Pilih bahasa anda

Language

BDR: Antara Kepercayaan, Integriti Dan Pematuhan Akta 605

[ARTIKEL Integriti Siri 7/2026]

 

Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam sektor awam hari ini bukan lagi benda pelik. Ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya kerja moden, hasil gabungan teknologi, perubahan gaya pengurusan, dan keperluan untuk lebih fleksibel. Di institusi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), BDR dilihat sebagai formula terbaik untuk mengimbangi produktiviti, kebajikan staf, dan kelancaran servis. Tetapi, di sebalik keselesaan ini, ada satu soalan besar yang kerap bermain di fikiran: Sejauh mana integriti kita boleh bertahan bila bos sudah tidak nampak depan mata?

Hakikatnya, BDR bukan sekadar soal di mana kita duduk buat kerja. Ia sebenarnya satu ujian besar terhadap amanah, disiplin, dan akauntabiliti kita sebagai penjawat awam. Kalau dulu waktu di pejabat pergerakan kita dipantau secara fizikal, sekarang segalanya bersandar pada kejujuran sendiri. Dalam situasi BDR, kompas moral dan integriti dirilah yang menjadi 'bos' sebenar untuk menentukan sama ada kita betul-betul buat kerja atau sekadar 'wayang'.


CABARAN "GHOST WORKING " & REALITI DIGITAL 

Cabaran paling besar dalam BDR ialah wujudnya budaya “ghost working”.  Wujud di alam digital, tetapi hilang dari segi produktiviti. Ada yang awal-awal lagi sudah bersiap sedia untuk clock-in sistem kehadiran, tetapi selepas itu komitmennya ke mana, kerjanya ke mana.

Kita mungkin biasa dengar atau nampak situasi begini:
a.    Sertai mesyuarat dalam talian, tetapi sekadar joint tanpa fokus.
b.    Tugasan sengaja ditangguh-tangguh.
c.    Mesej atau e-mel rasmi lambat dibalas.
d.    Sukar dihubungi pada waktu bekerja.

Perkara begini nampak remeh, tetapi kalau dibiarkan berjangkit, ia boleh merosakkan budaya kerja sesebuah organisasi.

 

BUKAN SEKADAR CLOCK-IN, INI SOAL AKTA 605

Dalam perkhidmatan awam, isu ini bukan perkara main-main sebab ia berkait rapat dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605). Ramai yang salah faham dan anggap asal dah punch-card digital, maksudnya tugas mereka sudah selesai.

Nota Penting: Akta 605 bukan hanya tengok pada data kehadiran. Ia menilai aspek yang lebih besar iaitu tanggungjawab, kepatuhan pada arahan, kecuaian, dan sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan imej serta kepentingan organisasi.

Contoh mudah, kalau seseorang staf buat urusan peribadi tanpa izin waktu BDR, abaikan tugasan, atau sengaja 'ghaib’kan diri daripada komunikasi rasmi, itu sebenarnya sudah melanggar prinsip tatatertib. Kesannya? Boleh dikenakan tindakan disiplin sebab ia melibatkan isu pecah amanah jawatan.


MENCARI TITIK KESEIMBANGAN: TRUST WITH ACCOUNTABILITY 

Bagaimanapun, pengurusan organisasi tidak boleh terlalu ekstrem atau 'kuku besi' dalam memantau BDR. Kita perlukan keseimbangan antara kepercayaan dan akauntabiliti.

Terlalu longgar : Sistem akan mudah dieksploitasi oleh segelintir pihak.
Terlalu ketat : Budaya kerja akan jadi toksik, buat staf stres, dan bunuh motivasi mereka.

Sebab itu, jalan terbaik adalah membina budaya "trust with accountability". Kita beri kepercayaan penuh kepada staf, tetapi disokong dengan sistem pemantauan yang telus, jelas, dan berorientasikan hasil kerja (output-based), bukannya sekadar tengok skrin komputer 24 jam.


KESIMPULAN 

Pada akhirnya, penentu kejayaan BDR bukan terletak pada secanggih mana sistem digital yang universiti guna. Teknologi boleh rekod waktu kehadiran dan kira KPI, tetapi ia tidak boleh membeli kejujuran.

Dalam era kerja moden, integriti bukan lagi sekadar slogan atas kertas atau hiasan dinding pejabat. Ia adalah benteng terakhir yang menentukan sama ada fleksibiliti BDR ini akan membawa kita ke arah kecemerlangan, atau sebaliknya meruntuhkan budaya perkhidmatan awam kita.

 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda