
Oleh: Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan
Saban tahun, pembentangan Belanjawan Negara di Parlimen sentiasa menaruh harapan besar dalam kalangan rakyat di seluruh negara. Bagi Negeri Sabah, pengumuman mengenai peruntukan kewangan yang signifikan sering kali menjadi tumpuan utama dada-dada akhbar.
Melalui Belanjawan 2027, Kerajaan sekali lagi menzahirkan komitmen terhadap pembangunan Sabah melalui peruntukan pembangunan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion. Langkah ini disusuli dengan pelbagai inisiatif prasarana seperti projek jalan raya, kestabilan bekalan tenaga, serta sokongan kepada peniaga luar bandar. Komitmen kewangan ini wajar dihargai sebagai usaha berterusan untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Namun, di sebalik angka peruntukan yang besar itu, wujud satu keluhan ikhlas yang sekian lama terbuku dalam sanubari masyarakat tempatan, terutamanya golongan belia dan graduan baharu. Persoalan asas yang sering berlegar di fikiran adalah sejauh mana peruntukan ini mampu menterjemahkan peluang pekerjaan berkualiti yang benar-benar wujud di negeri sendiri.
Cabaran Penghijrahan Tenaga Kerja Tempatan
Realiti yang dihadapi di lapangan menunjukkan bahawa kadar penghijrahan tenaga kerja berpendidikan dari Sabah ke luar Sabah masih berterusan. Cabaran utama yang mendepani graduan tempatan bukanlah kekurangan minat untuk berkhidmat di tanah kelahiran, melainkan keterbatasan peluang kerjaya berkemahiran tinggi yang sepadan dengan kelayakan akademik mereka.
Sebab itulah saban tahun, isu harga tiket kapal terbang lebih berbekas dan dirasai oleh anak-anak Sabah berbanding negeri-negeri lain. Hakikatnya, rezeki mereka terpaksa dicari di luar negeri Sabah, sekali gus menjadikan tambang penerbangan satu beban kewangan yang nyata setiap kali mahu kembali menjenguk keluarga di Sabah.
Malah, setiap kali menjelang musim perayaan, syarikat-syarikat penerbangan digesa untuk menurunkan kadar tambang yang melonjak tinggi. Respon Kerajaan kemudiannya tampil sebagai penyelamat menerusi pelbagai inisiatif subsidi penerbangan. Walaupun langkah intervensi tersebut amat dihargai, naratif yang sama terus berulang dan berulang setiap tahun. Puncak kepada permasalahan ini sebenarnya berakar daripada hakikat bahawa anak-anak Sabah terpaksa berhijrah jauh kerana kekurangan peluang kerjaya di negeri mereka.
Bagi kebanyakan keluarga di Sabah, kejayaan anak-anak menamatkan pengajian di menara gading adalah satu kebanggaan. Namun, kebanggaan itu sering kali diiringi rasa berat hati apabila anak-anak muda ini terpaksa berhijrah jauh dari keluarga semata-mata untuk mencari pendapatan yang bermaruah dan stabil. Oleh yang demikian, wujud keperluan untuk melihat Belanjawan Negara bukan sekadar dari sudut jumlah peruntukan kewangan yang diumumkan, tetapi dari segi hasilnya terhadap penyerapan tenaga kerja tempatan.
Memperkukuh Ekosistem Industri di Sabah
Pelbagai usaha dasar dalam Belanjawan 2027 seperti penetapan garis permulaan gaji graduan RM2,500, penyerahan kuasa kawal selia tenaga, serta keutamaan perolehan kepada kontraktor tempatan merupakan langkah positif yang dialu-alukan.
Walau bagaimanapun, apa yang amat diharapkan oleh masyarakat Sabah adalah agar inisiatif-inisiatif ini disusuli dengan pembinaan ekosistem industri dan ekonomi setempat yang mampan. Kehadiran pelaburan strategik yang mampu membuka pejabat, kilang, dan hab teknologi secara langsung di dalam negeri Sabah amat kritikal bagi memastikan rantaian pekerjaan baharu dapat diwujudkan di sini.
Harapan Mapan Untuk Masa Hadapan
Selari dengan hasrat Belanjawan MADANI untuk "Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi", pembangunan yang seimbang haruslah membawa impak yang dapat dirasai secara langsung oleh setiap lapisan masyarakat di peringkat akar umbi.
Harapan rakyat Sabah bukanlah satu tuntutan yang berlebihan, melainkan keinginan agar anak-anak tempatan diberi ruang dan peluang untuk membina kerjaya, menyumbang bakti, dan membesarkan keluarga di tanah kelahiran mereka sendiri.
Kelak, apabila Belanjawan 2028 dibentangkan, diharap sudah ada statistik rasmi yang membuktikan bahawa kewujudan peluang pekerjaan baharu di Sabah berjaya menyerap anak-anak tempatan untuk berkhidmat di tanah sendiri, setimpal dengan kelayakan akademik mereka sehingga ke peringkat ijazah. Semoga perancangan yang diatur dalam Belanjawan 2027 ini dapat direalisasikan dengan berkesan di lapangan demi kesejahteraan jangka panjang Negeri Sabah.
Latar belakang penulis. Dr. Jakaria Dasan merupakan Profesor Madya di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS yang berkepakaran dalam bidang pengurusan sumber manusia. Beliau pernah berkhidmat di perkhidmatan awam kerajaan negeri Sabah sebelum menyertai UMS pada tahun 2006.


