
Universiti Malaysia Sabah menerusi Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dalian Maritime University, China bagi satu kolaborasi bersama dalam bidang maritim dan ekonomi biru.
UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeteraian MoU yang berlangsung di Dalian, China itu diadakan bersempena dengan lawatan kerja dan misi perdagangan ke China yang berlangsung bermula 5 hingga 11 Mei dan diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) serta Invest Sabah Berhad.
Delegasi lawatan berkenaan diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Dalam acara pemeteraian kerjasama tersebut, Ewon menyaksikan MoU yang ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor bersama President Dalian Maritime University, Profesor Dr. Shan Hongjun.
Turut hadir Pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim UMS, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali.
Kerjasama strategik menerusi MoU itu merangkumi beberapa bidang utama termasuk penyelidikan dan penerbitan berkaitan maritim dan ekonomi biru, perkongsian kepakaran akademik serta pelaksanaan program pembangunan akademik dan penyelidikan bersama.
Kerjasama tersebut dijangka memperkukuh jaringan antarabangsa UMS dalam bidang ekonomi biru dan keselamatan maritim, selain membuka peluang pembangunan penyelidikan, inovasi, mobiliti akademik serta pembangunan modal insan bertaraf global selaras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.
Untuk rekod, Dalian Maritime University yang ditubuhkan pada 1909 di Dalian, Liaoning merupakan institusi pengajian tinggi maritim terkemuka dalam bidang pendidikan, latihan dan penyelidikan maritim di China.
Universiti itu juga merupakan satu-satunya universiti maritim utama di bawah Kementerian Pengangkutan China serta diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh International Maritime Organization.


