Pilih bahasa anda

Language

UMS Pacu Keterjaminan Makanan, Jana Pendapatan Komuniti Melalui Akuakultur Bersepadu

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan usaha menangani cabaran keterjaminan makanan di peringkat komuniti menerusi Projek Pemerkasaan Keterjaminan Makanan Komuniti Melalui Akuakultur Bersepadu di Kampung Kinolosodon, Kimanis, baru-baru ini.

Projek di bawah dana UniMADANI (UniMD040) itu dilaksanakan oleh Institut Marin Borneo (IMB) UMS dengan menggabungkan ternakan ikan tilapia dan udang galah bersama pengeluaran sayur-sayuran seperti sawi putih (pak choy) dan salad (lettuce) dalam satu sistem pengeluaran makanan bersepadu.

Lebih daripada sekadar menyediakan sumber makanan, inisiatif berkenaan turut dirangka untuk membina keupayaan penduduk mengusahakan sumber makanan secara sistematik serta menjana pendapatan melalui potensi pengkomersialan lebihan hasil.

Majlis perasmian projek itu disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor yang diwakili oleh Dekan IMB, Profesor Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah.

Menurut Kasim, sistem akuakultur bersepadu yang diperkenalkan mengoptimumkan penggunaan ruang dan sumber melalui integrasi ternakan akuatik dengan tanaman sayur-sayuran, manakala teknologi akuaponik dan hidroponik membolehkan pengeluaran makanan dilaksanakan secara lestari dan saling melengkapi.

“Pendekatan UMS melalui projek ini bukan sekadar memberikan bantuan secara one-off. Kita mahu pemindahan ilmu dan teknologi berlaku supaya komuniti mempunyai keupayaan meneruskannya dengan lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau menambah pemindahan ilmu, latihan, bimbingan dan sokongan teknikal berterusan daripada penyelidik UMS menjadi antara komponen penting bagi memastikan komuniti mampu mengurus sistem berkenaan secara berdikari.

“Hasil pengeluaran yang diperoleh bukan sahaja dapat memenuhi keperluan domestik penduduk, malah lebihan hasil berpotensi dipasarkan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada komuniti D'Sosondoton.

“Kejayaan sebenar ialah apabila projek ini terus hidup dan memberi manfaat melepasi tempoh pembiayaan asalnya,” katanya.

Sementara itu Faihana berkata UMS berharap Kampung Kinolosodon mampu menjadi model kepada kampung lain di daerah Papar dan seluruh Sabah dalam mengadaptasi pendekatan pengeluaran makanan yang menggabungkan teknologi, ilmu akademik dan kekuatan komuniti.

“Harapan kami agar Kampung Kinolosodon menjadi contoh dan inspirasi buat kampung-kampung lain di daerah Papar dan seluruh Sabah dalam usaha merealisasikan pemerkasaan seumpama ini.

“Projek ini secara langsung menterjemahkan gagasan University for Society dengan membawa kepakaran, ilmu dan teknologi UMS keluar dari kampus untuk dimanfaatkan masyarakat, khususnya dalam menangani cabaran keterjaminan makanan dan pembangunan sosioekonomi luar bandar

Pada masa sama, kerjasama melibatkan UMS, Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan komuniti setempat memperlihatkan pendekatan bersepadu antara akademia, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membangunkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan tempatan,” katanya ketika ditemui selesai program berkenaan.

Inisiatif berkenaan dilihat berpotensi menjadi asas kepada pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan melalui penghasilan sumber makanan tempatan, pengurangan kebergantungan kepada bekalan luar serta penciptaan peluang ekonomi berasaskan hasil pertanian dan akuakultur.

Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sabah daripada Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Anathasia Marcus; Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ag Sufiyan Abd Hamid; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi IMB, Profesor Madya Dr. Mohamad Tamrin Mohd Lal; Pengarah Pusat Penyelidikan Akuakultur, Profesor Madya Dr. Annita Yong Seok Kian serta Pengerusi JPKK Kampung Kinolosodon, Bonyface Benjamin.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda