Pilih bahasa anda

Language

Bukan Sekadar Angka: Memahami Merit dan Kesaksamaan dalam Pendidikan Tinggi

 

OLEH:

Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS)

_____________________________________________________________________

 

Perbahasan mengenai biasiswa, meritokrasi dan peluang pendidikan tinggi merupakan perkara yang wajar diraikan dalam sebuah masyarakat yang menghargai ilmu. Kritikan terhadap dasar pendidikan tinggi juga perlu dilihat secara terbuka kerana ia dapat membantu kerajaan dan institusi memperbaiki dasar serta penyampaian kepada rakyat.

Namun begitu, perbahasan ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak dihadkan kepada satu angka atau satu isu. Persoalan pendidikan tinggi bukan semata-mata tentang siapa mendapat markah tertinggi, berapa jumlah biasiswa ditawarkan atau siapa yang mendapat tempat di universiti. Ia turut menyentuh persoalan kesaksamaan peluang, latar belakang sosioekonomi, kemampuan keluarga dan tanggungjawab negara memastikan setiap anak Malaysia yang mempunyai potensi tidak tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

Angka 27 biasiswa untuk pelajar cemerlang STPM, misalnya, boleh menjadi pencetus kepada perbincangan yang lebih besar. Namun, angka tersebut tidak seharusnya dijadikan satu-satunya ukuran untuk menilai keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara. Beberapa persoalan penting perlu ditanya; apakah bentuk bantuan yang tersedia? Bagaimanakah universiti membantu pelajar yang kurang berkemampuan? Apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terus mampu belajar dan menamatkan pengajian?

Dalam konteks ini, meritokrasi tidak wajar ditafsir secara terlalu sempit. Kecemerlangan akademik sememangnya penting dan mesti terus dihargai. Namun, kecemerlangan seseorang pelajar tidak lahir dalam ruang yang kosong. Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti akses kepada pendidikan berkualiti, kemampuan keluarga, persekitaran pembelajaran, kemudahan teknologi, sokongan keluarga dan pelbagai faktor sosial yang lain.

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang selepas belajar dalam persekitaran yang serba lengkap tentunya mempunyai pengalaman yang berbeza daripada pelajar yang mencapai keputusan hampir sama walaupun berdepan kekangan kewangan, kemudahan dan akses pendidikan. Oleh itu, keadilan tidak semestinya bermaksud memberikan perkara yang sama kepada semua orang. Dalam keadaan tertentu, keadilan bermaksud memberikan sokongan yang diperlukan supaya mereka yang bermula dari kedudukan berbeza mempunyai peluang yang lebih seimbang untuk berjaya.

Prinsip inilah yang turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif kebajikan di universiti awam. Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), misalnya, usaha memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh pelajar daripada pelbagai latar belakang dilaksanakan melalui pelbagai bentuk bantuan.

Antaranya ialah Program Siswa SULUNG UMS, yang menyediakan bantuan pembiayaan yuran pengajian kepada pelajar yang layak, khususnya pelajar baharu tahun pertama. Selain itu, UMS menyediakan Bantuan Pendidikan Awal, iaitu bantuan awal kepada pelajar yang memerlukan sokongan kewangan untuk memulakan pengajian. UMS turut menyediakan MyCARE, yang memberi bantuan kewangan bagi membantu menampung keperluan sara diri pelajar.

Bantuan seperti ini mungkin kelihatan kecil jika dinilai hanya dari sudut jumlah wang yang diberikan. Namun, bagi seorang mahasiswa yang sedang berhadapan dengan kekangan kewangan, bantuan tersebut boleh menjadi perbezaan antara meneruskan pengajian dengan terpaksa menangguhkannya.

Dalam konteks negeri Sabah, inisiatif seperti ini juga boleh menjadi pencetus, inspirasi dan motivasi kepada lebih ramai anak muda untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik. Pengiktirafan dan peluang yang diberikan kepada pelajar cemerlang bukan sekadar manfaat kepada penerima pada hari ini, tetapi berpotensi menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang berterusan.

Apabila pelajar melihat bahawa pencapaian akademik mereka dihargai dan terdapat ruang serta sokongan untuk mereka melanjutkan pendidikan, ia boleh membina keyakinan bahawa latar belakang ekonomi bukanlah penghalang mutlak untuk mencapai kejayaan. Dalam konteks ini, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh dilihat sebagai satu bentuk spinoff kepada kecemerlangan. Seorang pelajar yang berjaya hari ini bukan sahaja menjadi penerima manfaat, tetapi berpotensi menjadi inspirasi kepada rakan sebaya, keluarga dan generasi pelajar yang seterusnya. Kecemerlangan seorang individu akhirnya boleh berkembang menjadi budaya kecemerlangan dalam masyarakat.

Inilah sebabnya pendidikan tinggi perlu dilihat sebagai satu ekosistem. Biasiswa hanyalah salah satu instrumen. Bantuan yuran, bantuan sara hidup, pinjaman pendidikan, bantuan makanan, sokongan psikososial, peluang pekerjaan sambilan, zakat, endowmen dan pelbagai bentuk bantuan universiti turut memainkan peranan penting dalam memastikan mahasiswa dapat menamatkan pengajian.

Pada masa yang sama, isu brain drain juga perlu dilihat secara seimbang. Mobiliti pelajar dan tenaga profesional ke luar negara tidak semestinya merupakan satu kerugian kepada negara. Pengalaman antarabangsa, kepakaran dan jaringan global yang diperoleh rakyat Malaysia boleh menjadi aset strategik jika hubungan mereka dengan tanah air terus dipelihara.

Rakyat Malaysia yang berjaya di luar negara juga boleh berperanan sebagai jambatan ilmu, teknologi, pelaburan dan jaringan antarabangsa. Mereka boleh menjadi sebahagian daripada jaringan diaspora yang membantu memperkenalkan Malaysia kepada dunia. Yang penting ialah bagaimana negara membina persekitaran yang cukup menarik untuk bakat tersebut kembali apabila peluang dan keadaan mengizinkan.

 

Dalam soal meritokrasi pula, kita harus berhati-hati daripada menganggap bahawa wujud satu sistem yang benar-benar sempurna. Hampir semua negara berusaha menggabungkan prinsip merit dengan pertimbangan keadilan sosial. Ini kerana jika pencapaian akademik dijadikan satu-satunya ukuran tanpa mengambil kira konteks, mereka yang mempunyai kelebihan dari segi ekonomi dan akses pendidikan berkemungkinan terus berada di hadapan.

Justeru, cabaran sebenar bukan memilih antara meritokrasi atau keadilan sosial. Cabarannya ialah bagaimana mengimbangkan kedua-duanya.

Kita mahu pelajar cemerlang dihargai. Pada masa yang sama, kita mahu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan diberikan peluang untuk mencapai kecemerlangan. Kita mahu universiti menghasilkan graduan terbaik, tetapi kita juga mahu memastikan kemiskinan tidak menjadi penghalang kepada mobiliti sosial.

Dalam konteks ini, peranan Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti awam tidak boleh dinilai berdasarkan satu keputusan atau satu angka semata-mata. Pendidikan tinggi merupakan agenda nasional yang melibatkan kerajaan, kementerian, universiti, industri, keluarga dan masyarakat.

Begitu juga dengan dasar besar seperti pembiayaan pendidikan, sistem kemasukan universiti, biasiswa dan kebajikan mahasiswa. Ia melibatkan pertimbangan kewangan negara, dasar kerajaan, perundangan serta keutamaan pembangunan nasional. Oleh itu, tanggungjawab terhadap kejayaan atau kelemahan sistem pendidikan tinggi tidak wajar diletakkan kepada seorang individu atau sebuah kementerian sahaja.

Kita boleh berbeza pandangan tentang bagaimana pendidikan tinggi harus ditambah baik. Kita juga boleh berdebat tentang bentuk meritokrasi yang paling adil. Namun, perbezaan pandangan itu seharusnya membawa kita kepada penyelesaian yang lebih baik, bukannya menjadikan pendidikan tinggi sebagai medan pertentangan politik semata-mata.

Akhirnya, ukuran kejayaan pendidikan tinggi bukan hanya berapa ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. Ukuran yang lebih besar ialah berapa ramai anak Malaysia yang diberikan peluang untuk mencapai kecemerlangan tersebut.

Pendidikan tinggi yang baik bukan sekadar memilih mereka yang terbaik. Pendidikan tinggi yang adil ialah pendidikan yang membuka jalan supaya lebih ramai anak Malaysia mampu menjadi yang terbaik.

 

 

 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda