
Kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan SME Corp. Malaysia menerusi pembangunan Platform PKSlestari membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memahami serta melaksanakan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan.
Platform digital itu dibangunkan sebagai inisiatif untuk membantu PMKS meningkatkan keupayaan mengadaptasi amalan perniagaan mampan, sekali gus memperkukuh daya tahan dan daya saing mereka dalam persekitaran ekonomi semasa.
Pelancaran Platform PKSlestari dan Kod Tadbir Urus untuk PMKS disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alimin, sempena Seminar Kesedaran ESG PMKS 2026 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.
Mohamad berkata kerjasama antara UMS dan SME Corp. Malaysia merupakan usaha positif dalam menyediakan ruang perkongsian idea, pandangan serta pengalaman berkaitan pembangunan dan pengurusan perniagaan.
“Dalam usaha mempercepatkan agenda ESG, kerjasama bersepadu antara kerajaan, sektor korporat, industri, institusi kewangan dan akademia merupakan faktor yang amat penting.
“Melalui jalinan ini, kita dapat menilai sumber kepakaran dan pengalaman bagi menyediakan sokongan lebih menyeluruh, termasuk pembangunan kapasiti, pemindahan pengetahuan, akses kepada pembiayaan serta peluang pasaran,” katanya.
Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta SME Corp. Malaysia turut menyediakan sokongan pembangunan kapasiti dan pembiayaan, termasuk peruntukan RM30 juta bagi Program PKSlestari pada 2027.
Seminar anjuran SME Corp. Malaysia dengan kerjasama UMS itu menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada PMKS, pegawai kerajaan, pakar ESG, wakil institusi kewangan, ahli akademik dan pelajar.
Penyertaan pelbagai pihak itu mencerminkan kepentingan pendekatan Triple Helix yang menggabungkan kerjasama kerajaan, institusi pendidikan dan industri dalam memperluas penerapan amalan ESG serta membentuk ekosistem perniagaan yang lebih mampan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin berkata amalan ESG perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti pengurusan organisasi, bukannya beban tambahan kepada usahawan.
“ESG tidak seharusnya dilihat sebagai satu beban tambahan kepada usahawan, tetapi sebagai peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran, menjaga kebajikan pekerja dan mengukuhkan tadbir urus organisasi.
“Universiti bukan sahaja berperanan melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah turut bertanggungjawab menjadi pemangkin kepada penyelesaian cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama berkenaan turut mencerminkan komitmen UMS untuk memanfaatkan kepakaran akademik dan penyelidikan universiti bagi memenuhi keperluan industri, khususnya dalam menyokong PMKS mengamalkan pendekatan perniagaan yang lebih bertanggungjawab dan mampan.
Majlis perasmian penutupan seminar disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Ts Dr. Rayner Alfred.


