RABU, 12 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah merangka pelbagai usaha berterusan bagi memastikan para pelajarnya terdedah kepada bidang keusahawanan.

Antara usaha tersebut adalah penubuhan kelab keusahawanan dalam kalangan pelajar, sesi pengenalan entiti-entiti yang mengendalikan hal ehwal keusahawanan di UMS semasa kemasukan pelajar baharu, siri lawatan industri serta siri Entrepreneurial Talk.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, peluang perniagaan kepada pelajar turut diberikan untuk menilai tahap penerimaan ilmu keusahawanan yang telah dipelajari.

“UMS telah menyediakan beberapa platform perniagaan kepada pelajar antaranya MyBest Buy@ Tamu Fama, bazar Ramadan, Tamu Gadang dan kursus Digital Entrepreneur.

“Tidak terhenti setakat itu sahaja, UMS juga membuka ruang kepada pelajar menterjemahkan ilmu yang diperoleh kepada pemain industri di Sabah menerusi program yang disusun oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Lawatan Program Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (Zon Sabah) oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Mansor Othman di Bangunan Canselori, UMS baru-baru ini.

Datuk Dr. Taufiq Yap menambah, selain itu, Program Business Pitching buat julung kali telah diadakan pada 11 Mac lalu bagi memberi peluang kepada pelajar UMS membentangkan idea keusahawanan dan pelan perniagaan kepada panel industri dilantik.

“Hasilnya, dua orang pelajar UMS telah dipilih oleh pihak industri penganjur untuk bekerjasama dan menjadikan idea yang dibentang sebagai realiti,” katanya.

Jalinan kerjasama UMS dengan pemain industri khususnya di Sabah dan Malaysia amnya bersama persatuan turut dirangka sebagai salah satu inisiatif UMS bagi membuka peluang kepada pelajar menjadi sebahagian daripada pemain industri.

 

“Inisiatif jaringan kerjasama ini antaranya dicapai menerusi surat niat antara Kelab Keusahawanan UMS bersama Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), manakala satu Memorandum Persefahaman pula akan dilaksanakan pada 21 Ogos 2020 antara UMS bersama Celcom Axiata Sdn Bhd,” kata Datuk Dr. Taufiq Yap.

 

Ujar beliau, UMS berhasrat melahirkan graduan yang bukan sahaja boleh menyumbang kepakaran dalam sektor awam dan swasta, lebih pada itu berusaha melahirkan ramai usahawan yang tidak bergantung pada dana kerajaan semata-mata.

 

Pada program lawatan tersebut, Datuk Dr Taufiq Yap bersama-sama pegawai utama dan kanan UMS kemudiannya membawa Dato’ Mansor untuk melawat beberapa fasiliti yang terdapat di UMS antaranya Hatcheri Ikan, Pantai ODEC, dan Pusat Maklumat Pelawat EcoCampus (EVIC).

RABU, 5 OGOS - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menggesa para kakitangan UMS untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi mencapai matlamat dan misi universiti untuk bergerak ke hadapan.

Katanya, setiap matlamat yang digariskan akan lebih mudah dizahirkan sekiranya setiap kakitangan dapat menetapkan pemikiran bahawa tugas dan tanggungjawab yang digalas di universiti ini adalah sebagai satu ibadah yang dikerjakan untuk mendapat pahala dan kebaikan.

“Di UMS seharusnya tidak ada pasukan lain dalam pentadbiran, semua harus bekerja sebagai ‘Team UMS’, kerana pada akhirnya universiti ini adalah berkenaan kita semua.

“Kita harus melihat universiti ini melepasi kepentingan diri sendiri bagi memacu universiti terus ke hadapan.

“Kita juga mampu melakukan tugas dengan baik untuk universiti sekiranya kita menganggap apa yang dikerjakan sebagai satu ibadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu Majlis Bersama Pengerusi LPU yang dihadiri oleh pegawai-pegawai utama serta ketua-ketua jabatan UMS di Bangunan Canselori, pagi tadi.

Datuk Seri Masidi menambah, menjadikan setiap tugasan seharian sebagai satu hobi juga membantu diri setiap pekerja untuk lebih mencintai pekerjaan serta berusaha untuk perkembangan diri dalam kerjaya.

“Apabila sesuatu yang dikerjakan itu menjadi hobi, kita lebih cenderung untuk terus melakukan kajian dan penggalian ilmu terhadap sesuatu yang kita minati, dan ini sekali gus membantu dalam perkembangan potensi diri,” katanya.

Beliau turut menyeru kakitangan sama ada kakitangan akademik mahupun pentadbiran agar membudayakan prinsip dahagakan ilmu.

“Adalah lebih baik sekiranya seseorang pensyarah untuk mempunyai pengetahuan terhadap pelbagai disiplin ilmu berbanding kepakaran yang sedia ada,” ujar Datuk Seri Masidi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Masidi turut bersetuju dengan pendekatan UMS untuk memfokuskan beberapa nic penyelidikan seperti yang dinyatakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, khususnya kajian berkaitan pertanian pintar.

“Negeri Sabah mempunyai tanah yang luas untuk bidang pertanian, dan ini adalah satu usaha yang baik bukan sahaja untuk universiti meneroka peluang terhadap bidang pertanian, tetapi turut menjadi peneraju bagi membuka minda petani serta menggalakkan petani muda dalam aspek pertanian moden.

“Amat penting untuk universiti mengkaji pelbagai alternatif tanaman makanan, kerana sebagai contoh kira-kira 70% beras di Malaysia diimport dari luar negara, dan bekalan makanan akan terjejas sekiranya aktiviti perdagangan atau hubungan dua hala dengan negara luar terjejas,” kata Datuk Seri Masidi.

Pada majlis tersebut, Datuk Seri Masidi turut berkesempatan menyempurnakan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat UMS, serta bersama-sama Datuk Dr. Taufiq Yap, pegawai-pegawai utama UMS dan kakitangan UMS melafazkan ikrar Rukun Negara.

 

JUMAAT, 10 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Hospital UMS (HUMS) dan Institut Confucius menganjurkan ceramah umum “Traditional Chinese Medicine (TCM) in COVID-19” sebagai satu usaha mengetengahkan perubatan tradisional Cina dalam rawatan pelbagai penyakit termasuk COVID-19.

Naib Canselor UMS, Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha bersama tersebut merupakan satu platform terbaik dalam menghimpunkan pakar perubatan dan penyelidik universiti untuk mempelajari dan mendalami kaedah perubatan tersebut.

“Pandemik COVID-19 mengajar kita banyak perkara, dan salah satunya adalah berkaitan keberkesanan TCM dalam rawatan penyakit.

“Saya juga difahamkan akan ada perbincangan berkaitan penyelidikan TCM antara penyelidik UMS dan penceramah.

“Diharapkan perbincangan ini akan menghasilkan satu kolaborasi yang memberi manfaat untuk universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena ceramah umum tersebut yang berlangsung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, pagi tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.

Datuk Taufiq Yap turut berharap agar pengetahuan yang dikongsi akan memberi manfaat kepada UMS serta mampu menyokong kepada kerajaan negeri Sabah khususnya dalam mengawal dan menangani wabak COVID-19 di negeri ini.

Dalam pada itu, ceramah yang disampaikan oleh pakar dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Yam Mun Fei antara lain menerangkan berkaitan TCM yang merupakan kaedah perubatan tertua di dunia dengan sejarahnya sejak 2500 tahun dahulu.

“Dalam satu kajian, hasil penggunaan TCM dalam merawat wabak Severe Accute Respiratory System (SARS)  adalah sangat menggalakkan.

“TCM adalah satu pendekatan integratif untuk merawat pesakit COVID-19 sementara menunggu pembangunan vaksin yang berkesan untuk penyakit tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Klinikal HUMS, Dr. Nicholas Pang Tze Ping memberitahu, atas faktor penjarakan sosial, ceramah tersebut hanya dihadkan kepada 30 peserta.

“Walau bagaimanapun, pihak HUMS menyediakan platform melalui Google Meet dan Facebook Live agar orang awam turut berpeluang memperoleh pengetahuan yang disampaikan.

“HUMS juga akan menggiatkan kolaborasi dengan pelbagai organisasi bagi menganjurkan ceramah umum sebegini untuk manfaat universiti dan masyarakat khususnya,” ujar Dr. Nicholas Pang.

Hadir sama dalam ceramah umum tersebut Pengarah Institut Confucius, Prof. Dr. Low Kok On; Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Kualiti Akademik, Prof. Dr. Vincent Pang Ah Fook; dan Ketua Kejururawatan HUMS, Prof. Dr. Hamidah Hassan.

KHAMIS, 9 JULAI -  Prihatin terhadap bencana banjir yang melanda Pusat Amal Latihan dan Amali Orang Kurang Upaya(OKU) di Tuaran, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turun padang bagi membantu membersihkan semula kawasan pusat latihan tersebut.

Menurut Ketua Jurulatih PALAPES UMS, Mejar Erika Fatra Roslita Rusli, “Program Jiwa Murni” yang dilaksanakan selama dua hari di pusat latihan tersebut adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban dalam kalangan golongan OKU yang terjejas akibat hujan lebat serta banjir baru-baru ini.

“Program ini juga menjadi platform untuk PALAPES UMS mengeratkan hubungan silaturrahim antara staf UMS, anggota tentera dan masyarakat amnya serta golongan OKU khasnya.

“Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Naib Canselor UMS, Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin yang memuji penglibatan kakitangan dan pelajar universiti dalam aktiviti kemasyarakatan seumpama ini,” katanya.

Ujar Mejar Erika, usaha sebegini membuktikan bahawa UMS bukan saja mampu melahirkan siswa-siswi yang berprestij tetapi juga mampu memberi sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat.

Dalam pada itu, orang awam adalah dialu-alukan untuk memberi sumbangan beras dan barang keperluan dapur bagi meringankan beban pusat latihan tersebut.

KHAMIS, 25 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini menyerahkan bekalan pensanitasi tangan kepada lapan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta 21 buah sekolah di Sabah.

Penyerahan pensanitasi tangan tersebut diadakan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Anjung Siswa, Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Menurut kenyataan dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, acara penyerahan tersebut adalah kali kedua kepada agensi kerajaan dan NGO selepas kali pertama diadakan pada 5 Jun lalu.

“UMS melalui FSSA yang diketuai oleh Prof. Dr. How Siew Eng bersama kumpulan penyelidik dari sektor sains telah menghasilkan sejumlah 1173 liter pensanitasi tangan, dengan sebahagiannya telah diisi ke dalam 6700 unit botol kecil dan diagihkan secara percuma.

Kandungan pensanitasi tangan yang dihasilkan juga adalah mengikuti garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pengeluaran pensanitasi tangan itu adalah di bawah inisiatif “Function of Science”, satu inisiatif program “Global Innovation through Science and Technology (GIST)” oleh “United States Department of State”, Amerika Syarikat yang mendapat tajaan bahan mentah daripada badan-badan korporat.

Menurut Pengarah GIST di Malaysia, Murali Prasad Y. Vandayar, antara badan korporat yang memberi tajaan adalah Lendlease, Yayasan MRCB, Tessolve Semiconductor, WWRC, Mayplas Packaging, Apical Scientific, MITR Mediservice, Acme Chemicals, Elite Advanced Materials  dan penderma perseorangan.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk meringankan beban golongan B40 dan barisan hadapan yang terpaksa berdepan dengan harga pensanitasi tangan yang mahal semasa pandemik COVID-19, serta memastikan keperluan pensanitasi tangan ketika bertugas dapat dipenuhi kerana ketiadaan sumber sabun dan air yang berhampiran untuk membersihkan tangan.

Sementara itu, Datuk Dr. Taufiq Yap amat berbesar hati untuk menyumbang tenaga kerja sukarela dan fasiliti untuk menghasilkan pensanitasi tangan secara percuma kepada yang memerlukannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua perderma dan tenaga kerja UMS yang telah bertungkus lumus menghasilkan pensanitasi tangan tersebut di makmal.

Dalam pada itu, FSSA UMS juga telah menandatangani “Letter of Intent (LoI)” dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 18 Jun lalu bagi kerjasama dalam projek Kitar Semula Botol Pensanitasi Tangan Terpakai.

LoI tersebut ditandatangani oleh Mayor DBKK, Datuk Hj Nordin Siman dan Dekan FSSA Prof. Dr Baba Musta.

Projek tersebut bertujuan mengguna pakai semula botol terpakai untuk mengisi lebih banyak unit botol pensanitasi tangan supaya dapat diagihkan kepada lebih ramai orang terutamanya golongan B40.

Justeru, orang ramai adalah amat dialu-alukan untuk menyumbang botol pensanitasi tangan terpakai ke pusat pengumpulan terpilih iaitu di pintu masuk utama UMS,  Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, Dewan Serbaguna Damai, Bangunan DBKK dan Tingkat 7, Centre Point (Pejabat DBKK).