Pilih bahasa anda

Language

UMS Agih 1,700 Kit Pembelajaran, Sokong Pemulihan 3M Murid Sabah

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HIUMS) mengagihkan kira-kira 1,700 kit pembelajaran kepada 62 sekolah di bawah 15 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah bagi menyokong pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) 2026: Pemerkasaan 3M Murid Pemulihan Sabah.

PAK 2026 merupakan inisiatif nasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui bersama Unit Pantau MADANI di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Hasanah.

Inisiatif itu menumpukan intervensi pemulihan pembelajaran secara bersasar bagi membantu murid yang masih belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), dengan HIUMS sebagai salah satu rakan pelaksana program.

Ketua Penyelidik PAK 2026, Dr. Juppri Bacotang berkata pengagihan kit pembelajaran itu bukan sekadar menyediakan kelengkapan pendidikan, malah menjadi sokongan kepada murid yang sedang berusaha menguasai kemahiran asas pembelajaran.

“Kita mungkin melihatnya sebagai sebuah beg yang berisi buku dan alat tulis, tetapi bagi seorang anak yang sedang berjuang untuk belajar, ia boleh menjadi permulaan kepada keyakinan bahawa dirinya juga mampu berjaya seperti rakan-rakan yang lain.

 

“Setiap anak mempunyai potensi untuk berjaya. Ada yang melangkah pantas, ada yang memerlukan lebih masa dan bimbingan.

 

“Namun, tiada seorang pun wajar kehilangan harapan hanya kerana mereka mengambil masa yang lebih lama untuk menguasai sesuatu kemahiran,” jelasnya.

Tambah Juppri, pengagihan kit pembelajaran yang dilaksanakan secara berfasa dari September hingga Oktober 2026 itu melibatkan sekolah dari pelbagai daerah termasuk kawasan bandar, luar bandar, pedalaman, pesisir pantai dan pulau.

“Setiap kit mengandungi beg, alat tulis, pensel warna dan buku pembelajaran 3M bagi menyokong penggunaan Modul CERIA 3M Sabah dalam aktiviti intervensi literasi dan numerasi.

“Kit berkenaan menggunakan pendekatan pengajaran secara langsung menerusi aktiviti latih tubi, manakala Modul CERIA 3M Sabah menggunakan pendekatan didik hibur serta elemen tempatan Sabah bagi meningkatkan motivasi murid untuk belajar.

“Pengagihan kit dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dan pembantu penyelidik yang turun ke setiap sekolah bagi menyampaikan bahan pembelajaran kepada pihak sekolah, katanya.

Pasukan penyelidik berkenaan terdiri daripada Profesor Emeritus Dr. Vincent Pang Ah Fook, Profesor Dr. Sabariah Sharif, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh, Profesor Madya Dr. Abd. Aziz Rekan serta Dr. Mohd Zafaren Zakaria.

Turut terlibat ialah pembantu penyelidik Anilah Md. Sidi, Sherene Jessy Johnis Michael dan Azman Abdullah.

PENERANGAN GAMB

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda