Pilih bahasa anda

Language

APUMS 2026 Hargai Sumbangan Penyelidik UMS

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menghargai sumbangan para penyelidiknya menerusi penganjuran Majlis Anugerah Penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (APUMS) 2026 yang berlangsung di Hotel Le Méridien, baru-baru ini.

Majlis tahunan itu turut memberi pengiktirafan kepada para penyelidik UMS atas sumbangan mereka dalam aktiviti penyelidikan universiti sepanjang tahun 2025, selain meraikan pencapaian dalam bidang penyelidikan.

Majlis tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, merangkap Canselor UMS, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata penyelidikan merupakan amanah yang berkait rapat dengan tanggungjawab universiti kepada masyarakat.

“Ilmu yang dibangunkan perlu membuka jalan kepada penyelesaian yang lebih baik, membantu industri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di Sabah. Hala tuju ini selaras dengan Pelan Strategik UMS 2023–2027, khususnya KRA 3: Translatable Research.

“Aspirasi ini menuntut kita menghubungkan penemuan ilmiah dengan keperluan sebenar. Hasil penyelidikan perlu dapat diterjemahkan kepada teknologi, amalan atau pendekatan yang boleh digunakan oleh pihak yang memerlukannya,” jelasnya.

Tambah Kasim, universiti memerlukan dasar yang jelas serta tadbir urus yang berkesan bagi menyokong pelaksanaan penyelidikan.

“Dasar perlu memberikan panduan kepada penyelidik, manakala mekanisme pelaksanaannya harus membantu mereka menjalankan penyelidikan dengan teratur,” katanya.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian penyelidik UMS dalam bidang masing-masing.

Anugerah Khas Tun Canselor dianugerahkan kepada Profesor Dr. Suzan Benedick dari Fakulti Pertanian Lestari.

Sementara itu Anugerah Penyelidik Cemerlang Penyelidik Malim (Kategori Sains dan Teknologi) dianugerahkan kepada Profesor Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri, manakala Profesor Madya Dr. Lim Leong Seng menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang (Kategori Sains dan Teknologi).

Selain itu, Anugerah Penyelidik Cemerlang Penyelidik Muda (Kategori Sains Sosial) dianugerahkan kepada Dr. Tay Kai Xin, manakala Anugerah Penyelidik Cemerlang Penyelidik Muda (Kategori Sains dan Teknologi) diberikan kepada Dr. Lucky Goh Poh Wah.

Dalam pencapaian Malaysia Research Assesment (MyRA) pula, tiga institut penyelidikan UMS iaitu Institut Marin Borneo (IMB), Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) dan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) masing-masing memperoleh penarafan enam bintang.

Sementara itu, pencapaian MyRA lima bintang dirangkul oleh Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPPS), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Caesar Mandela Malakun yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit; Profesor Dr. Rasid Mail; Haji Samasuddin Haji Yusop serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda