Tenaga Kerja Terbaik Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

 

(Berita Harian, 20 Februari 2024)

 

Oleh: Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor UMS

 

Pada umumnya berbicara mengenai jangkaan kedudukan semasa ekonomi negara, ia bukan sesuatu yang mudah dan boleh dijangka dengan tepat. Mengambil iktibar apa yang sering dilakukan pakar ekonomi terhebat dunia, kadangkala jangkaan mereka juga menyimpang daripada realiti.

Faktor utama menyumbang kepada permasalahan ini disebabkan keadaan pasaran begitu dinamik ditambah faktor luaran yang tidak memungkinkan jangkaan berlaku seperti diramalkan. Perkembangan semasa seperti isu geopolitik, selain kekurangan data relevan menjadikan ramalan ekonomi mempunyai jurang perbezaan ketara.

Dalam membuat jangkaan terhadap ekonomi Malaysia, isu terpenting harus diberi tumpuan ialah faktor makro antaranya seperti kadar inflasi, guna tenaga, Indeks Harga Pengguna (IHP), kadar faedah dan permintaan domestik.

Sebagaimana dijangkakan ramai penganalisis ekonomi, tahun2024 menyaksikan pertumbuhan pada kadar 4.5 peratus atau lebih baik. Berasaskan faktor makro, Malaysia dijangka mengalami peralihan dan anjakan ekonomi.

Tahun lalu sahaja, ramai penganalisis mengunjurkan berlaku kemelesetan pada awal 2024, tetapi ternyata dua bulan pertama tahun ini tidak menampakkan sebarang tekanan.

Jika keadaan ini boleh bertahan sehingga pertengahan tahun, ekonomi Malaysia mampu mengelak sebarang kejutan meskipun negara besar termasuk AS meningkatkan kadar faedah yang tentu sedikit sebanyak boleh memberi tempias kepada negara lain seperti Malaysia.

Impak kepada kenaikan kadar faedah AS dilihat tidak memberi kesan signifikan. Dasar fiskal dan monetari secara umumnya pada tahap kondusif dan menyokong kepada pertumbuhan ekonomi.

Meskipun kadar pengangguran pada kadar 3.3 peratus, ini tidak bermakna ia menepati definisi ‘menganggur’ kerana ekonomi gig atau digital juga penyumbang terbesar kepada penjanaan pendapatan kepada golongan menceburi bidang berkenaan.

Penggunaan domestik dan swasta dalam negara sejak dua tahun kebelakangan ini pula menunjukkan perkembangan pada kadar purata 8 peratus. Permintaan domestik dilihat pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Penggunaan modal cekap

Sementara itu, sasaran pertumbuhan produktiviti negara purata 3.6 peratus setiap tahun dijangka dapat dicapai berasaskan inisiatif terdapat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Tidak dinafikan penggunaan modal yang cekap boleh meningkatkan pengeluaran ekonomi secara umum. Ini disebabkan faktor seperti penggunaan teknologi tinggi, infrastruktur mencukupi atau pelaburan memberangsangkan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.

Sesungguhnya keperluan kepada penyediaan bakat atau tenaga kerja terbaik negara adalah prasyarat untuk memacu pertumbuhan ekonomi, terutama dalam industri memerlukan pengetahuan khusus. Selain itu, negara menghadapi tekanan semakin positif untuk meningkatkan daya saing dalam ekonomi global.

Menerima dan mengguna pakai teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) adalah penting untuk memastikan daya saing dan pertumbuhan mampan. Strategi Ekonomi MADANI termasuk melabur dalam teknologi dan inovasi, memupuk kerjasama antarabangsa, membangunkan infrastruktur berdaya tahan dan menerima pakai amalan mampan adalah langkah tepat.

Tatakelola yang baik semakin diterima masyarakat juga memberi impak signifikan kepada pembangunan ekonomi. Tatakelola yang baik adalah isyarat jelas untuk membina keyakinan pelabur asing dan tempatan. Langkah pencegahan rasuah diamalkan ketika ini penting untuk memupuk persekitaran perniagaan telus dan adil.

Seperti negara lain, Malaysia tidak terkecuali menghadapi cabaran landskap ekonomi global yang menjadi lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa besar. Memacu semua cabaran ini memerlukan dasar ekonomi strategik dan inisiatif diplomatik.

Ancaman keselamatan ekonomi, termasuk ancaman siber, pengintipan ekonomi dan gangguan kepada rantaian bekalan kritikal, menimbulkan cabaran kepada kestabilan dan daya tahan ekonomi negara. Kerajaan dilihat lebih bersedia menangani ancaman ini bagi menjaga kepentingan ekonomi negara.

Selain itu, risiko masih menghimpit ekonomi negara ketika ini ialah eksport barangan Malaysia ke negara terbabit dengan konflik seperti Ukraine-Russia serta keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Masa sudah tiba untuk Malaysia meneroka pasaran baharu seperti negara Afrika dan Amerika Latin.

Adakah Tarif AS Terhadap Malaysia, Satu Ancaman atau Satu Panggilan Sedar?

21 April 2025

Artikel Oleh: Prof. Madya Dr. Caroline Geetha A/P B. Arokiadasan,...

Pengukuhan Nilai Ringgit Tidak Berlaku Dengan Sendiri

21 Ogos 2024

(Utusan Malaysia, 21 Ogos 2024) BEBERAPA hari lalu, media massa...

Memikir Ulang Hari Kebangsaan, Memaknakan Hari Sabah

16 Ogos 2024

Oleh: Dr. Eko Prayitno Joko, Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains...

Ekspedisi Pulau Layang-Layang: Meneroka Khazanah Sumber Alam Dan Keindahannya

24 Mei 2024

Oleh: Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Profesor dan Felo...