
Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh pembangunan modal insan sebagai pemacu utama kemajuan negeri dalam membina generasi yang mampu menerajui ekonomi dipacu pengetahuan dan berasaskan inovasi.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pendidikan, sains, teknologi dan inovasi kini menjadi asas penting dalam membina daya saing negeri Sabah sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
“Pelbagai inisiatif sedang diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi.
"Tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memperluas peluang pembelajaran digital, menggalakkan inovasi serta keusahawanan, di samping memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan penting dalam pembangunan bakat.
"Usaha ini bertujuan memastikan setiap rakyat Sabah berpeluang memperoleh kompetensi yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang semakin dipacu teknologi dan pendigitalan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron ketika merasmikan Learning and Development Conference 2026 anjuran Bahagian Kepimpinan Dan Pembangunan Bakat (BKePT) UMS, di sini hari ini.
James berkata, kejayaan Sabah pada masa hadapan tidak hanya bergantung kepada sumber asli, tetapi lebih penting kepada kualiti modal insan yang memiliki pengetahuan, kemahiran, kreativiti dan daya tahan.
“Usaha melahirkan bakat untuk pekerjaan masa depan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, industri, penyelidik dan masyarakat bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang mampu memacu inovasi secara berterusan.
“Justeru itu, platform seperti persidangan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik, menggalakkan perkongsian idea inovatif serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan, beretika dan berdaya tahan,” katanya.
Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, usaha melahirkan bakat yang bersedia menghadapi masa depan tidak boleh dipikul oleh institusi pendidikan atau kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan ekosistem kerjasama yang kukuh melibatkan pelbagai pihak.
Katanya pembangunan bakat masa depan memerlukan setiap pihak memainkan peranan masing-masing, dengan institusi pendidikan melahirkan graduan yang bersedia menghadapi perubahan, sementara pihak industri memastikan pembelajaran selari dengan keperluan semasa.
“Penyelidik pula perlu terus memacu penerokaan ilmu baharu, manakala masyarakat harus membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
“Atas dasar itu, persidangan ini menjadi ruang terbaik untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan modal insan, termasuk kemahiran masa depan, kepimpinan adaptif, penggunaan teknologi serta strategi meningkatkan kemahiran semula tenaga kerja,” katanya.
Beliau turut menggesa para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya persidangan berkenaan dengan menyertai setiap sesi secara aktif, bertukar pandangan serta membina jaringan kerjasama yang dapat diterjemahkan kepada pembangunan organisasi masing-masing.
Bertemakan “Human Learning in the Age of Machines: Developing Talent for Tomorrow's Jobs”, persidangan dua hari itu menghimpunkan lebih 100 peserta dari pelbagai organisasi.
Antara pemimpin sektor awam dan swasta yang terlibat Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr Sabin Samitah; Presiden Malaysia Institute of Human Resource Management, Simon Thevaraj Benjamin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Convention Bureau, Noredah Othman.
Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengarah BKePT, Kamisah Husin


