
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Marin Borneo (IMB) telah menjalinkan kerjasama bersama Keningau Palm Oil Mill (KPOM) bagi mempergiat usaha berkaitan inovasi dan pembangunan mampan. dengan menandatangani perjanjian penyelidikan.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi satu perjanjian penyelidikan yang ditandatangani antara oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly bagi pihak UMS dan Pengarah KPOM, Yap Kim Hui.
Perjanjian tersebut antara lain bertujuan untuk menghasilkan bioproduk dan minyak baki daripada gentian sisa kelapa sawit (palm fibre) menerusi kaedah ekstraksi pelarut, manakala hasil ekstrak bio-produk berkenaan dihasratkan menjadi bahan mentah alternatif yang berkualiti tinggi dalam formulasi makanan ikan, sekali gus mengurangkan pembuangan sisa pemprosesan kelapa sawit di kilang.
Kerjasama tersebut bertujuan menangani kebergantungan industri akuakultur terhadap sumber tepung ikan atau fish meal dan minyak ikan komersial yang semakin mahal dan bergantung kepada tangkapan laut.
Menerusi penukaran sisa kelapa sawit kepada dedak dan minyak makanan ikan yang berkualiti, inisiatif itu bakal menyokong kelestarian ekosistem penternakan ikan air tawar tempatan serta meningkatkan keterjaminan makanan industri perikanan.
Terdahulu, Rosalam berkata kehadiran delegasi pengurusan KPOM ke UMS amat dihargai bagi menekankan potensi besar bioproduk yang diekstrak semula daripada gentian sawit menggunakan pelarut sebagai alternatif baharu makanan ikan.
"Hasil penyelidikan menunjukkan terdapat potensi ekstraksi sehingga 7-10 peratus bioproduk daripada gentian sisa sawit.
“Apa yang kita harapkan menerusi kolaborasi masa hadapan ini adalah untuk mengkaji secara mendalam sifat minyak tersebut bagi memastikan kesesuaiannya sebagai bahan makanan ikan.
“Walaupun terdapat cabaran besar dari segi kebolehpasaran produk baharu di pasaran, usaha ini amat penting dalam menyokong keseluruhan ekosistem industri perikanan tempatan," katanya.
Sementara itu, wakil dari KPOM, Yap Kim Hung yang juga merupakan salah seorang pengarah KPOM yakin bahawa usahasama akademik-industri secara bertahap mampu membantu pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam menguruskan kira-kira 10,000 tan sisa pemprosesan kilang.
"Pihak kami yang kini turut terlibat dalam ternakan ikan air tawar seperti ikan tilapia dengan sasaran pengeluaran mencapai 20 tan, amat berhasrat memanfaatkan sisa pemprosesan ini sebagai sumber makanan ternakan.
“Sebagai antara perintis industri penternakan ikan air tawar, adalah satu penghormatan bagi pihak KPOM dapat bekerjasama secara rasmi dengan pakar-pakar profesional dari UMS bagi merealisasikan projek ini," katanya.
Dekan IMB UMS, Prof. Madya Dr. Ching Fui Fui turut menyatakan bahawa projek itu bakal memanfaatkan kepakaran saintifik IMB untuk menukarkan sisa pemprosesan kepada bahan pengganti tepung dan minyak ikan yang mahal.
Tambah beliau, inisiatif tersebut merupakan pendekatan inovatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tangkapan laut.
Projek penyelidikan strategik yang diketuai pensyarah kanan di IMB, Ts. Dr. Muhammad Dawood Shah itu akan diteruskan ke fasa ujian pemakanan ikan sebelum dipasarkan pada harga yang bersesuaian.


