
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) mengambil langkah proaktif memperkukuh usaha pemeliharaan bahasa ibunda etnik di Sabah menerusi pelaksanaan Projek Kajian Eksploratori Vitaliti dan Vulnerabiliti Bahasa Ibunda Etnik di Sabah.
Usaha tersebut diterjemahkan melalui penganjuran Bengkel Pemurnian Instrumen dan Persediaan Survei yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Qasim Ahmad, UMS, baru-baru ini.
Bengkel berkenaan menghimpunkan lebih 50 peserta terdiri daripada penyelidik, mahasiswa dan wakil agensi strategik termasuk Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah dalam usaha memperkukuh instrumen kajian sebelum survei berskala negeri dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Profesor Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, projek tersebut merupakan satu langkah penting dalam usaha memelihara identiti etnik dan warisan budaya negeri Sabah.
“Instrumen soal selidik yang komprehensif merupakan prasyarat utama sebelum penyelidik turun ke lapangan bagi memastikan setiap data yang direkodkan bersifat tepat dan menyeluruh,” ujar beliau.
Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Ketua Pengurusan Data dan Sistem Maklumat Geografi (GIS), Ts. Corrina Henry Mansa.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Projek dari Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) UMS, Profesor Madya Dr. Jane Wong Kon Ling berkata, kajian tersebut dilaksanakan bagi mendapatkan data empirikal yang tepat berkaitan tahap vitaliti dan kerentanan bahasa ibunda etnik di Sabah.
“Data yang komprehensif amat penting bagi mengenal pasti bahasa yang masih kukuh digunakan, bahasa yang berisiko pupus serta tindakan mitigasi yang sesuai untuk tujuan dokumentasi dan revitalisasi.
“Tanpa data yang jelas dan menyeluruh, amat sukar untuk menentukan hala tuju pemeliharaan bahasa secara berkesan, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Sabah yang mempunyai kepelbagaian identiti dan linguistik,” katanya.
Tambah Jane, landskap bahasa di Sabah sangat kompleks kerana identiti etnik, bahasa ibunda, bahasa pertama dan bahasa harian seseorang individu tidak semestinya merujuk kepada realiti yang sama.
“Instrumen tinjau selidik yang dibangunkan perlu bersifat sensitif konteks bagi memastikan data yang dikumpul benar-benar mencerminkan situasi sebenar komuniti di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Felo Utama BorIIS UMS, Profesor Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan menyatakan bahawa proses pemurnian instrumen kajian bukan sekadar melibatkan aspek teknikal, tetapi turut memerlukan kefahaman mendalam terhadap konteks sosiobudaya masyarakat etnik di Sabah.
Pensyarah Kanan BorIIS UMS, Dr. Nordiana Nasuha Molinka pula menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah rintis yang berpotensi membuka ruang kepada kajian berskala lebih besar berkaitan pemetaan identiti dan demografi masyarakat Orang Asal di Sabah.
Menurut Pensyarah Kanan BorIIS UMS, Dr. Mohd Juhar Harun, semua input yang diperoleh akan diuji menerusi pelaksanaan ujian rintis bagi menilai tahap keberkesanan instrumen kajian.
Penganjuran bengkel tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS, IDS serta pelbagai agensi berkepentingan dalam memastikan kelangsungan bahasa ibunda etnik di Sabah terus dipelihara sebagai warisan penting generasi akan datang.
SUMBER
PAUTAN PANTAS
PELAJAR
PAUTAN LAIN
KAMPUS INDUK UMS
Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my
UMS KAMPUS LABUAN
UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my


