Pilih bahasa anda

Language

IMBE 2026 Serlah Potensi Sabah sebagai Destinasi Pelancongan Pendidikan Antarabangsa

 

Penganjuran International Mobility Business Experience (IMBE) 2026 oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Shanghai University (SHU), China, berjaya menyerlahkan potensi Sabah sebagai destinasi pelancongan pendidikan, pelancongan lestari dan kerjasama antarabangsa.

Program yang berlangsung selama lima hari itu melibatkan penyertaan sembilan pelajar bersama penyelaras delegasi Shanghai University yang diketuai oleh Pengurus Kerjasama Antarabangsa, Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat SHU, Nina Wu Yanwei.

Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang menggabungkan pembelajaran akademik, pendedahan industri, pendidikan alam sekitar dan penghayatan budaya menerusi lawatan ke UMS, syarikat industri, destinasi ekopelancongan, lokasi warisan budaya serta sesi perkongsian ilmu bersama agensi kerajaan dan pemimpin industri.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr. Andi Md. Shamsureezal Dato' Mohd. Sainal berkata, IMBE 2026 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Shanghai dalam memperluas kerjasama akademik, mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua negara serta mengembangkan jaringan pendidikan antarabangsa.

Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai pembangunan ekonomi Sabah, amalan pelancongan mampan, usaha pemuliharaan biodiversiti serta kepelbagaian budaya negeri ini, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan Sabah sebagai destinasi unggul dalam bidang pendidikan, pelancongan dan pelaburan.

"Sabah mempunyai kelebihan yang unik daripada aspek biodiversiti, warisan budaya, keindahan alam semula jadi serta ekosistem perniagaan yang berkembang pesat.

"Program seperti IMBE bukan sahaja memberi peluang kepada peserta antarabangsa untuk mengenali Sabah secara lebih dekat, malah menjadi platform penting dalam memperluas jaringan kerjasama antara institusi, mempererat hubungan antarabangsa

dan mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pendidikan, pelancongan dan pelaburan bertaraf dunia.

"Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri, kita akan terus menyokong inisiatif yang meletakkan Sabah sebagai hab pelancongan mampan dan pusat kerjasama antarabangsa di rantau ini," katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau berkata kementerian menyambut baik cadangan pelaksanaan IMBE 2027 yang akan memberi penekanan kepada penyertaan delegasi antarabangsa sempena Business Events 2027 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 28 hingga 29 Januari 2027, dengan kerjasama Sabah-China Chamber of Commerce (SCCC), Persatuan Majikan Sabah (Sabah Employers Association) serta pelbagai agensi kerajaan dan pemain industri.

Beliau turut berharap FPEP UMS akan terus menerajui usaha memajukan pelancongan pendidikan sebagai segmen strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, IMBE 2026 membuktikan komitmen berterusan UMS dalam memperluas agenda pengantarabangsaan menerusi kerjasama strategik dengan universiti luar negara yang membuka lebih banyak peluang pembelajaran global kepada mahasiswa serta ahli akademik.

"Pembelajaran yang bermakna tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui interaksi dengan komuniti, kerjasama bersama industri, penerokaan persekitaran baharu dan penghargaan terhadap budaya yang berbeza.

"Kerjasama antara UMS dan Shanghai University merupakan pencapaian yang wajar diteruskan bagi memperluas hubungan akademik antara Malaysia dan China. Susulan kejayaan IMBE 2026, UMS merancang untuk menganjurkan IMBE 2027 dengan pengisian yang lebih komprehensif dan berimpak tinggi bagi memperluas jaringan kerjasama antara universiti, industri dan agensi kerajaan, di samping menyokong aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan pendidikan serta pusat jaringan akademik di rantau ini," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim.

Kasim turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah atas sokongan yang diberikan serta kepada

semua rakan strategik termasuk Taman-Taman Sabah, Persatuan Majikan Sabah, 99 Speedmart East Malaysia, SBH Kibing Solar New Material (M) Sdn. Bhd., Cap Kuda Coffee Company (CKCC), Mari-Mari Cultural Village, Kawa-Kawa River Cruise serta pelbagai agensi kerajaan dan pihak industri yang menjayakan IMBE 2026. 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda