut agenda pertama dan yang paling utama iaitu menterjemahkan aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat,” jelasnya.

Dr Kasim turut menyifatkan empat tugas utama yang diumumkan menteri KPT untuk dilaksanakan Naib Canselor IPT di seluruh negara sebagai satu keperluan yang wajar dan tepat pada masanya.

Empat tanggungjawab tersebut adalah menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional; membangunkan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti; meraih dana, waqaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan, material dan bukan material bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya; dan membongkar potensi dan kebijakan setiap warga universiti.

Menurut Dr Kasim, bagi menyahut tanggungjawab yang diamanahkan itu, perancangan dan aktiviti sedia ada akan diperkasa dan diperhebatkan.

“Beberapa perancangan awal telah pun digariskan bagi menyahut saranan ini. Yang pertama UMS akan mengadakan permodenan sistem Universiti dengan Memperluaskan jaringan kerjasama dengan pemegang taruh, mewujudkan lebih banyak "Living Laboratory" dengan agensi-agensi kerajaan dan industri.

“Yang kedua, universiti ini akan memanfaatkan sumber alam sekitar sepenuhnya. Dalam konteks negeri Sabah yang terkenal dengan keluasan hutan yang perlu dipelihara, UMS menjalinkan kerjasama pintar dengan pemain-pemain utama dalam industri khususnya "Big Players" dalam sektor Industrial Tree Plantation (ITP) di mana para penyelidik dan pelajar melakukan penyelidikan berkaitan alam sekitar dan perhutanan.

“Yang ketiga, UMS akan meneruskan pembudayaan budi bahasa dan nilai murni oleh pensyarah dan mahasiswa dalam kurikulum dan pengajaran serta aktiviti ko-kurikulum. Dengan kata lain, pembudayaan masyarakat madani diterapkan dalam formal learning, informal learning dan non-formal learning,” jelasnya.

Dr Kasim berkata, universiti itu turut meningkatkan daya cipta menerusi penyelidikan dan inovasi yang mempromosikan ciri-ciri Malaysia Madani dalam semua bidang yang diceburi, terutamanya elemen kemampanan dan kesejahteraan.

“Pada masa yang sama, kita juga mengetengahkan kalangan ahli akademik sebagai tokoh-tokoh pelbagai bidang yang boleh berkongsi kepakaran menyumbang kepada pembangunan dan penerusan masyarakat madani di Malaysia, terutamanya di negeri Sabah.

“Kita juga berhasrat membawa lebih ramai pensyarah, pegawai dan kakitangan pentadbiran, penuntut, alumni dan rakan kerjasama menyantuni lebih ramai golongan sasar di luar bandar dan pedalaman bagi tujuan menguatkan sosio ekonomi menerusi program-program tanggungjawab sosial korporat dan khidmat masyarakat,” ujar beliau.

Katanya, UMS dan seluruh warga kakitangan dan pelajarnya bersedia memberi komitmen penuh dalam menjayakan seluruh agenda serta misi dan visi KPT.

“Selain perancangan awal ini, beberapa perancangan lain juga akan menyusul untuk kita laksanakan pada tahun 2023 sejajar dengan hala tuju KPT bagi memenuhi tuntutan masa kini ke arah masa depan pendidikan tinggi negara yang lebih diyakini, disegani dan dihormati,” tambah Dr. Kasim.

Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Semakan Semula Dasar Penyelidikan dan Inovasi selama dua hari di sini, baru-baru ini.

Program itu antara lain bertujuan menyemak semula dasar sedia ada bagi melancarkan segala proses permohonan dan kerja-kerja berkaitan penyelidikan di UMS.

Ia juga bagi mengumpul dan menyeragamkan semua dokumen dan garis panduan bagi mengelakkan kekeliruan serta membantu para penyelidik mendapatkan sumber rujukan yang lebih jelas.

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan Naib Canselor UMS. Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor.

Berucap pada program tersebut Dr Kasim berkata, bengkel itu amat bertepatan bagi menggalakkan para penyelidik lebih aktif untuk mendapatkan dana dan membuat jalinan hubungan kerjasama dengan pihak industri.

“Kita juga menggalakkan agar penyelidikan yang dijalankan hendaklah memberikan impak kepada komuniti seiring dengan usaha pihak universiti untuk melahirkan masyarakat yang berinovasi (Leading towards Innovative Societies).

“Sebagai sebuah gedung ilmu terkemuka di Sabah, para penyelidik UMS perlu berperanan sebagai pakar rujuk dalam pelbagai bidang kepakaran.

“Inilah yang UMS mahukan iaitu ilmu dan kepakaran seharusnya dikongsi, disebarluaskan ke arah menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sabah tercinta ini,” katanya.

Bengkel yang diadakan buat julung kalinya itu disertai 75 peserta yang terdiri daripada dekan-dekan fakulti, pengarah-pengarah pusat, timbalan-timbalan dekan penyelidikan dan inovasi, Pejabat Penasihat Undang-undang serta wakil Jabatan Bendahari UMS.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Pengarah PPP UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman.

KOTA KINABALU: Keintelektualan ahli akademik yang pelbagai perlu ditransformasi bagi menghasilkan ramuan menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, universiti tidak boleh lagi berpegang pada ‘status quo’ berperanan hanya sebagai kilang menghasilkan graduan berkualiti semata-mata. 

“Pada era teknologi dan digitalisasi ini, peranan universiti sudah pun meluas mencakupi segenap spektrum kehidupan masyarakat 

“Inovasi dan kreativiti yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bagi mempertingkatkan kemaslahatan hidup masyarakat adalah sesuatu yang sangat diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga UMS secara dalam talian di sini, pada Ahad.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu, Kasim mengumumkan slogan baharu ‘UMS Leading Towards Innovative Societies’ sepanjang tahun 2023.

“Sematkan dalam minda kita semua akan kesedaran bahawa kita adalah institusi ilmu yang lahir dan bertapak di Sabah. Universiti awam yang terhasil dari cetusan nurani rakyat di negeri Sabah. 

“Tanamkan dalam jiwa kita semua bahawa kita adalah aktor penting sesuai dengan kepakaran yang kita ada dalam sama-sama bertanggungjawab membangun kehidupan masyarakat,” tegasnya.

Anak jati Sabah kelahiran Kampung Rampayan Manggatal itu turut mengajak seluruh warga UMS bersama-sama dalam merealisasikan misi tersebut.

“Marilah kita berganding bahu bersama menggenggam amanah, mendukung tanggungjawab dan melunas bakti sebagai universiti yang sentiasa mendekati masyarakat kita. 

“Sama ada sebagai ahli akademik, kakitangan pentadbiran, mahu pun pelajar, kita mampu menjadikan keberadaan UMS di Sabah khasnya menjadi lebih bermakna. 

“Akhirnya, UMS yang anggun berdiri di lokasi selesa dan strategik dalam Bandar Raya Kota Kinabalu ini dirasai sama akan rasional kewujudannya di segenap pelusuk tanah air khususnya dalam negeri Sabah yang luas ini.

“Realisasikan dengan produktiviti dan dedikasi menjayakan bersama kesungguhan kita ini meletakkan UMS peneraju ke arah masyarakat berinovatif,” katanya.

Kasim turut menyatakan kejayaan kepimpinan universiti sebelum ini juga perlu dipertahankan dan dipertingkatkan. 

Ujarnya, selain melipatgandakan usaha sedia ada, pendekatan-pendekatan strategik diperlukan bagi mendepani cabaran baharu dan mengatasi dugaan yang menuntut keterbukaan minda.

 

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengorak langkah menjadi sebuah kampus lestari sepenuhnya dengan melaksanakan penghayatan konsep EcoCampus.

Sistem Penarafan Universiti Dunia UI GreenMetric adalah inisiatif Asia yang dilancarkan di seluruh dunia pada tahun 2010 untuk menilai prestasi institusi pengajian tinggi (IPT) berhubung penghayatannya terhadap konsep kemampanan ekosistem ini.

Menurut kenyataan UMS, bagi tahun ini, daripada 1,050 jumlah penyertaan IPT di seluruh dunia, UMS melonjak 14 anak tangga iaitu dari kedudukan ke-67 kepada 53 atau lima peratus universiti paling mampan.

Kenyataan tersebut menjelaskan, walaupun dikategorikan sebagai universiti komprehensif, UMS kekal tangga ke-3 di Malaysia di belakang dua universiti penyelidikan terkemuka tempatan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) dengan perbezaan masing-masing tiga dan satu peratus.

“Pada tahun 2021, UMS menduduki tempat yang lebih rendah berbanding UPM dan UM dengan perbezaan empat peratus.

“UMS telah mengambil bahagian dalam inisiatif UI GreenMetric sejak 2014 sebagai pendekatan untuk menilai keupayaannya dalam agenda pembangunan mampan Sabah. Kedudukan UMS menunjukkan ia sedang maju ke hadapan di peringkat kebangsaan,” demikian kenyataan dari UMS.

Kenyataan tersebut turut menyebut, pencapaian menjadi universiti ke-53 paling mampan di dunia adalah hasil usaha serta aspirasi kolektif daripada semua fakulti dan pusat di UMS.

“UMS akan meningkatkan usaha ke atas kelestarian mampan dengan memperkenalkan komponen fakulti dan pusat tertentu sebagai makmal hidup pada 2023.

“Makmal hidup adalah perkongsian rasmi antara kumpulan penyelidik UMS, pemain industri dan komuniti untuk menyelesaikan masalah sosio-ekonomi tertentu,” katanya.

Justeru, masalah berterusan seperti peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa mampan dan keselamatan air di kampus sentiasa menjadi tumpuan di UMS.

“Universiti akan terus mensosialisasikan hasil keluarannya melalui makmal hidup ini, seperti penetasan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Marin Borneo.

“Pembiayaan awal sebanyak RM500,000 telah pun diperuntukkan tahun ini untuk tujuan tersebut,” demekian kenyataan dari UMS.

UMS juga berhasrat untuk mengemukakan makmal hidup yang ditubuhkan itu kepada pihak berkuasa pendidikan Malaysia untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pusat kecemerlangan negara terutamanya dalam bidang sains.