
Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) telah mengadakan sesi lawatan penandaarasan ke Pusat Jaminan Kualiti Universiti Malaysia Sabah (CQA UMS) sebagai langkah memperkukuh sistem pengurusan kualiti dan penyampaian perkhidmatan institusi pendidikan tinggi.
Lawatan anjuran Jabatan Audit Dalam dan Jaminan Kualiti KTYS itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UMS pada 19 Mei.
Sesi tersebut antara lain bertujuan meneliti serta memahami pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), struktur proses kerja serta amalan terbaik yang dipraktikkan di CQA UMS.
Delegasi KTYS diketuai Ketua Jabatan Audit Dalam dan Jaminan Kualiti, Uji Rosman bersama beberapa ahli delegasi lain iaitu Nurul Hawa Herman Sendan, Siti Nurzaihan Ali Akbar, Amisiah Jaffrin, Cyronella Cyril, Mahamad Rumi Pelbi, dan Mohd Raihan Abdul Anim.
Ketibaan delegasi disambut Pengarah CQA UMS, Prof. Madya Agnis Sombuling; Timbalan Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti dan Akademik, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Yew Hoe Tung; serta Penyelaras Akreditasi Badan Profesional dan Antarabangsa, Dr. Nur Hanisah Azmi.
Turut hadir Penolong Pendaftar Kanan CQA UMS, Mardena Jiwan dan staf CQA, Erneh Abdul Rahim.
Sepanjang lawatan itu, pihak CQA UMS berkongsi amalan terbaik pengurusan melibatkan audit akademik dan pemantauan program, pengurusan dokumentasi akreditasi mengikut standard Malaysian Qualifications Agency (MQA) serta pelaksanaan Continuous Quality Improvement (CQI).
Sesi berkenaan turut disusuli perbincangan dua hala, soal jawab dan perkongsian berkaitan pelaksanaan latihan pengurusan jaminan kualiti serta potensi kerjasama penganjuran kursus dan jemputan penceramah pada masa hadapan.
Lawatan itu diharap dapat membantu KTYS khususnya dalam memperkukuh sistem jaminan kualiti sedia ada di institusi berkenaan selaras dengan keperluan semasa bagi meningkatkan mutu pengurusan dan penyampaian perkhidmatan secara holistik.
Sinergi awal antara KTYS dan UMS itu juga diharap mampu membuka lebih banyak rantaian kerjasama pada masa hadapan demi melahirkan ekosistem pendidikan tinggi yang bermutu tinggi dan diyakini.


