KHAMIS, 12 NOVEMBER – Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman menyarankan masyarakat mematuhi cara pemakaian pelitup separuh muka bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian dalam Siri Pendidikan Kesihatan COVID-19 Siri 2 yang membincangkan topik “Pelitup Separuh Muka: Betulkah Cara Saya Pakai Ni?”.

Pemakaian pelitup separuh muka khususnya ketika berada di tempat awam amat penting bagi mencegah penularan COVID-19 dengan lebih berkesan.

Pemakaian pelitup separuh muka muka bukan sahaja bertindak menghalang seseorang untuk menyebarkan virus melalui cecair dari hidung atau mulut, tetapi turut mampu melindungi diri sendiri dengan menghalang sebarang virus daripada memasuki rongga sistem pernafasan.

“Berdasarkan fakta dan kajian klinikal, transmisi COVID-19 boleh berpindah daripada individu dijangkiti kepada indvidu lain melalui cecair atau titisan, dan cenderung untuk menyerang sistem pernafasan melalui hidung dan mulut.

“Apabila individu yang dijangkiti COVID-19 bercakap atau batuk, percikan atau titisan yang lebih besar yang mengandungi virus akan jatuh ke permukaan, manakala titisan yang kecil boleh merebak lebih jauh.

“Justeru, pelitup separuh muka amat peting sebagai penghadang bagi mencegah sebaran percikan tersebut memasuki hidung dan mulut, selain turut bertindak menghalang tangan yang dikhuatiri terdedah kepada titisan daripada permukaan untuk memegang hidung dan mulut sendiri.

“Dalam erti kata lain, pelitup separuh muka amat penting sebagai pelindung atau kawalan terhadap punca penularan,”katanya.

Mengulas lanjut berkaitan pelitup muka, kata Prof. Khamisah terdapat dua jenis pelitup separuh muka yang dijual di pasaran, iaitu jenis pelitup separuh muka perubatan dan pelitup separuh muka bukan perubatan.

“Secara asasnya, pelitup separuh muka perubatan ialah jenis pakai buang dan mempunyai ciri tiga lapisan, iaitu lapisan luar yang kalis air bagi menghalang sebarang titisan, lapisan tengah sebagai penapis sekiranya terdapat titisan kecil menembusi lapisan luar, dan lapisan dalam yang menyerap air iaitu bagi menyerap titisan akibat batuk.

“Pelitup separuh muka perubatan kebiasaannya perlu dipakai oleh golongan petugas kesihatan, petugas barisan hadapan, golongan yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19, golongan yang berisiko dijangkiti seperti warga emas atau individu yang mempunyai masalah sistem imun badan, serta orang yang sakit.

Bagi pelitup separuh muka bukan perubatan, katanya pelitup separuh muka jenis ini adalah dari bahan fabrik dan boleh diguna semula dengan syarat perlu dicuci menggunakan air panas dan sabun detergen.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyarankan agar pelitup separuh muka jenis fabrik ini perlu ada ciri sama seperti pelitup separuh muka perubatan, iaitu perlu mempunyai tiga lapisan,” kata Prof. Khamisah.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga katanya merupakan agensi yang bertanggungjawab memastikan semua pelitup muka yang dijual secara komersial di kedai-kedai mematuhi standard dan piawaian minimum yang telah ditetapkan oleh WHO.

Pada akhir sesi perkongsian, Prof. Khamisah turut mengingatkan agar orang awam tidak mudah leka dengan penurunan kes COVID-19 di negara tetapi terus mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Siri Pendidikan Kesihatan COVID-19 anjuran Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 UMS yang dikendalikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Dr. Fatimah Ahmedy sebagai moderator disiarkan secara langsung setiap hari Khamis jam 10 pagi melalui laman Facebook Rasmi UMS.

 

ISNIN, 16 NOVEMBER - Ketua Timbalan Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Luqman Ridha Anwar dilantik sebagai Pendaftar baharu UMS.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Pengurusan dan Operasi) Hospital UMS dilantik ke jawatan tersebut berkuat kuasa 13 November 2020 bagi menggantikan Vina Zahriani Yusof yang menggalas tanggung jawab sebagai Pendaftar UMS sejak 13 November 2018.

Luqman Ridha menerima pelantikan tersebut dalam satu acara ringkas penyerahan surat lantikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Pejabat Naib Canselor baru-baru ini.

Dalam acara sama, Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap turut menyampaikan surat pelantikan semula Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin yang juga berkuat kuasa 13 November 2020.

RABU, 4 NOVEMBER - Pengurusan, kakitangan serta pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mendapat manfaat daripada inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyediakan pelajar dengan rancangan data dan peranti elektronik, seperti yang diumumkan oleh menteri KPT, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Rasid Mail menyampaikan penghargaan bagi pihak pengurusan UMS berkata, inisiatif tersebut dapat membantu mengurangkan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar semasa mengakses sistem pengurusan pengajaran dan pembelajaran dalam talian rasmi (SMARTUMSV3).

“Pengajaran dan pembelajaran dalam talian telah menjadi sandaran utama dalam sistem pendidikan semasa pandemik COVID-19. Oleh demikian, kedua-dua IPTA dan IPTS telah beralih ke sistem dalam talian. Kakitangan akademik dan staf sokongan UMS telah menerima latihan dan dukungan secara berterusan melalui Pusat E-pembelajaran.

“Cabaran utama yang dihadapi oleh 17,829 pelajar yang kini mendaftar di UMS, ialah kos pemindahan data yang tinggi, Hal ini tercetus apabila satu jam kuliah dalam talian dapat menggunakan sehingga 1 Gb data bergantung pada isi kandungan kuliah yang biasanya disampaikan melalui format video secara langsung. Malah, keadaan ekonomi semasa mungkin memberi kesan buruk terhadap kemampuan banyak pelajar untuk membeli kapasiti data,” ujarnya.

Daripada 17,829 pelajar UMS, 4,471 pelajar berasal dari Semenanjung, 1,692 pelajar dari Sarawak dan 287 pelajar dari Labuan. Manakala terdapat 5,935 pelajar tinggal di bandar dan 5,444 pelajar tinggal di luar bandar negeri Sabah. 

Noraini dalam pengumumannya menjelaskan, pelan data dari Celcom, Digi, Maxis dan Telekom Malaysia menawarkan harga serendah bermula dari RM28 untuk 35gb di domain Google Meet.

Selain itu perkakasan dalam bentuk komputer riba dan peranti mudah alih akan diberikan kepada pelajar dengan harga potongan, di bawah kerjasama antara syarikat Acer, Samsung dan Apple serta KPT.

KPT memperuntukkan RM3.8 juta yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada 76,100 pelajar, dimana RM24 juta akan diperuntukkan untuk memberi 320,396 pelajar B40 kad SIM, atau wang tunai atau baucar untuk melanggan pelan data. 

KPT juga turut menekankan bahawa skim bantuan peranti komputer akan membolehkan 8,965 pelajar B40 yang disasarkan di universiti awam untuk menerima komputer riba secara percuma atau pinjaman, atau wang tunai atau baucar untuk membeli peranti komputer peribadi mereka. Semua inisiatif ini akan meningkatkan produktiviti pelajar dalam masa penuh mencabar ketika ini.

Tambah Dr. Rasid, pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 akan menerima bantuan tunai RM50 untuk membeli rancangan data dan keperluan lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua staf akademik UMS atas usaha berterusan mereka untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran dalam talian sebahagian penting dalam budaya UMS.

“Sudah tentu, inisiatif yang diumumkan oleh KPT merupakan keputusan yang dicapai selepas perbincangan secara teliti dan mendalam bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih kondusif, terutama dalam kalangan pelajar UMS,” jelasnya.

Beliau juga memuji usaha Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) UMS dalam meningkatkan kemampuan Sistem Pengurusan Pembelajaran UMS dengan peningkatan seni bina rangkaian dan penyelesaian secara inovatif.

“Pandemik COVID-19 mesti dilihat sebagai cabaran penting yang harus diatasi untuk memastikan perkembangan sistem pendidikan tinggi nasional dan menjadikannya setanding dengan standard antarabangsa.

“Sesungguhnya, para pelajar dan kakitangan UMS yakin bahawa sokongan yang kuat dan berterusan dari KPT akan mengukuhkan lagi usaha UMS untuk memastikan pencapaian misi dan visi,” katanya. 

JUMAAT, 30 OKTOBER - Penasihat Khas Kesihatan Awam Kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood telah mengadakan lawatan kerja ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Lawatan tersebut antara lain adalah bagi meninjau sendiri kemudahan makmal di FPSK UMS yang menjalankan ujian pengesanan COVID-19, serta mendengar perkembangan semasa aktiviti dan usaha Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 UMS dalam membendung sebarang krisis berkaitan COVID-19.

Dalam lawatan itu, Dr. Jemilah diberi penerangan daripada wakil Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan berkaitan tanggungjawab serta pencapaian pusat tersebut yang melibatkan kakitangan-kakitangan daripada FPSK sendiri.

Antara pencapaian tersebut adalah inovasi UMS Shields yang diguna pakai untuk memantau tahap kesihatan warga kakitangan, pelajar serta orang luar yang memasuki kampus UMS, serta inovasi UMS COVID Sampling Chamber yang bertujuan memudahkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengambil sampel COVID-19 dengan lebih selamat.

Dr. Jemilah ketika sesi diskusi bersama kakitangan FPSK dan HUMS turut berkesempatan mendengar peluang yang boleh dikembangkan dan diterokai pelbagai pihak menerusi situasi pada masa ini, antaranya kajian ‘Seroprevalence’ terhadap jangkitan COVID-19, perkhidmatan menerusi penggunaan fasiliti makmal, latihan dan konsultasi, latihan dari aspek psikologi, serta peluang-peluang inovasi yang lain.

Hadir sama pada sesi lawatan tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Dekan FPSK, Prof. Dr. Saffree Jeffree; Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang; dan kakitangan FPSK  serta HUMS.

SELASA, 22 SEPTEMBER - Lembaga Program Pengkhususan dalam Penyalahgunaan Alkohol dan Dadah (SPADA), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah komited dalam membantu golongan belia yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurut penyelaras Program SPADA UMS, Dr. Noor Hassline Mohamed, ahli lembaga SPADA akan berusaha dan bersedia menyalurkan kepakaran bagi membantu golongan belia dalam mengatasi isu penyalahgunaan dadah melalui pendekatan kepakaran masing-masing yang terdiri daripada pakar kaunseling, psikologi (klinikal, industri, sosial dan pendidikan) dan psikiatri.

“Melalui pendekatan kepakaran pelbagai disiplin ini, ia dapat dilihat sebagai salah satu usaha UMS dalam membantu golongan penagih dan belia yang terlibat dalam penagihan dadah dan bahan terlarang khususnya di Sabah,” katanya.

Tambah Dr. Noor Hassline, sebuah perbincangan bersama AADK, Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS telah diadakan dan kerjasama dengan pihak-pihak tersebut mampu menangani cabaran dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol disamping memberikan penekanan kepada strategi kearah kebaikan kehidupan masyarakat.

“Antara intipati yang dibincangkan adalah pengoperasian Klinik SPADA di Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC)  di bawah AADK Negeri Sabah, Program Keluarga Angkat bersama anggota keluarga penagih dadah, program kerjaya dan komuniti di kalangan bekas penagih dadah, beberapa program dan aktiviti lain seperti webinar, sijil kemahiran menolong, serta penempatan pelajar SPADA dalam pratikum dan latihan industri di AADK.

“Program Keluarga Angkat dan pendekatan berkonsepkan ‘Modul Keluarga Bahagia’ yang telah dibangunkan oleh Profesor Dr. Mohd Dahlan Hj A. Malek bersama ahli penyelidik FPP UMS ini berkesan dalam mengenalpasti punca dan kesan dadah kepada individu, masyarakat dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah PKLM UMS, Dr Jakaria Dasan berkata bantuan kepakaran daripada pihak akademik, agensi kerajaan dan belia mampu menyokong penubuhan University for Society (U4S) yang bertujuan untuk membantu para belia menjadi usahawan.

“Pihak-pihak ini akan menyediakan beberapa produk untuk diberikan kepada golongan belia bagi menjana sumber pendapatan kendiri dan ini boleh diselaraskan juga kepada golongan belia yang di dalam proses pemulihan ketagihan.

“Diharapkan melalui kerjasama dan gabungan seperti ini, SPADA UMS akan dapat bersama-sama bergerak dalam satu pasukan untuk memerangi penyalahgunaan dadah dikalangan masyarakat di Sabah khususnya dan Malaysia amnya,” katanya.