Pilih bahasa anda

Language

Kolonoskopi: Kenali Prosedur, Atasi Ketakutan

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati

Pakar Pembedah Am dan Felo Pembedahan Kolorektal

Hospital Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sabah

 

“Doktor, saya takut untuk menjalani kolonoskopi.”

Pesakit lelaki berusia 58 tahun itu memandang saya dengan wajah yang penuh kerisauan. Beliau telah mengalami pendarahan ketika membuang air besar selama hampir tiga bulan, namun masih belum bersedia menjalani pemeriksaan yang disarankan.

“Saya dengar prosedur itu sakit. Malu pula, doktor.”

Saya tersenyum lalu menjawab, “Sebenarnya, ramai pesakit datang dengan kebimbangan yang sama. Namun, selepas kolonoskopi selesai, kebanyakan mereka akan tersenyum dan berkata, ‘Rupa-rupanya tidaklah seteruk yang dibayangkan.’”

Perbualan seperti ini sering berlaku di klinik. Ramai pesakit memilih untuk menangguhkan kolonoskopi kerana dipengaruhi oleh pelbagai cerita yang tidak tepat. Ada yang menganggap prosedur tersebut menyakitkan, ada yang malu kerana melibatkan pemeriksaan pada bahagian sulit, dan ada juga yang beranggapan bahawa mereka hanya mengalami buasir dan tidak memerlukan pemeriksaan lanjut.

Hakikatnya, kolonoskopi merupakan antara pemeriksaan yang paling penting dalam bidang perubatan moden kerana ia bukan sahaja mampu mengesan penyakit usus dan rektum pada peringkat awal, malah boleh mencegah pembentukan kanser kolorektal.

Malangnya, masih ramai rakyat Malaysia yang kurang memahami tujuan sebenar prosedur ini sehingga menyebabkan mereka hadir mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap yang lebih serius. Berdasaran satu kajian keratan rentas di salah sebuah hospital pengajar di Kuala Lumpur, sebanyak 60 peratus daripada responden yang mengalami pendarahan melalui rektum dilaporkan lewat mendapatkan pemeriksaan doktor. Hasil dapatan daripada kajian itu telah diterbitkan oleh jurnal antarabangsa iaitu Asian Pacific Journal of Cancer Prevention.

Kanser kolorektal merupakan antara kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia. Bukan sahaja di rantau ini, tetapi di seluruh dunia. Walaupun kemajuan dalam rawatan telah meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit, pengesanan awal masih menjadi faktor paling penting yang menentukan kejayaan rawatan. Dalam banyak keadaan, kanser kolorektal berkembang secara perlahan daripada ketumbuhan kecil yang dikenali sebagai polip. Pada peringkat awal, polip lazimnya tidak menyebabkan sebarang gejala. Tanpa pemeriksaan, seseorang mungkin tidak menyedari kewujudannya sehingga bertahun-tahun kemudian apabila ia telah berubah menjadi kanser.

Di sinilah peranan kolonoskopi menjadi sangat penting. Prosedur ini menggunakan tiub yang fleksibel dengan kamera beresolusi tinggi di hujungnya untuk memeriksa keseluruhan usus besar. Melalui pemeriksaan ini, doktor dapat mengenal pasti pelbagai masalah seperti keradangan usus, divertikular, polip, ketumbuhan bahkan buasir. Jika terdapat polip yang sesuai untuk dibuang, ia boleh dilakukan semasa prosedur yang sama tanpa memerlukan pembedahan tambahan. Oleh sebab itu, kolonoskopi bukan sekadar pemeriksaan diagnostik, malah merupakan satu kaedah pencegahan kanser yang terbukti berkesan.

Ramai pesakit masih bertanya sama ada kolonoskopi menyakitkan. Sebenarnya, di kebanyakan hospital, prosedur ini dilakukan dengan bantuan ubat pelali supaya pesakit berada dalam keadaan lebih selesa. Ada yang hanya berasa sedikit tidak selesa atau kembung, manakala ramai juga yang langsung tidak mengingati prosedur tersebut kerana tertidur sepanjang pemeriksaan. Pengalaman setiap individu mungkin berbeza, namun secara keseluruhannya kolonoskopi ialah prosedur yang selamat apabila dilakukan oleh doktor yang terlatih.

Persediaan sebelum kolonoskopi merupakan aspek yang amat penting. Beberapa hari sebelum prosedur, pesakit akan diberikan arahan untuk mengelakkan makanan berserat tinggi. Mereka juga perlu cakna tentang pengambilan ubat seperti ubat cair darah dan darah tinggi. Sesetengah ubat cair darah perlu diberhentikan dalam tempoh masa tertentu untuk mengelakkan risiko pendarahan.

Manakala ubat darah tinggi pula perlu diambil pada hari prosedur untuk mengelakkan risiko darah tinggi tidak terkawal semasa prosedur. Sehari sebelum pemeriksaan, mereka perlu mengambil ubat pencuci usus bagi memastikan usus benar-benar bersih. Walaupun proses ini sering dianggap sebagai bahagian yang paling mencabar, ia sangat penting kerana usus yang bersih membolehkan doktor memeriksa keseluruhan lapisan usus dengan lebih teliti. Pemeriksaan yang dilakukan tanpa persediaan yang sempurna boleh menyebabkan polip kecil atau kanser peringkat awal terlepas pandang. Selain daripada itu, ia juga untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Pada hari pemeriksaan, pesakit perlu berpuasa mengikut arahan hospital. Oleh kerana ubat pelali akan diberikan, mereka dinasihatkan datang bersama ahli keluarga atau rakan kerana tidak digalakkan memandu selepas prosedur. Kolonoskopi biasanya mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit, bergantung pada keadaan usus dan sama ada terdapat prosedur tambahan seperti pembuangan polip atau pengambilan sampel tisu.

Selepas pemeriksaan selesai, kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama. Mereka mungkin mengalami sedikit rasa kembung akibat udara yang digunakan semasa prosedur, namun keadaan ini lazimnya pulih dalam tempoh yang singkat. Jika sampel tisu atau polip dihantar ke makmal, doktor akan menerangkan keputusan serta menentukan sama ada pesakit memerlukan rawatan lanjut atau hanya pemeriksaan susulan pada masa hadapan.

Salah satu cabaran terbesar dalam usaha meningkatkan kadar saringan kanser kolorektal di Malaysia ialah stigma masyarakat. Masih ada yang beranggapan kolonoskopi hanya perlu dilakukan apabila seseorang disahkan menghidap kanser. Ada pula yang takut prosedur ini boleh menyebabkan usus bocor atau memburukkan lagi keadaan. Hakikatnya, komplikasi serius akibat kolonoskopi sangat jarang berlaku, manakala manfaatnya jauh mengatasi risikonya. Lebih membimbangkan ialah apabila seseorang memilih untuk tidak menjalani pemeriksaan sehingga penyakit hanya dikesan pada peringkat lewat.

Masyarakat juga perlu memahami bahawa kanser kolorektal pada peringkat awal sering tidak menunjukkan sebarang gejala. Justeru, individu yang berumur 45 tahun ke atas, mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser kolorektal, pernah mempunyai polip usus atau mengalami simptom seperti pendarahan ketika membuang air besar, perubahan tabiat membuang air besar, penurunan berat badan tanpa sebab dan anemia perlu mendapatkan nasihat doktor untuk menentukan sama ada mereka memerlukan kolonoskopi.

Akhirnya, ketakutan terhadap kolonoskopi bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh, tetapi ia perlu diatasi dengan maklumat yang tepat. Pengetahuan yang betul mampu mengubah persepsi masyarakat daripada rasa takut kepada keyakinan. Dalam bidang perubatan, terdapat banyak rawatan yang berkesan, namun tidak banyak yang mampu mencegah kanser sebelum ia berlaku. Kolonoskopi ialah salah satu daripadanya. Jangan biarkan rasa malu atau takut menghalang anda daripada menjalani pemeriksaan yang mungkin menjadi langkah paling penting dalam melindungi kesihatan diri dan keluarga.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda