
Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan tiga dekad kecemerlangannya dalam menerajui penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan biodiversiti Borneo menerusi penganjuran Karnival Biodiversiti dan Sambutan Ulang Tahun ke-30 institusi itu.
Sambutan yang membawa aspirasi “30 Years of Research and Discovery – From the World” itu mencerminkan peranan IBTP dalam menyumbang kepada pengembangan ilmu dan kepakaran berkaitan biodiversiti, khususnya di Sabah dan Borneo.
Penganjuran karnival tersebut turut menjadi platform untuk perkongsian ilmu, pameran hasil penyelidikan dan inovasi serta pengukuhan jaringan kerjasama bersama agensi kerajaan, industri dan komuniti.
Antara program utama yang dilaksanakan termasuk Program Rakan BORNEENSIS 2026, ASM Sabah Chapter Programme 2026 – Planetary Health: Plant Tissue Culture, International Youth Sustainability Action Programme 2026, Program Pembangunan Kapasiti Komuniti serta Bengkel QGIS 2026.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Menurut Kasim, sepanjang 30 tahun penubuhan, IBTP telah memainkan peranan yang amat penting dalam memacu penyelidikan biodiversiti tropika, pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar, sekali gus menyumbang kepada pengembangan ilmu berkaitan kekayaan semula jadi Sabah dan Borneo.
“Kecemerlangan ini amat selari dengan aspirasi dan nilai teras UMS serta slogan “The Brain of Borneo.
“Sebagai sebuah universiti yang berakar di Borneo, UMS mempunyai tanggungjawab untuk memanfaatkan kekuatan dan keunikan rantau ini sebagai asas kepada pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar,” jelasnya.
Tambah Kasim, penganjuran karnival tersebut turut menjadi wadah untuk menyemai kesedaran tentang kepentingan biodiversiti serta menggalakkan masyarakat menghargai dan bersama-sama memelihara khazanah semula jadi Borneo.
“Melalui penyelidikan yang berkualiti, pembangunan kepakaran, latihan generasi penyelidik muda serta jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak, IBTP telah membantu memperkukuh kefahaman kita terhadap biodiversiti Borneo serta kepentingannya untuk terus dipelihara bagi generasi akan datang.
“Saya berharap IBTP akan terus memainkan peranannya dalam melahirkan generasi baharu penyelidik dan pakar yang mampu meneruskan agenda biodiversiti dan pemuliharaan di Borneo,” katanya.
Dalam majlis sama, turut diadakan pelancaran serum berasaskan tumbuhan tuhau hasil penyelidikan Profesor Madya Ts. Dr. Azizun Rusdi bersama pasukannya, serta pelancaran Taman Botani Tropika IBTP yang diketuai oleh Dr. Avelinah Julius.
Sementara itu, Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata karnival itu membuka ruang kepada masyarakat, pelajar dan rakan strategik mengenali dengan lebih dekat dengan kepakaran dan hasil penyelidikan warga institusi.
“Tiada usaha pemuliharaan biodiversiti boleh dilakukan secara bersendirian. Sains memerlukan kerjasama, pemuliharaan memerlukan kepercayaan dan impak memerlukan kita bergerak bersama.
“Tiga dekad yang berlalu merupakan sebuah legasi yang amat bernilai. Tetapi legasi bukan sekadar sesuatu yang kita warisi, tetapi sesuatu yang kita terus bina untuk diwariskan kepada generasi selepas kita.
“Semoga Karnival Biodiversiti dan Sambutan Ulang Tahun ke-30 IBTP berlangsung dengan lancar dan memberikan manfaat kepada kita semua,” ujarnya.


