
Program Science & Art Camp: BioMaths STEM anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform bagi memperluas minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program yang dianjurkan selama dua hari tersebut disertai serama 53 pelajar daripada empat buah sekolah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, SMK Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Benoni dan SMK Petagas dengan kerjasama U-Science UMS, sokongan pembiayaan penuh daripada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI).
Penyelaras Program BioMath STEM Camp UMS 2026, Dr. Diana Hassan berkata program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka STEM dalam suasana yang lebih interaktif, menyeronokkan dan berbeza daripada pembelajaran di bilik darjah.
“Melalui program ini, kami berharap para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah dapat meningkatkan rasa ingin tahu, kemahiran menyelesaikan masalah dan keyakinan untuk mencuba idea serta pendekatan yang kreatif.
“Penglibatan empat buah sekolah dalam program ini juga mencerminkan kepentingan kerjasama antara universiti dan sekolah dalam memupuk minat generasi muda terhadap STEM.
“Penganjuran ini turut mencerminkan komitmen FST UMS untuk memperluas pendidikan dan promosi STEM kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar sekolah menengah,” katanya.
Majlis penutupan program dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS, Prof. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee.
Dalam ucapannya, Rodeano menekankan kepentingan pendedahan awal kepada STEM dalam membentuk generasi yang mempunyai pemikiran kritis, kreatif dan inovatif.
Menurut beliau, universiti memainkan peranan penting dalam mendekatkan ilmu sains kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah, melalui program pendidikan dan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.
Sokongan KPSTI melalui U-Science UMS turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program yang menyokong usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.


