
Mahasiswa Pengajian Islam khususnya perlu menghayati dan memperkukuh tiga asas utama iaitu ilmu, adab dan dakwah bagi memastikan mereka kekal relevan serta mampu membimbing masyarakat selaras dengan tuntutan agama.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah, Profesor Dr. Muhamad Suhaimi Taat berkata, hala tuju itu penting dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks sehingga ada dalam kalangan mahasiswa Pengajian Islam dilihat hilang arah dan semakin luntur semangat untuk mendalami ilmu.
“Mahasiswa hari ini berdepan pelbagai cabaran yang hebat, termasuk sikap mengambil mudah terhadap tanggungjawab sebagai penuntut ilmu serta kegagalan menghayati identiti sebenar sebagai mahasiswa bidang ini.
“Malah lebih membimbangkan apabila cara hidup, akhlak dan kepimpinan diri mereka tidak banyak berbeza dengan mahasiswa bidang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama Profesor Adjung Fakulti Pengajian Islam UMS, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar al-Hamid, di Pusat Islam UMS baru-baru ini.
Menurut beliau, situasi itu menuntut usaha berterusan untuk mentajdid atau memperbaharui niat dan matlamat mahasiswa agar kembali kepada landasan sebenar seperti yang digariskan dalam al-Quran.
“Matlamat utama pengajian Islam adalah melahirkan generasi rabbani yang berilmu, berakhlak dan mempunyai hala tuju jelas dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, bukan sekadar mengejar pengetahuan semata-mata.
“Fasa pengajian di universiti merupakan peringkat terakhir dalam membentuk jati diri mahasiswa sebelum mereka memasuki masyarakat dan memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pendakwah atau pemimpin,” katanya.
Tambah beliau, graduan Pengajian Islam bukan sahaja membawa imej diri sendiri, malah mencerminkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan.
Justeru itu katanya, majlis ilmu bersama Habib Ali Zaenal itu diharap sedikit sebanyak mampu mendorong kepada perubahan dan kesedaran baharu dalam kalangan mahasiswa untuk kembali kepada matlamat asal pengajian Islam.
Dalam program tersebut, Habib Ali Zaenal telah berkongsi pandangan beliau menerusi dua sesi syarahan bertajuk “Hala Tuju Mahasiswa Pengajian Islam” dan “Ilmu, Adab dan Dakwah Mahasiswa Islam”.
Beliau antara lain mengingatkan para mahasiswa agar menitikberatkan aspek adab dalam menuntut ilmu kerana sikap terhadap ilmu akan memberi kesan terhadap ilmu yang diperolehi.
Lebih 300 warga kakitangan dan pelajar UMS hadir pada program tersebut.


