
Penglibatan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Brawijaya, Indonesia dalam Program Madani Merentas Nusantara di Banyuwangi, Indonesia, menjadi platform mempererat hubungan serumpun Malaysia-Indonesia menerusi aktiviti kesukarelawanan, khidmat komuniti dan pertukaran budaya.
Program yang berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober 2026 itu turut membuka ruang kepada mahasiswa kedua-dua institusi untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Pegawai Penyelaras Kelab Mahasiswa Madani UMS, Jumrat Minsun berkata, program berkenaan bertujuan membina jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi, selain membentuk mahasiswa yang memiliki nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan dan kepekaan terhadap isu sosial.
Beliau berkata, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti lapangan turut memberi pendedahan secara langsung mengenai keperluan masyarakat serta kepentingan peranan golongan muda dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti.
"Program ini juga menjadi wadah perkongsian ilmu dan pertukaran budaya antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia, di samping melaksanakan aktiviti berimpak kepada masyarakat selaras dengan agenda pembangunan mampan," katanya.
Pengarah Program Madani Merentas Nusantara, Nurulhuda Nabilah Abdul Aziz berkata, kerjasama Universitas Brawijaya dan komuniti setempat menjadi antara faktor penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Direktorat Riset dan Pengabdian kepada Masyarakat, Universitas Brawijaya atas komitmen dan sokongan yang diberikan, selain komuniti setempat termasuk MEM Sechang, POKMAS Bumi Karya dan Kalipuro Research Centre yang menerima kehadiran delegasi UMS serta membantu pelaksanaan aktiviti di lapangan.
Menurutnya, program itu diharap dapat menjadi asas kepada kesinambungan kerjasama antara UMS, Universitas Brawijaya dan komuniti setempat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman antarabangsa serta menyumbang kepada masyarakat.
Majlis perasmian program disempurnakan Direktur Direktorat Riset dan Pengabdian kepada Masyarakat Universitas Brawijaya, Prof. Luchman Hakim.
Turut hadir, Direktur DIKST, Prof. Mohammad Iqbal; Direktur Direktorat Kemahasiswaan, Dr. Sujaewo; serta beberapa pegawai kanan dan wakil pengurusan Universitas Brawijaya.
Hadir sama mewakili UMS ialah Pegawai Pengiring, Nurain Anira Yusri.


