
Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memilih Kampung Rampayan, Manggatal sebagai Kampung Angkat Madani bagi memperluas pembangunan komuniti menerusi penyediaan kemudahan infrastruktur bernilai RM1 juta yang memanfaatkan penduduk setempat.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, peruntukan RM1 juta daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membolehkan lima skop pembangunan fizikal dilaksanakan bagi memenuhi keperluan komuniti Kampung Rampayan.
“Bagi memastikan pembinaan lima prasarana di kawasan tapak seluas hampir satu ekar dilaksanakan, semua prosedur dan tatakelola yang ditetapkan telah dipatuhi melalui saluran yang sewajarnya.
“Kesemua lima skop pembangunan fizikal yang dirancang berjaya disiapkan merangkumi pembinaan pintu gerbang kampung, dewan terbuka, pusat komuniti, pemasangan lampu solar serta pembinaan pondok nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dan menyempurnakan penyerahan prasarana program Kampung Angkat Madani di Kampung Rampayan.
Dalam pada itu, Kasim menegaskan bahawa penyiapan projek fizikal berkenaan turut menjadi asas kepada kerjasama berterusan UMS menerusi program pendidikan dan keusahawanan.
”Apa lagi yang kita boleh buat di kampung ini supaya anak-anak kita, generasi akan datang tidak ketinggalan dalam semua aspek iaitu pendidikan dan keusahawanan.
“Jadi mungkin juga kita mahu latih anak-anak kampung menjadi usahawan, mungkin kita ada kursus-kursus keusahawanan di sini yang dianjurkan oleh UMS,” ujarnya.
Perasmian dan penyerahan kemudahan di Kampung Rampayan itu mencerminkan kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam usaha memajukan pembangunan setempat.
Kasim berharap agar projek berkenaan mampu memberi impak kepada sosial dan ekonomi di kampung tersebut selain menjadikan UMS sebagai peneraju Kampung Angkat Madani.
Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif kerajaan yang diselaraskan secara keseluruhan oleh Kementerian Kewangan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, dengan pelaksanaan melibatkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan badan swasta di seluruh negara.


