
Pakar Perubatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Nazri Mohd. Daud bertekad memperkasakan bidang perubatan ketagihan, pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan pemulihan khususnya di Sabah dan rantau Borneo.
Kejayaan beliau dalam memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Phd) pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-18 di UniSZA Kampus Gong Badak, Terengganu baru-baru ini menguatkan lagi semangat beliau untuk menggalas amanah menterjemahkan ilmu bagi manfaat kepada pesakit, keluarga dan komuniti.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan Perubatan Ketagihan itu berkata penganugerahan PhD tersebut bukan destinasi terakhir, sebaliknya permulaan baharu dalam memperkukuh usaha pengurangan permintaan dadah di rantau ini.
"Ilmu yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada manfaat kepada pesakit, keluarga, komuniti dan masyarakat.
“Dalam konteks negeri Sabah, negeri ini mempunyai potensi untuk membangunkan model intervensi ketagihan yang praktikal dan berasaskan bukti saintifik, mengambil kira cabaran geografi serta kepelbagaian komuniti di kawasan bandar, luar bandar dan kepulauan.
“Impian saya adalah untuk melihat Sabah menjadi model dalam membangunkan pendekatan pencegahan dan rawatan ketagihan berasaskan bukti saintifik yang boleh dimanfaatkan di dalam dan luar negara,” katanya.
Mohd. Nazri turut menekankan kepentingan memperluas akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat akses kepada penjagaan khusus.
“Harapan saya agar UMS dapat berkembang sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang perubatan ketagihan, pencegahan, rawatan, pemulihan dan pengurangan permintaan dadah.
“Usaha menangani permasalahan dadah memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan perkhidmatan klinikal, penyelidikan, pendidikan, latihan profesional, inovasi, penglibatan komuniti serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kerjasama bersepadu antara semua pihak penting bagi memastikan pelaksanaan program pencegahan dan pemulihan dapat dilakukan secara tersusun serta memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Mohd Nazri turut merakamkan penghargaan kepada pihak UniSZA, khususnya dari Fakulti Perubatan, ahli keluarga serta rakan sekerja dari UMS khususnya dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Hospital Universiti Malaysia Sabah, dan Jabatan Perubatan Keluarga atas bimbingan serta sokongan sepanjang pengajian PhD.
Penghargaan juga katanya ditujukan kepada PEMADAM Negeri Sabah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta agensi, jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha pendidikan dan pencegahan dadah di peringkat kebangsaan dan negeri.
Beliau turut berhasrat memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, NGO, sektor swasta dan pemimpin masyarakat bagi memastikan usaha pencegahan serta pemulihan dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.


