Pilih bahasa anda

Language

UMS Terus Semarak Pembudayaan Sains, Teknologi Dan Inovasi Sabah

 

Program Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Bersepadu Zon Sabah 2026 menjadi platform untuk membudayakan STI secara inklusif, memperkukuh bakat masa hadapan, memperkasakan ekosistem inovasi, serta menghargai dan mengiktiraf segala sumbangan dan kejayaan dalam bidang sains.

 

Majlis penutupan program yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, diwakili oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal.

 

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata UMS akan terus menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu dengan masyarakat, penyelidikan dengan keperluan rakyat, serta bakat muda dengan peluang masa hadapan.

 

“UMS tidak mahu ilmu hanya kekal di dalam makmal, bilik kuliah atau penerbitan akademik. Ilmu perlu bergerak, dikongsi, diuji dan diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai oleh sekolah, komuniti, industri dan negeri Sabah secara keseluruhannya.

 

“Pertemuan yang berlaku sepanjang dua hari ini sewajarnya berkembang menjadi jaringan yang lebih kukuh dan menghasilkan program serta inisiatif bersama yang berterusan. UMS akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara pembudayaan STI.

 

“Kami mahu lebih banyak ilmu dan kepakaran universiti dibawa kepada sekolah dan komuniti, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, supaya peluang mengenali sains dan teknologi dapat dinikmati secara lebih inklusif,” jalasnya.

 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin.

 

Tambah Kasim, para pelajar yang hadir perlulah memanfaatkan karnival itu dengan sepenuhnya dan jangan biarkan rasa ingin tahu yang tercetus berakhir apabila karnival itu tamat.

 

“Teruskan bertanya, teruskan mencuba dan jangan takut untuk melakukan kesilapan ketika belajar. Banyak inovasi bermula daripada persoalan yang mudah, tetapi berkembang kerana seseorang memilih untuk terus mencari jawapan.

 

“Satu eksperimen, satu lawatan, satu perbualan dengan saintis atau satu pengalaman menyertai pertandingan mungkin kelihatan kecil, tetapi pengalaman sedemikian boleh menjadi titik perubahan kepada seorang anak dalam menentukan cita-cita dan masa hadapannya,” katanya.

 

Pelbagai program, pameran, pertandingan, perkongsian ilmu dan aktiviti interaktif dilaksanakan sepanjang program, antaranya Science Show Petrosains PlaySmart Kota Kinabalu, 3S: STEM Speaker Series U-Science serta pertandingan Malaysia Techlympics 2026 Zon Sabah.

 

Sebagai sokongan terhadap usaha pembudayaan STEM, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) turut menyumbangkan sebanyak RM5,000 kepada U-Science UMS bagi menyokong pelaksanaan program berkaitan STEM.

 

Selain itu, sebanyak dua unit Kit Pembelajaran Advokasi Nuklear turut ditempatkan di U-Science UMS oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai bahan pembelajaran dan pendedahan berkaitan sains serta teknologi nuklear.

 

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Hassan Mahali dan Setiausaha, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI (MOSTI), Abdullah Daud.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda